Walaupun berhadapan dengan pelbagai rintangan terutamanya mabuk laut pada tahun sebelumnya, Kelab Pemancing Wanita Malaysia atau Women Anglers Club (WAC) ternyata tidak serik untuk menjayakan trip mencandat sotong di perairan Terengganu.
Kali ini, sekitar bulan Mei lalu WAC yang diterajui oleh Normala Abd Rahman selaku presiden kelab telah merancang dan menjayakan trip candat sotong 2018 dengan jumlah ahli penyertaan yang lebih ramai.
Perancangan untuk membawa 40 orang ahli dari Lembah Kelang dengan menyewa sebuah bas persiaran menepati sasaran apabila hanya seorang ahli terpaksa menarik diri pada saat-saat akhir.
Sebelum turun mencandat sotong yang pada asalnya di jeti Pelabuhan Chendering, mereka (ahli-ahli WAC) berehat dan menjadikan chalet di Noor Arfa Craft Complex yang juga terletak di Kuala Terengganu sebagai lokasi kediaman.
Keghairahan 39 ahli WAC untuk turun mencandat jelas terpancar sejurus turun dari bas menuju ke bot masing-masing. Bagi trip ini mereka menyewa 3 buat bot nelayan kelas C. Dengan jumlah pemancing seramai 13 orang bagi bot kelas C ternyata begitu selesa.
Namun atas sebab yang tidak dapat dielakkan, salah sebuah bot kelas C telah menarik diri dan diganti dengan bot kelas B. Namun ia sama sekali tidak menimbulkan sebarang masalah kepada mereka malah keghairahan untuk menyandat sotong tetap meluap-luap.
Sekitar jam 6 petang barulah tiga buah bot membawa 39 pemancing wanita ini keluar dari kuala Sungai Terengganu menuju ke destinasi candat masing-masing. Namun cuaca pada petang itu agak kurang memberangsangkan.
Kaki langit berwarna merah gelap dan tiupan angin yang menderu sedikit sebanyak merencatkan keghairahan mereka. Malah dalam perjalanan bot ke lubuk lebih dari satu jam itu sudah ada ahli yang tidak mampu menahan alunan ombak yang tiada hentinya.
Sekitar jam 8 malam barulah sesi menyandat sotong dapat dimulakan. Itu pun di kebanyakan bot tidak semua ahli yang berjaya memulakannya. Ditambah dengan hasil candat yang begitu perlahan, seorang demi seorang ahli terpaksa mengakui kekuatan kuasa alam.
Ribut dan hujan lebat yang turun sekitar jam 12 malam hampir menjadi penutup trip candat. Malah diberitakan ada ahli di salah sebuah bot yang menangis ketakutan dan merengek untuk pulang ke darat.
Setelah ribut dan hujan teduh hampir jam 2 pagi, suasana di laut ternyata berbeza. Laut kembali menjadi damai dan mesra. Dan keghairahan mereka untuk mencandat kembali meluap-luap apabila ribuan sotong cumit timbul di permukaan air.
Walaupun kehadiran sotong-sotong itu tidak lama, sekejap muncul sekejap hilang namun ia sudah cukup menggembirakan mereka. Peluang tersebut dimanfaatkan sepenuhnya dengan mencandat dan juga menyauk.
Kalau sekali sauk boleh dapat tiga hingga lima ekor sotong sudah tentu sesiapa saja akan berbuat demikian berbanding menyandatnya.
Tepat jam 7 pagi, ketiga-tiga bot yang membawa ahli WAC ini kembali ke jeti di Pelabuhan Chendering. Keceriaan jelas terpancar di wajah masing-masing kecuali salah sebuah bot yang ternyata hasil kurang memberangsangkan.
GALERI