(UPDATE) : Trip 26 Disember Dalam Memori!!

Share

 

(Oleh: Oyabun)

Boleh dikatakan setiap kali tanggal 26 Disember pada setiap tahun, saya akan berada di laut.

Banyak perancangan trip berlaku tanpa menyedari tarikh tersebut dan saya tidak begitu taksub dengan perkaitan masa yang telah lepas.

 

Sudah beberapa tahun selepas tragedi bersejarah tsunami melanda Acheh, seolah-olah memanggil saya untuk sentiasa berada di laut pada tarikh tersebut.

Apa-apa pun yang pasti ia kebetulan dan bukanlah kemestian untuk melarikan diri dari tanah besar setiap 26 Disember.

Ketika kejadian tsunami 2006 dulu, saya memancing di laut sebelah Selat Melaka.

 

26 Disember tahun lalu, seawal sinar pagi masih samar di pangkalan, saya bersama rakan-rakan sudah berlepas keluar dari jeti.

Sampan fiber sepanjang 30 kaki dengan enjin 4 lejang kembar memecut dalam keadaan laut beralun.

Tekong Abang Lan dengan selamba memecut sampan untuk tiba ke destinasi dalam tempoh sejam.

 

Kali ini kami berenam mengadakan trip jigging seharian di kawasan perairan Pulau Jarak. Tekong pilihan kami dipanggil Abang Lan berpangkalan di jeti Kampung Manjung, Setiawan, Perak.

Beliau sebelum ini merupakan tekong bot memancing dasar dan kini beralih angin menumpukan sepenuhnya teknik jigging setelah terasa bahang apabila berjaya mencubanya buat kali pertama.

Sudah masuk 4 tahun beliau membawa kaki jigging menduga kawasan perairan Pulau Sembilan hingga ke Pulau Jarak.

 

PULAU REBUTAN

 

Pulau Jarak sememangnya menjadi rebutan lubuk di kalangan tekong memancing dengan bot-bot pukat tunda.

Pantang terdengar apabila satu lubuk dijumpai oleh tekong memancing, pasti bot tunda akan mula datang mencari dan menggondolkan karang sedikit demi sedikit.

Kuasa bot tunda dengan pukat berantai boleh ‘berjalan’ di atas permukaan karang sambil menghakis sedikit demi sedikit sehingga ikan sekitar turut sama disapu dek pukat.

 

Kawasan ikan baru pastinya tidak berminat lagi untuk mendiami kawasan tersebut memandangkan alga dan bunga karang sudah tidak berseri lagi.

Tiada alga, tiada plankton, tiada anak ikan dan akhir tiada ikan pemangsa. Banyak tekong memancing terpaksa gulung tikar kerana pemancing sudah tidak menunjukkan minat untuk bertandang.

 

Hal ini bakal berterusan kerana permintaan tinggi terhadap sumber protein ini. Malah undang-undang kawal selia kegiatan pukat secara tidak telus ini hanya sekadar sebuah

buku yang tidak menjadi ikutan pengusaha bot yang sudah melabur jutaan ringgit untuk membina sebuah bot pukat yang berkuasa tinggi.

 

TEBING, PUNCAK DAN LEMBAH KARANG

 

Kami bertandang ke spot yang masih ada lagi tompokan karang tinggi yang berpotensi dan dihuni banyak spesies ikan di dasarnya.

Kedalaman lopak ialah 280 kaki dan menaik sehingga 180 kaki. Sesetengah kawasan karangnya mempunyai jerumun mencanak, menjadi tempat ikan jenahak dan kerapu mengintai mangsa dari celah karang. Ia menjadi kawasan sesuai untuk teknik jigging.

 

Sebaik sahaja penanda pelampung diturunkan, kami dapati kawasan berdekatan dibanjiri burung mengikuti kawanan ikan tongkol.

Menurut tekong, elok berhanyut sambil menunggu percikan air sampai ke arah kami. Kalau dikejar atau dihampiri ia pasti hilang dengan cepat.

Perkara yang biasa dialami apabila berhadapan dengan fenomena sebegini.

 

Kami mempersiapkan peralatan sambil menunggu ‘boiling’ tersebut rapat ke arah sampan.

Dalam keriuhan burung camar, terdapat juga kocakan air cukup besar yang tidak mampu dijanakan oleh ikan tongkol.

Apabila ia semakin rapat, barulah jelas kelihatan badan silinder memanjang dengan gigi tajam.

 

Sasaran utama jigging ialah jenahak dan kerapu. Joran jig yang sudah sedia mula diturunkan termasuk tekong sekali.

Dengan 6 ketul jig yang menggeleng kiri dan kanan menuruni air berkedalaman 250 kaki. Ia mula dihenjut dengan pelbagai rentak mengikut kesesuaian si pemancing itu sendiri.

Awalnya kami menumpukan jig pada kawasan permukaan dasar mencari sasaran utama terlebih dahulu sebagai lesen aktiviti pagi.

 

Anehnya tiada sambutan tidak seperti kebiasaannya menurut tekong Abang Lan. Kemudian baru kami perasan kemungkinan kumpulan yu yang berada di lubuk sekitar menakutkan ikan sasaran untuk menghentam jig yang dihulurkan.

