Cuba tenangkan fikiran anda seketika. Bila dah rasa cukup tenang dan damai, barulah anda bermonolog. Cuba tanya pada diri sendiri, untuk apa sebenarnya anda pemancing?
Jika hendak dipecahkan, aktiviti memancing atau pemancing ini bolehlah dibahagikan kepada tiga kategori. Pemancing komersial, pemancing tradisi dan pemancing rekreasi.
Dan saya amat yakin kebanyakan dari kita ini adalah pemancing rekreasi. Bukannya memancing untuk sara diri atau mewarisinya sebagai kerjaya.
Sebagai pemancing rekreasi, adakah anda memancing semata-mata kerana hobi bagi mengisi masa lapang?
Kalau bukan kerana hobi, pastinya ada alasan lain yang mendorong anda untuk terus melakukan aktiviti yang masih kurang difahami oleh ramai netizen.
Berikut merupakan pendapat atau penjelasan yang telah dipetik dari perbincangan netizen di Facebook majalah umpan.
Apa kata Netizen:
“Jawapan tetap sama di mana admin jumpa pertanyaan tersebut… lebih kepada riadah. Tiada hasil itu biasa. Dapat hasil itu luar biasa. Enjoy dengan kawan-kawan. Asalkan umpan cecah kat air itu sudah membuat hati gembira.”
“Adakala aku memancing sebab nak rapatkan silaturahim. Adakala aku memancing sebab nak tenangkan fikiran dan berfikir cara terbaik selesaikan masalah.
Adakala aku memancing sebab nak latih semula bila jiwa terasa semakin lemah. Adakala untuk mendekatkan diri dengan Allah (penyerahan dan membuka mata dan hati).
Ikan adalah bonus. Tapi biasanya bila aku memancing semua yang adakala kat atas tu akan ada sepanjang aku memancing.
Bukan nak ikan sangat pun… tapi kalau ikan tu aku makan, walaupun kecil aku ambil bawa balik.”
“Sebab minat. Lain orang lain minatnya lain hobinya. But prinsipnya sama. Paling best bila bawa family, semua sama-sama minat memancing. Seronok betul.
Biarlah dapat ikan ke tak dapat ke, biarlah ikan sekecik ikan longkang ke… yang paling diutamakan keseronokan memancing bersama. Kalau ada pemancing lain bersebelahan yang tak dikenali pun akan dapat berkenalan juga.”
“Cerita memancing ni macam ni… keseronokan dan kegembiraan tu terasa ketika kita dikejutkan dengan ketukan dan sambaran yang terjadi dapat menaikkan semangat.
Kemuncaknya ialah ketika belawan dengan sang misteri yang menarik tali keluar dari mesin dengan laju. Keseronokan berganda akan terjadi apabila dapat menaikkan hasilnya.”
“Yang pertama sebab hobi, yang kedua untuk mencari rezeki, yang ketiga untuk mencari keseronokan diri sendiri, yang keempat untuk menguji kesabaran diri, yang kelima untuk mencari ketenangan, release tension di tepi laut atau sungai bila berlakunya kumpau.”
“Hobi… lauk… jual. Belajar kawasan lubuk, umpan, menguji kekuatan jenis-jenis ikan. Belajar rod reel atau line apa yang terbaik… apa-apa sajalah daripada duduk tak buat apa dan bersembang tak tentu pasal.”
“Ada yang memancing kerana hobi. Ada yang memancing niat nak tambah rezeki. Tetapi yang memancing di kolam berbayar niat nak tambah rezeki ini saya kurang faham… sebab
risiko tinggi. Bila tak dapat seperti niat di hati, mulalah memekak kata kolam tipu, kolam main ubat, macam-macam lagilah.
“Pucuk pangkalnya sebenar hobi… tapi dalam hobi tu banyak tujuan. Nak dapat ikan, nak ikan besar-besar, nak try rasa ikan besar tarik, nak rasa makan macam-macam jenis ikan dan macam-macam lagilah.”
“Banyak-banyak hobi dalam dunia ni… hobi memancing paling win. Gigil dia lain macam. Kalau kumpau berdarah hidung… terlepas ikan besar tak lena tidur jadinya. Yang best dapat ikan besar dia punya senyum sampai telinga… tidur pun lena!”
“Tujuannya mencari kepuasan. Dari main tepi pantai sampai berubah main gewang… sanggup meredah hujan bermandikan cahaya matahari demi menghilangkan ketagihan.”