Kata orang aktiviti memancing ni mendedahkan kita kepada kekotoran, bau hanyir, busuk dan sebagainya. Jadi, soal fesyen dan penampilan memang jarang sekali dijadikan isu.
Tetapi sejak akhir-akhir ini memang dapat kita lihat elemen penampilan di kalangan kaki pancing semakin berubah saban hari.
Kalau dulu berlengging sewaktu memancing tu memang perkara biasa. Pakai baju t-shirt pagoda dengan topi jenama sukan pun tak kisah.
Berjemur tengah panas sampai rentung pun tak jadi hal. Tapi sekarang tak lagi! Kaki pancing era baru semakin berani bergerak ke hadapan.
Lengkap dengan seluar khas memancing, kemeja atau baju lengan panjang, topi, dan ini semua belum masuk kasut, jam tangan outdoor, cermin mata polarized dan buff lagi.
Semua ini semakin menjadi trend di kalangan pemancing Malaysia. Memang mengikut peredaran zaman sungguh pemancing masa kini.
Apa pun, fesyen yang cuba diterapkan oleh kaki pancing masa kini memang wajar diberi pujian.
Setidak-tidaknya ia mengangkat hobi memancing daripada nampak selekeh kepada satu hobi yang beridentiti tersendiri.
Ia sekali gus mengubah norma ‘mind set’ orang lain bahawa hobi memancing ada kelas. Tapi, Perlu Ke?
Benar, soal gaya atau penampilan ni bukanlah isu besar untuk digebangkan. Semuanya terpulang kepada individu itu sendiri untuk menggayakan apa jua pakaian atau aksesori ketika keluar memancing.
Jika berkemampuan, tidak salah pun untuk bergaya lebih.
Tetapi persoalan yang ingin dibangkitkan di sini ialah adakah gaya dan penampilan itu sesuatu yang perlu buat kaki pancing?
Sejauh mana gaya memainkan peranan untuk mendapatkan ikan? Atau adakah gaya dan penampilan hanya perlu untuk tujuan bergambar sahaja?
Pokoknya, sekali lagi dijelaskan bahawa penampilan tidaklah memberi apa-apa makna tertentu buat kaki pancing.
Tidak pernah pula terjadi pemancing yang bergaya lebih banyak mendapat ikan daripada kaki pancing yang berpenampilan biasa.
Ia lebih kepada gaya yang melambangkan identiti kaki pancing. Soal rezeki itu semua ketentuan dari-Nya.
Dan buat yang bergaya, janganlah pula memperlekehkan pemancing yang pakai biasa-biasa ketika keluar memancing.
Gaya bukanlah menjadi penentu dan lambang kaki pancing sebenar. Ingat, gaya hanyalah salah satu usaha untuk menjadikan kaki pancing lebih beridentiti.
Tidak ada betul dan salahnya untuk mengenakan pakaian atau aksesori apa pun untuk keluar memancing.
Dan bagi penulis sendiri, penulis lebih selesa memakai pakaian yang ‘simple’ dan tidak terlalu sarat.
Pada hemat penulis, asalkan pakaian itu menjadikan anda selesa sewaktu memancing, itu sudah fesyen pancing memadai.
Begitulah sedikit sebanyak yang dapat penulis kongsikan mengenai topik bergaya ketika memancing untuk slot wacana kali ini.
Jadi, apa pula kata kaki pancing sekalian? Jom kita lihat pandangan dan pendapat kaki pancing untuk isu wacana kali ini.
Apa kata netizen:
“Perlu! Walaupun pemancing sering terdedah dengan persekitaran yang kotor/semak, berhujan dan berpanas cara pemakaian yang baik (mengikut bajet poket) juga menjadi faktor utama untuk kita tampil lebih selesa semasa memancing.
Attitude seorang pemancing itu juga boleh digambarkan dari segi pakaiannya yang nampak lebih segak.
Ini kerana aktiviti memancing sudah menjadi salah satu sukan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Penggunaan buff, hand sleeve, cermin mata, sarung tangan & kasut bukan saja sebagai alat perhiasan diri, malah ia diguna pakai untuk faktor keselamatan.”
“Aksesori dicipta adalah untuk menambah baik bersesuaian mengikut persekitaran, jadi adalah wajar bagi pemancing mengenakan baju, sleeve , buff etc mengikut selera masing-masing.
Barulah up to date! Secara tak langsung ia juga mencerminkan kemajuan arena memancing ini dipandang tinggi dan berada pada standard semasa yang tinggi.
Yang penting tepuk dada tanya selera, mampu lebih belilah yang branded, kalau seadanya, pakailah yang sederhana…”
“Pakaian khas melambangkan identiti seorang pemancing, bukan nak menunjuk tapi untuk keselesaan diri sendiri.
Sebab kadang–kadang ada yang beranggapan buruk jika melihat penampilan pemancing yang selekeh ketika memancing.
Apa-apa pun ikut kemampuan poket, jangan sampai poket rabak gara-gara nak bergaya. Keh…keh…keh.”
“Tak nak la nanti orang yang tak minat memancing akan kata, `Memancing ni untuk orang yang selekeh dan pengotor saja!’.
Jadi sama-samalah kita menjaga imej kita sebagai pemancing. Tunjukkan nilai-nilai murni dan etika seorang pemancing yang profesional.
Hobi sukan, hobi main golf pun ada Identiti pakaiannya, jadi memang perlu kaki pancing Malaysia bergaya.”
“Bagi saya perlu untuk bergaya ketika memancing. Tapi bila dah bergaya ni biasalah, mesti ada yang akan menyindir dan majoriti di kalangan pemancing sendiri.
Sebab sesetengah pro dalam dunia memancing ni akan pakai biasa-biasa je sebab da lama dalam industri. Bila newbie pakai, mesti akan keluar ayat ‘budak baru nak up’.
Ni memang kerap terjadi. Kalau pandangan umum tu biasa la sebab diorang bukan dalam arena ni, dan diorang tak faham. So, kita tak payah amik ‘pot’ sangat.”