Memang seronok apabila umpan telah mengena, tambah seronok bila dapat bertarung sepuasnya dengan ikan sasaran. Namun teknik dan tatacara untuk mengendalikan ikan yang akan didaratkan itu tidak ramai ambil kisah sangat.
Hakikatnya, cara pengendalian ikan amat penting tak kiralah sama ada untuk melepaskan kembali ikan tersebut atau dijadikan lauk.
Berikut beberapa panduan yang perlu dititikberatkan ketika mengendalikan ikan sama ada untuk keselamatan diri mahupun tangkapan itu sendiri.
Guna Sauk
Tidak kira apa jenis pancingan anda, sauk atau tangguk merupakan alatan kelengkapan memancing yang perlu ada dan dibawa bersama. Kebanyakan pemancing keberatan untuk membawa sauk berikutan saiznya yang besar dan memakan ruang simpanan dalam kenderaan.
Guna Lip grip
Jika tiada penyauk, gunakanlah lip grip atau pencangkuk bibir ikan. Penggunaan lip grip tidaklah sebaik menggunakan tangguk tetapi ia sesuai untuk mengendalikan ikan air tawar bergigi tajam seperti haruan dan toman.
Selain mudah bagi proses menanggalkan mata kail, kemalangan juga dapat dikurangkan jika memegangnya dengan tangan sahaja. Sebaiknya gunalah tangguk atau sauk yang sepadan dan sesuai untuk mendaratkannya. Dengan cara ini ikan tidak berhadapan risiko kecederaan malah dapat mengelakkan kemalangan pada joran dan pemancing sendiri.
Guna Gancu
Jika memancing di laut, seeloknya gunalah gancu atau cangkuk. Apatah lagi jika yang ingin didaratkan itu bersaiz besar, bergigi tajam atau yang bersengat seperti ikan pari. Jika ingin membawa pulang tangkapan tersebut bolehlah dicangkuk pada bahagian badannya, sebaliknya jika melepaskan kembali pastikan tidak mencederakan mana-mana anggota badannya atau putuskan sahaja tali perambut.
Cara Alternatif
Sekiranya tiada peralatan tersebut dan perlu mendaratkannya dengan menggunakan tangan, pastikan ikan berkeadaan lemah. Sebaiknya peganglah bahagian ekor ikan untuk menariknya ke darat atau ke atas bot.
Boleh juga mendaratkan ikan dengan kaedah memegang mulutnya dengan tangan tapi harus diingat, bukan semua ikan boleh dipegang mulutnya seperti siakap atau sebarau. Sebaiknya kenali dulu jenis ikan sebelum tunjuk hero.
Cara Pengendalian
Apabila menanggalkan mata kail dari dalam mulut ikan, sebaiknya gunalah playar atau hook remover. Elakkan dari menanggalkannya dengan menggunakan tangan khususnya mengendalikan ikan bergigi tajam.
Bagi mengurangkan ikan daripada menggelepar, pegang ekor ikan dan bengkokkan badannya ke arah kepala, jangan terlalu kuat hingga boleh mematahkan tulangnya. Jika memegang ikan bersengat, peganglah bahagian kepalanya dengan cara yang betul.
Jangan sesekali menyeret ikan naik ke darat khususnya jika berhasrat untuk melepaskan kembali ikan tersebut. Cara ini boleh menyebabkan kecederaan atau setidak-tidaknya menghapuskan lendir badan yang sangat penting untuk survival ikan.
Sekiranya mata kail ditelan terlalu jauh ke dalam mulut, sebaiknya putuskan saja perambut dan biarkan mata kail di dalam mulut ikan. Ia lebih baik bagi survival ikan daripada memaksa mengeluarkan mata kail tersebut.
Jika ingin bergambar bersama ikan (spesies tangkap dan lepas), sebaiknya ampu tubuh ikan di bahagian kepala dan ekornya. Jangan memegang ekor sahaja kerana ia boleh mencederakan ikan dan mudah terhempas.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Seperti yang anda sedia maklum, sotong merupakan makanan laut utama rakyat Malaysia, selain ikan.
Permintaan sotong semakin meningkat kerana cara sotong diproses dan dipromosikan juga semakin bertambah maju.
Selain ia dijual segar, sotong juga dijual dalam bentuk kering, bentuk bebola, makanan segera dan ditinkan. Sotong merupakan hasil laut yang penting bagi Malaysia.
Dan sejak akhir-akhir ini, aktiviti untuk menangkap sotong semakin mendapat tempat bukan sahaja daripada kalangan rakyat biasa tetapi juga pemimpin tertinggi negara.
Cara yang biasa digunakan untuk menangkap sotong dengan menggunakan candat. Populariti mencandat sotong bermula pada tahun 1980-an kerana sumber sotong yang banyak dan publisti yang semakin meluas.
Selain itu, peningkatan taraf hidup masyarakat Malaysia telah membolehkan mereka memperuntukkan sebahagian hasil pendapatan mereka bagi tujuan rekreasi.
