Wacana : Perlu ke pakai mata kail berangkai?

Share

 

Dunia memancing masa kini sudah memasuki era moden dengan pelbagai inovasi peralatan dan kelengkapan memancing.

Begitu juga dengan gaya pancingan serta teknik yang diaplikasikan. Semakin ia semakin melangkah ke depan.

 

Sebagai contoh, pengurangan penggunaan mata 3 (treble hook) kepada mata tunggal khususnya dalam sukan memancing segmen casting dan jigging semakin giat dipraktikkan.

Sebaliknya dalam dunia pancingan dasar air tawar khususnya pancingan kolam komersial, dalam sesuatu aspek ia seperti masih jauh ketinggalan.

Terutamanya melibatkan hal penggunaan mata kail berangkai yang diistilahkan sebagai mata bom atau cakar ayam.

 

Masih ramai pemancing yang mengekalkan teknik konvensional ini khususnya pancingan rohu.

Mata bom dan mata kail berangkai sehingga 10 penggunaan mata kail masih diguna pakai sehingga ke hari ini.

 

10 mata kail digunakan hanya untuk memancing seekor ikan. Tidak dinafikan ia teknik yang berkesan dan peratusan seekor ikan akan memagut umpan pada 10 mata kail adalah tinggi.

Namun persoalan yang timbul adalah, apa bezanya teknik perambut mata bom ini dengan teknik sembat mata 3 dan cakar ayam?

 

 

Meskipun teknik sembat tidak lagi dibenarkan, dibenarkan atau tidak teknik ia pasti diguna pakai juga apabila menggunakan perambut mata bom.

Setiap gerakan kecil pada tali utama pasti akan dibalas dengan sentapan atau sembat. Jika ikan sedang memakan umpan pasti mata kail akan tertusuk di dalam mulutnya.

Jika ikan sedang mengutis umpan sekalipun akan tercangkup juga mata kail sama ada di luar mulut, mata mahupun anggota badannya.

Jika bernasib baik, ikan akan berjaya didaratkan dan disumbat ke dalam jut kerana lazimnya pancingan rohu lebih merupakan pancingan berlauk atau bawa pulang tak mengira boll ataupun tidak.

Jika tidak bernasib baik, ikan terlepas dan membawa bersama kecederaan akibat tajamnya mata kail tersebut.

 

baca juga insiden ketika memancing

Selain boleh mendatangkan kecacatan pada ikan, mata bom dan mata rambai juga boleh mendatangkan kecederaan kepada pemancing.

Terutamanya kepada pemancing baru yang belum berpengalaman dalam pengendalian ikan.

 

Menanggalkan sebatang mata kail yang tertancap dalam mulut ikan dengan keadaan 9 mata kail lagi bergerak bebas tatkala ikan sedang menggelupur untuk membebaskan diri adalah tugas berisiko tinggi.

Sedangkan menanggalkan mata 3 gewang dari mulut ikan sering saja berlaku kemalangan kepada pemancing, inikan pula terdedah kepada 10 mata kail.

 

Barangkali sudah tiba masanya para pemancing khususnya peminat rohu, memodenkan teknik pancingan rohu dengan penggunaan maksimum 2 mata kail.

Tentu saja pemancing merangkap nelayan kolam yang mencari makan dengan menjual hasil tangkapan ikan rohu akan membantah sekeras-kerasnya cadangan ini.

 

 

Namun, jika sudah ditetapkan rezeki, hanya menggunakan satu mata kail sekalipun masih boleh gasak.

Malah dengan penggunaan mata kail yang minima juga dapat menguji umpan yang digunakan.

Logiknya, kalau umpan tak power, guna 100 mata kail sekalipun belum dapat mendaratkan seekor ikan.

 

Tentu saja usaha ini tidak akan tercapai tanpa kerjasama dari pengusaha dan pemilik kolam pancing.

Meskipun tidak semua tapi masih ada pengurusan kolam yang membenarkan penggunaan mata bom sehingga 10 mata kail ini.

Pihak kolam tidak perlu risau risiko kehilangan pemancing kerana seketat mana pun peraturan, pemancing akan turun juga ekoran ketagihannya.

 

Dalam masa yang sama, penggunaan mata kail yang minima bukan merugikan sebaliknya menguntungkan kolam.

Yang pasti, sudah tiba masanya teknik pancingan yang boleh memudaratkan ikan serta pemancing sendiri dilupuskan. ⊗

 

Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!

Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan

Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan

Published by
Amang