Tepat jam 5 petang, bot mula bertolak dalam keadaan cuaca yang amat baik. Spot pertama tidak jauh, sekitar sejam lebih perjalanan.
Tujuan utama ialah untuk mencari sotong sambil memancing ikan-ikan karang.
Tekong turut berpesan kepada kami agar membawa candat Yamashita untuk memerangkap killer bait iaitu, sotong.
Untuk mendapatkan hasil terbaik, para pemancing mestilah mencandat sotong dan ianya bolehlah digunakan secara hidup atau pun dihiris.
Sedang kami leka bersembang, Jemik mula menarik hasil pertama trip ini. Seekor jenahak sederhana berjaya didaratkan.
Ikan karang juga banyak di sini, caranya ialah dengan menggunakan hirisan kembung dengan mata kail kecil.
Selepas menurut nasihat ini, kami mula mendaratkan hasil pelbagai sepsis seperti tanda karang, landok, `cap raya’ termasuk kerisi bersaiz kasar.
Selesai makan malam, tekong terus menuju ke spot pertama. Hampir 1 jam juga perjalanannya.
Tak sampai 10 minit berlabuh, joran Wak Z dan saya menerima sentapan padu hampir serentak.
Kekili elektrik memulakan tugasan berentap. Kasar juga ikan ini kerana berjaya menarik tali keluar pada joran yang hampir mencecah air.
Akhirnya timbul jenahak dan kedua-duakami bersorak kegembiraan. Belum sempat ikan tersebut naik, awak-awak dan Achid pula mendapat sentapan serupa.
Hanya Acid seorang sahaja menggunakan kekili manual namun semangatnya tetap tinggi.
Awak-awak telah pun menaikkan jenahak, namun Acid masih lagi mengayuh.
Sesekali dia berhenti mengambil nafas.Tewas juga akhirnya seekor jenahak bersaiz sederhana.
Dalam kerancakan ikan memakan umpan, angin mula tiba. Dalam 20 minit sahaja laut bertukar menjadi kucah dengan alun yang agak kuat.
Mujurlah, bot mempunyai sayap (stabilizer) dan ianya mengurangkan bot dari terhuyung-hayang dengan kuat.
Pada ketika ini, separuh ahli trip telah tumbang dan masuk tidur.
Akhirnya angin kencang tiba disertai hujan lebat dan kami semua yang masih bertahan terpaksa mengalah dan masuk ke kabin untuk tidur.
Saya terjaga pada jam 4.30 pagi dan kelihatan Wak Din dan Jemik sedang memasang umpan ketika laut telah kembali tenang.
Ketika saya bersedia untuk menyambung memancing, Jemik menjerit ke arah Wak Din supaya menekan suis kekili elektrik beliau kerana berada agak jauh pada waktu itu.
Rentapan kasar tersebut benar-benar menguji joran dan kekili Jemik kerana ikan tersebut melawan dengan agak kuat.
Jemik berjaya menaikkan jenahak bersaiz bantal skala 5 kg.
Wak Din yang membantu tadi turut menerima sambaran padu. Kekili Miya X5 HS Wak Din dapat menarik sang jenahak dengan mudah sekali walaupun bersaiz melebihi 3 kg.
Saya yang berada di tengah bot juga tidak ketinggalan menaikkan jenahak bersaiz sederhana sahaja.
Nampaknya subuh ini kami berpesta lagi kerana semua orang mendapat sentapan jenahak, cuma saiz sahaja yang berbeza-beza.
Ketika hari mulai cerah, kami berpindah ke kawasan kawasan karang sambil berehat dan tidur.
Sesekali kerapu manis, tanda karang dan kunyit dinaikkan. Ianya cukup untuk menggembirakan kami hingga melewati tengah hari.
Pertaruhan Ojie untuk mencuba teknik jigging ternyata membuahkan hasil. Unjunan pertama beliau dengan jig 210gram mendapat sambutan kasar.
