Variasi Umpan Menjerat Ikan Kuku

Share

 

Ikan kuku mempunyai diet pemakanan yang cukup unik. Dari krustasia kecil, moluska, anak ikan sehingga ketulan daging ayam, roti dan tepung yang diuli. Dari segi rangkaian makanan saya berpendapat ketam angin adalah kegemaran utama kuku diikuti anak udang ketak, udang pasir berkulit keras, anak ikan, perumpun dan sebagainya.

 

 

Pengunaan isi ayam goreng, capati atau roti canai separa masak, tepung yang diuli sebagai umpan kini menjadi kemestian memandangkan tidak banyak ikan-ikan muara lain mengemarinya. Atas dasar ini kadar sentapan ikan kuku lebih besar di sebabkan ikan-ikan lain jarang mengacau jenis umpan makanan darat ini.

 

Roti canai dan tepung saya pernah mencubanya tetapi isi ayam goreng belum lagi. Seeloknya umpan jenis digunakan semasa banyak ikan lain datang mengacau umpan.

 

 

Di Australia, pengunaan soft plastic begitu meluas untuk menjerat spesies ikan bream. Soft plastic berupa anak udang dan cacing laut menjadi pilihan kebanyakan pemancing di Australian ini. Ia jarang diamalkan di negara kita memadangkan sukar bagi pemancing mengesan spot utama kuku kerana kehadirannya berkait rapat dengan musim.

 

Ketam Kecil

Ketam batu, ketam angin atau ketam Rumput dikatakan paling mujarab malah mampu menarik perhatian siakap merah. Umpan ketam dicangkukkan dari bahagian bawah hingga menembusi kulit atas. Sebaiknya ketam hidup.

 

 

Roti sandwich

Umpan roti juga boleh digunakan. Biasanya menggunakan roti Gardenia yang dikepal kecil-kecil sebelum dicangkukkan. Roti Gardenia butterscotch dikatakan lebih berkesan kerana memiliki aroma mentega.

 

 

Udang hidup

Udang hidup agak jarang digunakan untuk memancing kuku namun tidak mustahil menaikkan kuku bersaiz besar. Gunakan udang bersaiz kecil anak jari.

 

 

Roti canai

Roti canai antara umpan kuku popular di Terengganu. Roti canai yang dimasak separuh dikatakan paling baik dibuat umpan.

 

 

Ayam goreng

Ayam goreng sama ada digoreng sendiri dengan minyak yang telah digunakan atau menggunakan ayam goreng KFC. Cangkukkan sahaja cebisan isi ayam goreng sebagai umpan.

 

 

Umpan tepung

Umpan campuran tepung biasanya digunakan oleh pemancing yang telah lama memancing kuku. Campuran tepung yang diuli dengan pelbagai resepi menjadi umpan rahsia untuk memancing kuku.

 

 

Sate ayam

Sate ayam merupakan satu lagi alternative pilihan kaki pancing untuk menjerat spesies ini. Ada sesetengah pemancing menggunakan sate tongkeng ayam kerana bahagian ini lebih berlemak dan mengeluarkan minyak untuk dikesan oleh kuku.

 

 

Teritip

Teritip merupakan makanan asasi bagi ikan kuku. Tengok sajalah bagaimana rupa gigi ikan kuku. Untuk menggunakan umpan ini sebaiknya dikupas kulit dan diambil isinya.

 

 

Udang ketak

Tentu saja ia merupakan umpan kegemaran ikan kuku tetapi untuk mencari anak udang ketak yang bersaiz sebesar ibu jari bukannya mudah.

 

Published by
Amang