Wacana: Nasib ikan tengas di Malaysia

Share

 

Produk perikanan merupakan salah satu sumber protein yang paling penting di Malaysia. Penambahan produk perikanan baru di pasaran juga penting untuk meningkatkan kepuasan pengguna.

 

Ikan tengas atau kejor atau kelah hijau adalah ikan yang digemari sesetengah penduduk tempatan; namun, tengas masih belum mencapai tahap komersial seperti patin, haruan, kelah merah dan sebagainya.

Dengan itu, artikel ini menerangkan potensi pasaran tengas di Malaysia.

 

Potensi pasaran

 

Potensi pertama adalah tengas boleh dijadikan ikan makanan yang komersial. Selama ini, tengas telah menjadi hidangan untuk sesetengah masyarakat di Malaysia.

Bukan begitu sahaja, cara masakan tengas juga berbeza mengikut kaum.

Contohnya, kaum bumiputera suka menghidangkan tengas dengan masak lemak, goreng dan bakar; kaum Cina pula, suka mengukus tengas dengan kicap soya.

 

 

Sesetengah responden juga menyatakan bahawa rasa kelah hijau daripada sumber air yang berkualiti dan kelah merah tidak jauh berbeza.

Ini telah membuktikan bahawa tengas boleh diterima sebagai makanan untuk sesetengah penduduk di Malaysia.

 

Tambahan pula, jika pengusaha restoran boleh menyediakan tengas dalam beberapa jenis masakan yang menarik, ini akan mendorong ramai pengguna menikmati tengas.

Lagi pun, terdapat beberapa jenis produk perikanan yang kini laris di pasaran juga dipromosikan melalui pengusaha restoran.

 

Contohnya, udang lipan (mantis shrimp) bukan makanan yang komersial pada 3 dekad yang lepas dan diproses sebagai makanan untuk ternakan.

Selepas pengusaha restoran berjaya memperkenalkan beberapa masakan udang lipan yang menarik, kini ia adalah salah satu produk perikanan yang mahal di pasaran Malaysia dan negara-negara lain.

 

Selain itu, tengas juga berpotensi untuk dijadikan ikan hiasan. Oleh sebab tengas adalah bersinar dan mirip dengan kelah, ramai pengguna suka membela tengas untuk penghiasan.

Kini benih tengas (lebih kurang 3 inci) berharga dalam lingkungan RM10 seekor dan boleh didapati di kedai akuarium.

Ramai pengusaha restoran juga suka membela tengas di dalam restoran mereka untuk meningkatkan imej dan menambah baik suasana.

 

 

Potensi ketiga adalah dijadikan daya tarikan untuk rekreasi. Ini kerana terdapat ramai kaki pancing sanggup mengunjungi jarak yang jauh untuk mendapatkan ikan tengas yang saiz besar.

 

Jika populasi tengas liar dipelihara dan kawasan berkenaan dijadikan sebagai santuari ikan, ini mungkin boleh menarik ramai pemancing dan keluarga untuk menjalankan aktiviti rekreasi di kawasan tersebut.

 

Ini juga boleh merangsang ekonomi setempat kerana ini mewujudkan peluang pekerjaan baru untuk penduduk tempatan.

Contohnya, mereka boleh menjual makanan dan peralatan, dan menyediakan perkhidmatan pengangkutan, penginapan dan sebagainya kepada para pengunjung.

 

Cabaran pasaran

 

Menurut para responden, hampir kesemua tengas yang diperolehi adalah daripada sumber semula jadi seperti sungai, tasik, kolam dan empangan.

Jika bekalan tengas daripada sumber semula jadi berterusan, populasi tengas berkemungkinan akan menjadi seperti kelah, patin, dan banyak spesies ikan air tawar yang mahal pada masa kini, iaitu terancam dan kian berkurangan.

 

Tambahan pula, terdapat beberapa responden memaklumkan bahawa saiz dan bilangan tengas di sesetengah lokasi didapati kian kecil dan berkurangan.

Mereka percaya bahawa punca utama adalah daripada aktiviti pembalakan di kawasan sekitaran dan juga penangkapan tengas yang berterusan.

Gejala ini telah memberi kita satu amaran bahawa tengas di Malaysia mungkin sudah terancam oleh kegiatan manusia.

 

 

Jika usahawan ingin membangunkan pasaran tengas, mereka harus bergantung kepada sumber yang lestari.

Teknologi penternakan tengas juga perlu dijayakan oleh pakar-pakar perikanan; ini kerana buat masa sekarang masih tiada teknologi yang bersesuaian untuk menternak tengas.

 

Dengan memperkenalkan teknologi penternakan tengas yang lestari, para usahawan boleh menghasilkan tengas dengan kos yang minimum, berskala besar dan konsisten.

Seterusnya, produk tengas yang dihasilkan adalah mampu ditanggung oleh para pengguna tempatan. Oleh itu, kajian ikan tengas dalam aspek pemasaran dan biologi adalah penting sebelum ini dikomersialkan.

 

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, tengas berpotensi dijadikan makanan, ikan hiasan, dan daya tarikan untuk aktiviti rekreasi.

Namun begitu, bekalan ikan tengas yang konsisten, berterusan, tidak mengancamkan sumber kehidupan asli, dan kos beroperasi yang minimum adalah persoalan utama.

 

Kajian pemasaran dan biologi yang lebih mendalam juga memang penting untuk menjayakan usaha ini.

Jikalau tengas berjaya dikomersialkan di Malaysia, ini pasti boleh membawa pelbagai manfaat di pasaran.

 

Published by
Amang