Udang galah atau juga disebut jenggo, jerangkong atau lain-lain lagi merupakan jenis hidupan yang memakan apa sahaja umpan yang disuakan asalkan ia berbau. Bagi kaki pancing tegar, mereka biasanya akan menyediakan lebih dari satu jenis umpan setiap kali turun memancing. Ini kerana, ada kalanya udang galah lebih galak menjamah umpan tertentu dalam satu-satu masa.
Anak udang sungai
Anak udang yang ditangguk juga mujarab sebagai umpan memikat udang galah. Pilihan lain ialah udang yang dijual di pasar.
Ruat nipah
Ruat nipah atau umpun-umpun merupakan umpan pilihan. Sedikit tip jika menggunakan umpan ini potong dari bahagian ekor, untuk elakkan umpun-umpun cepat mati.
Cacing tanah
Ada kalanya cacing tanah, lebih laju dijamah udang galah berbanding umpan lain. Jadi jangan lupa membawanya setiap kali turun memancing.
Hati haiwan
Selain hati ayam, hati lembu, kambing juga boleh digunakan. Potong dan jadikan bentuk kecil.
Jantung ayam
Sama juga seperti hati, jantung ayam dipotong kecil.
Ikan gapi
Ikan longkang atau ikan gapi boleh menjadi umpan terbaik.
Usus ayam
Usus atau perut ayam dikatakan memiliki bau yang kuat. Gunakan gunting untuk memotong kepada bentuk yang kecil.
Isi kerang
Isi kerang juga amat berpotensi, caranya rebus sekejap kerang bagi memudahkan mengopeknya. Ia perlu dipotong kecil.
Isi ikan
Isi ikan juga boleh dipraktikkan sebagai variasi kepada umpan sedia ada.
Umpan busuk
Umpan tapa sama ada buatan sendiri atau yang terjual di pasaran bukan saja sesuai untuk memancing ikan baung tetapi juga udang galah. Banyak rekod juga udang galah bersaiz jenggo didaratkan menggunakan umpan tapa.