Dengan nama binomial Gnathanodon speciosus, spesies ini memang merupakan antara spesies yang menjadi target utama kaki pancing. Tidak kiralah kaki bottom, surf casting, casting atau jigging di mana lebih gemar menggunakan umpan tiruan.
Dalam konteks pancingan, gerong belang (GB) tidak cerewet sebaliknya sering memberikan respon atau melakukan strike terhadap banyak jenis umpan atau gewang tiruan.
Faktor ini menjadikan spesies ini dianggap antara spesies ikan pancingan sukan yang terbaik. Malah, spesies ini memberikan pemancing lebih banyak pilihan dan alternatif umpan untuk menggoda sang belang tarung ini.
Kemampuan utama GB terletak pada daya kekuatan yang dipadankan dengan sifat agresifnya, menjadikan ia lawan yang tidak akan sesekali mengalah awal ketika dalam pertarungan.
Ikan ini juga bukanlah pelawan permukaan. Walaupun gerong gemar menghentam gewang atau umpan di permukaan, spesies ini serta merta akan memecut ke dasar air sebagai padang pertarungan dan akan bertahan sehingga ke tenaga akhirnya.
Walaupun saiz biasa bagi gerong belang sekitar 5-8 kg, abiliti kekuatan aggresif dan sifat melawan yang tidak akan mengalah mampu membuatkan pertarungan dengan mana-mana pemancing akan berlarutan lebih lama. Ini tentunya memberikan kepuasan pertarungan sebenar kepada kaki pancing.
Golden trevally, seperti kebanyakan spesies trevally yang lain merupakan lawan yang mempunyai daya perlawanan yang kuat. ia pasti akan menguji sejauh mana keupayaan dan teknik pancingan kaki pancing. Tidak hairanlah GB juga merupakan salah satu spesies ikan trofi termasuk kaki pancing di Malaysia.
Jika dibuat gambaran, saya suka menggambarkan ikan ini sebagai satu spesies yang robust dan agresif dalam konteks ikan pancingan sukan. Fizikal solid gerong belang memberikannya kekuatan daya melawan yang mengagumkan.
GB bukanlah spesies yang licik, sebaliknya berperwatakan lebih terbuka apabila tidak segan silu menghentam umpan. Spesies ini seolah-olah lebih gemar cabaran pertarungan yang terbuka dan adil, sebuah pertarungan kuasa dan kekuatan antara ikan dan pemancing.
Selain itu, paten pemakanan GB yang gemarkan kawasan air cetek turut membuatkan spesies ini menjadi ikan target yang bagus untuk pancingan sukan dan kegilaan untuk pemancing yang gemar menggunakan gewang selain pancingan pantai atau dasar.
Pemancing lebih mudah untuk mengakses ke lokasi yang mempunyai ciri-ciri habitatnya. Teknik pancingan dasar untuk gerong belang sesuai dilakukan di kawasan air yang agak dalam di kawasan terumbu karang. Ikan umpan yang gemar bermain di kawasan terumbu karang seperti tamban dan selar sesuai dibuat umpan hidup.
Jika menggunakan umpan hidup, teknik hanyut atau drifting antara yang mampu beri pulangan kerana gerong gemar meluru ke mangsanya yang berenang hampir ke permukaan.
Jika berlaku strike daripada sang gerong, ambil masa seketika sebelum melakukan henjutan kerana biasanya gerong akan memegang umpan atau ikan yang menjadi mangsa di mulutnya seketika sebelum memakannya.
Selain itu, udang juga merupakan umpan kegemaran bagi gerong belang selain hirisan ikan atau sotong. Jika memancing gerong, gunakan perambut nylon atau fluoro carbon yang agak panjang dengan batu hidup.
Pastikan juga anda tidak terlepas pandang untuk sesuaikan saiz mata kail dengan umpan jika anda menggunakan udang, hirisan ikan atau hirisan sotong.