Variasi Perambut Terbaik Mengumpan Jenahak

Share

 

Atas faktor kepelbagaian saiz ikan jenahak yang berpotensi memakan umpan yang dilabuhkan, secara tidak langsung ia menyulitkan sedikit keadaan untuk memilih peralatan pancing yang tepat. Oleh yang demikian lokasi padang pancing juga menjadi faktor sampingan dalam pemilihan ini.

 

 

Jika memancing dari tebing  atau jambatan paling sesuai menggunakan peralatan bersaiz sederhana yang mampu membuat balingan jauh ke kawasan yang lebih dalam. Tali berkekuatan 15lb (tangsi atau braided) sudah memadai dengan kekuatan perambut sekitar 30lb.

 

Menggunakan perambut yang lebih kasar bertujuan untuk mengelakkan ia terputus ketika umpan dilarikan dan ketika jenahak cuba melarikan tali pancing ke kawasan yang mempunyai hadangan.

 

 

Jika menggunakan bot atau sampan, joran kelas menengah atau aksi berat diperlukan bersama kekili siri 4000-6000 dengan tali berkuatan 20lb hingga 30lb dan panjang joran disyorkan ialah di antara 5 hingga 6.5 kaki.

 

Namun penggunaan set multiplier adalah lebih digalakkan. Memadai set multiplier yang kecil sepadan dengan kedalaman air dan spesies ikan sasaran. Perambut monofilament yang disyorkan di antara 40lb hingga 50lb dan panjang perambut tersebut paling elok 1 meter atau 1 depa ke atas.

 

 

Jika memancing di perairan dengan kedalaman melebihi 30 meter perambut yang lebih panjang dengan pemberat yang bersesuaian dengan kelajuan arus perlu diberi perhatian. Untuk mengelakkan perambut berpintal dengan tali utama, gunakan pengimbang seperti tanduk, ranggung atau dawai keluli tahan karat berbentuk T dan labuhkan umpan secara perlahan-lahan.

 

Sebaiknya lepaskan umpan terlebih dahulu ditolak arus barulah lepaskan batu ladung perlahan-lahan agar perambut tidak bergerak ke arah tali utama gara-gara momentum batu ladung yang jatuh dengan laju. Jangan terburu-buru ketika proses melabuhkan umpan.

 

 

Mata kail pula, saya cadangkan agar anda move on dari menggunakan J hook kepada circle hook atau mata lingkar. Saiz 2/0 hingga 6/0. Cara makan ikan jenahak yang meragut dan melarikan umpan sememangnya tepat dengan ciri-ciri mata kail lingkar.

Published by
Amang