Terus sahaja joran tersebut melengkung dan tali terus menerus keluar. Agak lama juga Ojie terpaksa berhempas pulas sebelum berjaya mengawal keadaan.
Akhirnya timbul sang Kerapu berskala 5kg. Masing-masing bersemangat untuk jigging namun setelah 40 minit berlalu, tiada ragutan ikan.
Tekong mengajak kami bergerak ke tengah untuk bersiap sedia bagi lubuk seterusnya. Jangkaan perjalanan adalah hampir 2 jam.
Lubuk kali ini ialah kapal karam dengan sasaran targetnya jenahak dan juga kerapu.
Kelihatan sotong mula timbul ketika hari gelap sepenuhnya. Beberapa ekor berjaya dijerat dengan candat.
Jemik dan Acid menurunkan umpan serentak dengan menggunakan kepala sotong.
Ketika ini, air agak laju dan menurut tekong, ini adalah air yang sesuai mencari si bantal emas.
Tak sampai 5 minit, terus sahaja joran Achid direntap padu dan drag kekili manual Acid berbunyi tanpa henti. Jemik juga tidak mengalah dan mula menekan suis kekilinya.
Seekor jenahak bersaiz bantal tumpas di tangan Jemik namun Achid masih lagi mengayuh.
Khair yang hanya mendapat ikan bersaiz sederhana semalam turut menekan suis kekili elektrik beliau. Keadaan umpama pesta pada ketika ini.
Masing-masing fokus pada joran yang sudah mengena manakala yang belum mengena, masih ternanti-nanti.
Tekong juga tidak ketinggalan apabila dalam diam menaikkan seekor jenahak skala 4 kg.
Dibelasah Ribut
Guruh telah berbunyi dan petir kelihatan di samping angin sejuk mula bertiup. Nampaknya kami akan dibelasah oleh ribut untuk kali kedua dalam trip ini.
Tanpa sebarang amaran, angin bertukar kencang dan masing-masing terpaksa bertahan.
Hujan lebat mula turun selepas itu dan kami hanya mampu berehat di samping tidur-tidur ayam bagi menyimpan baki tenaga.
Keadaan reda setelah hampir 3 jam. Saya pantas sahaja menggunakan seekor sotong hidup yang dicandat.
Keadaan air telah perlahan dan tali lurus ke bawah. Biasanya kerapu aktif pada ketika ini. Melvin yang memancing di hadapan bot turut menggunakan sotong hidup.
Joran Melvin terlebih dahulu disentap bersaiz boron digelar juga tong gas. Sekali lagi kami bersorak kegembiraan kerana rekod peribadi berjayadipe rbaharui.
Jemik di belakang bot juga tidak mahu mengalah apabila turut menewaskan kerapu.
Awak-awak yang turut sama memancing berjaya menangguk seekor kurita. Tanpa berlengah, kurita tersebut dipasang ke mata kail.
Tak perlu menunggu lama, joran 14 kaki beliau terus sahaja melengkung mencecah air tanpa sebarang amaran.
Keadaan ini amat mengujakan bagi kami yang melihat dan merakam aksi tersebut dan akhirnya seekor lagi jenahak bertaraf bantal tumpas.
Nampaknya umpan kurita amat berkesan di sini. Ketika hari mulai cerah, Raymond mendapat satu sambaran dan dengan mudahnya beliau menaikkan seekor jenahak.
Achid pada masa yang sama pantas menyentap jorannya apabila menyedari umpan telah mengena.
Setelah sabar menunggu, seekor pari karang skala 1 kg berjaya dinaikkan. Ikan tersebut merupakan yang terakhir dalam trip ini.
Kami memberitahu tekong agar bertolak pulang ke jeti selepas sarapan kerana masing-masing telah berjaya mencapai sasaran peribadi dalam trip ini.
Walaupun dua kali dibelasah ribut, kami berjaya juga dengan hasil yang lumayan.