Kata orang, kaki pancing ni walaupun tak kaya tapi hobinya mahal! Iyelah, nak beli set pancing yang betul-betul memuaskan hati ni bukannya seringgit dua harganya, tapi
beratus-ratus, malah beribu-ribu ringgit pun ada dek kerana berbeza lapangan pancing, lainlah peralatannya.
Itu belum lagi cerita aksesori-aksesori tambahan dan servis untuk set pancing tu lagi. Semuanya perlukan pelaburan yang banyak.
Tapi nak dijadikan cerita, kaki pancing ni mesti ada sorang dua orang member yang jenis suka nak pinjam set pancing untuk keluar memancing.
Di kalangan kaki pancing mesti ada daripada kawan-kawan ni yang jenis baru nak menceburkan diri dalam lapangan memancing yang baru.
Jadi, sebabkan takde set mulalah cari kawan yang ada set pancing yang bersesuaian dengan lapangan memancing tersebut.
Masa mula-mula nak pinjam bukan main manis mulut. “Ala, pinjam seharidua je bro…Nanti aku pulang balik lah… Ada hasil lebih nanti aku bagilah kat kau sikit..”. tak nak bagi, nanti dikata kedekut.
Nak dibagi risau rosak, bimbang tak dijaga elok. Tapi lepas bagi pinjam yang tak seronoknya, lepas seminggu, sebulan, dua bulan, langsung takde khabar berita! Malah ada yang bertahun-tahun buat senyap je. Dalam erti kata lain dah jadi harta sendiri.
Lebih teruk lagi, setelah beberapa purnama perkara ni berlaku dan setelah dipaksa berulang kali, set pancing yang kita terima tak sama seperti keadaan asal.
Selain itu, dah terbalik pula kesnya…si pemberi pinjam pula berasa malu nak mintak semula hartanya, sedangkan yang meminjam langsung tak rasa malu.
Tambah memedihkan, barang yang dipinjam tidak seperti keadaan asal. Ada kes hujung joran patah, kekili bercalar teruk, kayuhan kekili kasar semacam… badan kekili atau cincin joran teruk terhakis dimakan air garam dan macam-macam lagi yang sering kita dengari.
Bila ditanya macam mana boleh jadi camni, macam-macam alasan diberi. Nak disuruhbayar ganti rugi nanti ada yang sampai tarik muka dan putus sahabat! Tapi itulah senario yang sering berlaku.
Bila dah jadi camni, kebanyakan daripada kita dah rasa serik nak beri pinjam set pancing lagi. Bukannya nak bersikap kedekut, tapi bila jadi kes semacam ini sikit sebanyak ia mengganggu emosi kita sebagai kaki pancing.
Mana taknya, ada yang sampai ikat perut berbulan-bulan lamanya semata-mata nak dapatkan set pancing yang menjadi pujaan hati.
Bila ia jatuh ke tangan mereka yang tak reti menghargai ia sememangnya akan memberi kesan yang mendalam kepada kita.
Berbalik kepada kes ini, bukannya niat penulis untuk melarang kaki pancing memberi pinjam set pancingnya kepada kawan-kawan.
Tapi seeloknya, berilah pinjam kepada mereka yang betul-betul diyakini boleh menjaga harta kita dengan baik.
Sekurang-kurangnya risiko untuk terjadi kes-kes yang disebutkan di atas untuk dapat dikurangkan.
Lebih baik lagi jika si pemancing memberi kata dua kepada si peminjam bahawa risiko semua akan ditanggung oleh si peminjam.
Dalam erti kata lain, kalau set pancing itu patah, rosak atau sebagainya, si peminjam haruslah membayar ganti rugi setimpal dengan harga barang yang dipinjam.
Dan bagi si peminjam pula, amatlah dinasihatkan agar menjaga harta orang seperti harta sendiri. Jangan biarkan kepercayaan rakan anda hilang dengan kecuaian sendiri.
Ya, memang benar untuk mendapatkan set idaman yang sesuai dengan lapangan yang ingin anda ceburi itu mahal.
Tapi, alangkah baiknya jika kita mula mengumpul dari sekarang dan dapatkan set pancing sendiri. Sekurang-kurangnya jika rosak atas tangan sendiri lebih puas hati berbanding rosak atas tangan orang lain.
Jadi, ini sebahagian coretan untuk segmen wacana bulan ini. Mari kita dapatkan pula pandangan dan luahan kaki pancing tentang isu kali ini
APA KATA NETIZEN
Pendapat 1
“Bukan joran je. Batu ladung, mata kail, perambut pun mintak kita punya juga. Ingat koperasi sekolah ke?
Kalau ada member spesies yang payah nak pulangkan balik joran kesayangan yang dia pinjam.
Lepas ni kita bagi pinjam koyan atau serek yang harga dua singgit atau pun joran budak-budak harga dalam dua belas ringgit satu set. Kalau hilang tak rasa rugi sangat.
Tak payah bagi balik pun takpe.”
Pendapat 2
“Pergi kat member yang jenis suka pinjam joran @ alatan memancing tu, cakap kat dia nak pinjam duit dalam jumlah sekian-sekian.
Lepas tu beli set memancing pakai duit tu dan bagi dekat member tu sambil ckp “Nah ni hang punya, tok sah dok pinjam barang aku dah”. Settle masalah, boleh la ngail sambil layan kuaci.”
Pendapat 3
“Cukup hanya sekali. Bagi pakai tak reti pulang. Bagi pinjam tak reti nak jaga. Mujur bagi pinjam set option kedua. Kalau la terbagi set utama, mau aku buang semua.
Serik seserik seriknya. Bayangkan sampai boleh ada anak lipas ada dalam spool aku. Aduyaaii…!”
Pendapat 4
“Ni perkara biasa berlaku. Tapi kebanyakannya dari pemancing yang kurang tegar. Kalau pemancing tegar, mesti banyak set pancing dan spare part sendiri.
Aku pun pernah terkena. Dah lepas semenanjung pun set aku. Ape pun tak boleh! Hahaha, takpe, halal kan je lah…”
Pendapat 5
“Beli set pancing boleh kata mahal time tu untuk adik. Adik suka giler dapat hadiah tu. Sekali dia bagi pinjam kat member dia. Bila mintak balik, tertinggal kat kereta pakcik katenya. Lepas tu lepas tangan. Dah hangus!”
Pendapat 6
“Redha je la, awak jugak yang meracun dia masuk jadi ahli memancing ni. Taktik aku senang je. Reka cerita yang memancing pakai barang pinjam ni tak ‘ong’. Kumpau… Hehehehe.”
Pendapat 7
“Biase la tu, tapi tak semua kawan camtu. Memang ada jenis yang pandai pinjam tapi pulang tak pandai. Jenis pakai barang orang, tapi semacam macam harta sendiri. Kita pakai, punyalah kita jaga, belai bagai, bila dah tukar tangan jahanam jadinya.”
Pendapat 8
“Mesti pernah berlaku terutamanya masa masih tahap amatur. Kawan pinjam set pancing, kalau tak bagi, kesian ada, malu pun ada kau tak bagi pinjam. Nanti kawan kata taik hidung masin.
Tapi bila dah bagi pinjam, tak reti nak pulangkan lagi pula. Kadang-kadang berbulu juga rasa. Tapi tak apa, halalkan je. Anggaplah pengalaman.”
Jom baca WACANA seterusnya…