“Kita layan yu dulu”, Nizam mencelah setelah banyak kelibat yu semakin jelas dan tidak ada rasa takut dengan sampan kami.

 

SEDEKAH JIG LAGI

 

Kalau jigging spesies bergigi tajam, hilang jig dan putus tali utama adalah perkara biasa.

Yang tak sanggup ialah jig hilang ketika diturunkan ke air, sedar-sedar tali dah kendur dan tak sampai-sampai ke dasar.

Jumlah keseluruhan jig terkubur dalam trip ini lebih dari 30 ketul, malah jig-jig yang lama sukar untuk diperolehi di pasaran juga turut sama berkubur.

 

Walaupun ada di kalangan kami menggandakan kekuatan tali kevlar sehingga 180lb, namun tali utama pula yang menjadi sasaran yu.

Tiada cara untuk menghalau yu dari kawasan tersebut kecuali layan je dengan jig. Amran menjadi pemancing pertama berjaya menangani kerenah yu setelah beberapa ketul jig dibaham dengan mudah sebelumnya.

 

Jig jenis madai aka sotong tengkorak nampaknya berkesan mengatasi masalah perambut putus dek penangan gigi yu.

Ketika Amran bertarung dengan yu, seorang daripada kami tidak sempat mengarau tali pancing.

Nahas apabila yu timbul di permukaan ia biasanya membuat satu pusingan mengelilingi sampan dan ketika itu mana-mana tali yang berada pada laluannya pasti menjadi mangsa.

 

Hilang tali sulam 40lb sepanjang 250 kaki sekelip mata. Dalam hal ini masing-masing ada ‘back-up’ sama ada guna ‘spare spool’ atau mesin kedua menjadi pertaruhan.

Kami seolah-olah tidak serik dengan permulaan dengan seketul dua jig beliau ketika disentap ikan yang rata-ratanya yu sirip putih.

Kami memperlahankan rentak apabila melihat keputusan banyak berpihak kepada sang ikan. Letih juga asyik dok mengikat FG knot dalam keadaan laut yang tak tenang.

 

TUKAR TARGET

 

Sebelah petang kelibat burung camar dan kumpulan tongkol sudah tidak kelihatan. Abg lan kemudiannya membawa kami ke arah spot kegemaran beliau.

Sampan akan berhanyut dari kedalaman 270 kaki hingga puncak karang pada kedalaman 170 kaki dan kemudiannya turun semula pada kedalaman purata 250 kaki.

 

Tekong akan memantau pergerakan dan naik semula untuk membuat jigging ulang pada titik permulaan bersebelahan.

Apabila yu sudah tidak kelihatan, baru kami mendapat beberapa sentapan dari dasar. Tekong Abang Lan yang rajin melakukan jigging terus sebaik sahaja jig mencecah dasar, mendapat strike permulaan petang di pertengahan air.

 

Jig Gomoku Storm seberat 100 gram menjadi pertaruhan. Saiz yang sesuai pada kelajuan arus ketika itu dengan tali sulam 30lb di padankan dengan perambut 40lb.

Kekili Shimano Stella 6000PG dipadankan dengan joran PE 1-3 milik beliau melentur dengan tahap maksima.

Beliau yang biasa jigging di kawasan ini dari awal-awal lagi dapat meneka spesies yang menerkam jig yang sebelum ini tak mengena beberapa kali sambaran.

 

GT pertama awal petang membakar semangat kami untuk kembali beraksi. Nizam akhirnya dapat sambaran setelah berulang kali menghenjut jig di kawasan dasar.

Namun kekuatan ikan tak terdaya untuk beliau menampung larian berterusan lalu terkubur satu lagi jig miliknya.

 

Sedang Abang Lan mendapat sambaran kedua, Amran turut sama menerima strike. Satu dari dasar dan satu di pertengahan air.

Seekor lagi GT dan kerapu meniupkan lagi deruan angin petang. Bukan itu sahaja banyak juga sambar kami terlepas dan putus kerana masing-masing hanya menggunakan tali kekuatan 30 dan 40 lb sahaja.

 

Di kalangan yang gemar melakukan jig pada kawasan dasar terpaksa membayar harga lebih kerana kes tersangkut pada karang adalah tinggi.

Ini kerana apabila tiba di bahagian cetek tetapi jig masih lagi dihenjut di kawasan cerun karang, banyak berakhir dengan titik noktah.

Ikan lebih pantas mencari perlindungan walaupun ditarik berulang kali.

 

Sambaran pada joran berkekuatan PE1 hingga PE3 lebih cepat menawan mangsa kerana aksi hujung joran yang lembut dapat mengolah tarian jig dengan lebih menggiurkan.

Hujan renyai serta tiupan angin bertambah laju tidak dihiraukan tekong kerana waktu tersebut ikan kian galak.

Kami terus berjigging sehingga lewat petang dengan 2 ‘double strike’ jenahak menutup tirai bagi mengejar wajah siang sebelum tiba di gugusan Pulau Sembilan.

 

Published by
Amang