Wacana: Apa Seronoknya Mencandat Sotong?

Share

 

Ketika candat sedang dihenjut, kita akan terasa seolah-olah tarikan kita lebih berat dari sebelumya.

Itu menandakan ada sotong yang telah sudi memegang candat kita dengan jari lembutnya.

Mungkin jenis candat yang kita gunakan telah menarik minat sotong atau cara henjutan kita yang membuatkan sotong tergoda untuk menariknya.

 

Sotong tidak seperti ikan, tarikannya sangat jujur. Sotong akan menarik pancing kita dalam tarikan lurus mengundur ke belakang berbanding ikan yang membuat tarikan rawak dan lebih menggila.

Jika pancing kita telah mengenai sotong, risiko untuk tersangkut dengan struktur tidak diingini adalah cukup minima berbanding ikan.

 

Pencandat yang mahir bukan sahaja dapat membezakan antara tarikan ikan dan sotong, mereka juga mampu membezakan tarikan ular laut yang terkena pancing.

 

Jika sotong yang memegang candat anda bersaiz besar, ia akan membuat beberapa kali benaman ke bawah hinggakan tali pancing tertarik ke luar.

Jika anda menggunakan koyan, anda akan dapat merasa tarikan sotong yang original.

Walaupun anda menahan tali di tepi bot, sotong besar masih mampu menarik tali koyan koyan keluar.

 

 

Perlu diingat, jangan sekali-kali mengunci kekili pancing anda. Jika menggunakan koyan pastikan tali anda boleh dihulurkan keluar jika tarikan sotong terlalu kuat.

Pastikan juga tali pancing anda sentiasa dalam keadaan tegang.

 

Menarik sotong tidak sama seperti menarik ikan. Jangan melayan tarikan sotong seperti anda membuat sentakan ikan.

Jika anda menarik sotong seperti ikan, peluang untuk mendapatkan sotong agak tipis. Mungkin anda hanya mendapat jejari sotong sahaja.

Apabila semakin lama anda mencandat, akan akan faham sendiri seni pancingan sotong ini.

 

Semasa sotong tiba dipermukaan, sotong akan memancutkan dakwatnya ke atas. Oleh itu elakkan dari melihat sotong dalam posisi berhadapan.

Pastikan sotong berada agak jauh dari muka anda dengan cara meluruskan tangan semasa mengangkat sotong. Sotong mampu memancutkan dakwat dan air melebihi ketinggian bumbung bot.

Selalunya sotong torak hanya membuat sekali pancutan yang kuat. Pancutan air juga menunjukkan kedudukan sotong yang sudah berada berdekatan dengan permukaan.

 

 

Jika kita menghampiri bot-bot mencandat sotong, kita boleh melihat pancutan-pancutan air yang tinggi.

Pancutan yang kerap memberi gambaran bilangan sotong yang berjaya didaratkan. Jika semakin banyak dan kerap pancutan, maka semakin banyak sotong yang telah dicandat.

Selalunya fenomena sebegini tidak lama, oleh itu pemancing perlu peka kepada perubahan pola ini.

 

Bagi nelayan tradisional dan pencandat-pencandat hardcore, mereka akan menarik sotong dengan tarikan yang sesuai, memegang badan sotong dalam posisi rendah, mencampak ke dalam bekas sotong dan melepaskan semula candat ke laut dengan muka yang cukup bersahaja.

Semuanya berlaku cukup pantas. Agak sukar untuk melihat sotong yang telah mereka tangkap dari jarak yang jauh.

Walaubagaimanapun, pancutan yang dilakukan oleh sotong dapat memberikan gambaran yang cukup bermakna bagi bot-bot yang baru tiba ke lokasi berkenaan.

 

(Sumber: Abe Din – sotonglaut.blogspot.com)

Published by
Amang