Ramai dalam kalangan anak nelayan atau penduduk yang mendiami kawasan persisiran pantai akan mengambil peluang untuk keluar mencandat sotong bersama-sama saudara-mara atau rakan-rakan, setiap kali balik bercuti.
Aktiviti mencandat sotong bukan sahaja terhad kepada golongan nelayan semata-mata, bahkan semua golongan masyarakat.
Semua jenis sotong hanya hidup di laut. Habitatnya bermula dari pinggir laut sehinggalah ke kawasan yang berkedalaman 5000m.
Semua spesies sotong amat sensitif terhadap perubahan kualiti dan suhu air. Kitaran hayat hidup sotong sangat pendek. Di Malaysia, kawasan persisiran pantai merupakan habitat utama kebanyakan spesies sotong.
Oleh itu, sebelum memulakan rekreasi mencandat sotong , anda seharusnya tahu tentang maklumat tentang pelbagai panduan dan petua berkaitan persediaan diri serta peralatan
mencandat, agar tidak menghadapi sebarang masalah semasa mencandat sotong nanti kerana rekreaksi di laut tidak sama dengan rekreasi di darat.
Walaupun sesorang itu amat hebat dengan kegiatan rekreaksi di daratan tetapi apabila berada di laut anda mungkin lemah akibat mabuk laut.
Laut yang berombak kecil dengan arus yang sederhana sesuai untuk mencandat kerana sotong biasanya tidak banyak jika laut tenang.
Spesies sotong yang biasa dicandat pada waktu siang ialah sotong torak, sotong ketupat, sotong biasa dan sotong mengabang.
Jika kandang sotong ditemui, tangkapan juga agak memuaskan tetapi tidaklah sehebat mencandat pada waktu malam.
Peralatan mencandat seperti joran dan koyan boleh digunakan. Cara mencandat pada waktu malam adalah dengan memasang lampu di kiri dan kanan bot.
Ini adalah kerana sotong lebih aktif pada waktu malam amat peka terhadap cahaya lampu atau api.
Sotong akan bergerak ke lokasi yang bercahaya dan akan terus berada di situ untuk tempoh beberapa lama.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Kejadian ribut petir bukan sahaja banyak berlaku ketika permulaan musim tengkujuh. Ketika peralihan monsun atau bila-bila saja ia boleh berlaku. Ia hampir sama dengan sifat pemancing yang ingin memancing yang tidak pernah mengira musim apa, aktiviti memancing tetap diteruskan seperti biasa.
Oleh yang demikian, aspek keselamatan jangan sesekali diketepikan. Ada beberapa perkara yang perlu kita titikberatkan ketika kejadian kilat dan ribut petir ini.
Panduan Sebelum Berlakunya Ribut Petir
Semak dahulu ramalan cuaca sebelum keluar jika tempoh berada di luar agak panjang. Sekarang ini sudah ada banyak aplikasi cuaca yang boleh dimuat turun ke handphone. Jika cuaca dijangka buruk, sebaiknya batalkan saja trip tersebut.
Sekiranya sudah berada di laut atau lain-lain padang pancing, lihat sebarang tanda-tanda kedatangan ribut jika ada. Jika terlihat sebarang tanda, tanya pendapat tekong.
Kalau memancing tanpa guide, korang ambillah tindakan selamat dengan mencari tempat perlindungan yang sewajarnya.
Panduan Ketika Berlakunya Ribut Petir
Masuk ke dalam kabin jika di atas bot, cari bangunan kukuh atau kereta jika memancing di darat. Jangan berteduh di tempat kecil atau di bawah pokok yang terpencil. Jika berlaku kilat dan tiada bangunan kukuh, masuk ke dalam kereta dan tutup tingkap.
Keluar dari bot dan jauhi kawasan berair jika memancing di sungai atau tasik kecil.
Talian telefon dan paip logam boleh mengalirkan elektrik. Hindari daripada menggunakan telefon atau sebarang kelengkapan elektrik. Guna telefon hanya semasa kecemasan. Cabut palam kelengkapan elektrik yang tidak digunakan.
Jangan mandi! Mandi hujan ketika ribut petir di kawasan terbuka samalah seperti menyerah diri untuk disambar kilat dan petir.
Jika memandu di lebuh raya atau jejantas, berwaspada dengan angin kencang. Tutup penyaman udara. Luruan kuasa kilat boleh memberikan beban lebih pada pemampat.
Jika terperangkap di luar bangunan dan tiada tempat berlindung, berteduh di tempat rendah yang tidak banjir yang jauh dari pokok dan pagar. Jika berada di dalam hutan, berteduhlah di bawah pokok yang lebih rendah.
Jika didapati kulit kita terangsang atau rambut kita menegak, berjongkoklah ke tanah. Letakkan tangan di lutut dengan kepala di antara kedua-dua lutut. Jadikan badan sekecil mungkin dan kurangkan daripada menyentuh tanah.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...