Sebagaimana namanya, Dataran Otomobil Seksyen 15, Shah Alam merupakan pusat sehenti bagi penggemar dunia permotoran berikutan banyak tersedia premis aksesori dan modifikasi kenderaan. Sementara bagi kaki-kaki pancing sekitar Lembah Kelang dan Shah Alam khususnya, Dataran Otomobil Seksyen 15 menjadi lokasi pilihan kerana di sinilah letaknya sebuah premis atau kedai pancing popular, Fisher Tackles.
Antara pemancing yang sering berkunjung ke Fisher Tackles ialah Suffian Mahmud yang memiliki kemahiran menyelenggara dan membaik pulih kekili memancing. Berikutan kekangan masa untuk melayan permintaan pelanggan bagi membaik pulih kekili, Loh Mun Seng (pemilik Fisher Tackles) atau lebih dikenali Ahseng memberi kepercayaan kepada Suffian untuk membaik pulih kekili pelanggannya. Bermula dari situlah tertubuhnya Under15Roof – kios muafakat anglers.
“Saya mengamalkan konsep direct services,” ujar Suffian tentang kelebihan servis perkhidmatan yang beliau tawarkan.
Ads
“Maksudnya, pemancing boleh bawa kekili dan lihat sendiri apa yang saya lakukan pada kekili tersebut. Apa-apa kerosakan pelanggan boleh lihat sendiri dan boleh pilih sendiri alat ganti yang ingin digunakan.”
“Pelanggan juga boleh melihat sendiri cara-cara kerja saya, alat ganti dan kualiti minyak atau gris yang saya gunakan. Kalau pelanggan kesuntukan masa untuk menunggu dan perlu meninggalkan barang (kekili), saya tiada sebarang masalah untuk menerimanya.”
Ads
Menurut Sufian lagi, sudah lebih setahun beliau mengusahakan khidmat servis membaik pulih kekili ini hampir setiap malam bermula dari jam sembilan malam sehinggalah jam tiga atau empat pagi.
Ads
Pada mula beliau hanya bersendirian dan bermula dengan sebuah meja sahaja. Hari ini, tapak tersebut turut menjadi sumber pendapatan sampingan rakan-rakan lain sama ada menjadi pembantu beliau atau menawarkan perkhidmatan lain yang bersangkut dengan dunia memancing seperti jualan baju memancing terpakai dan mengecat semula kekili.
Sementara bagi Mohamad Zufayri Azmi, beliau sama sekali tidak menyesal meninggalkan kerjaya sebagai chef di bahagian artistik dan duduk di bawah bumbung Under15Roof dengan menawarkan khidmat mengecat semula semula atau modifikasi kekili.
“Setakat ini saya berjaya memperoleh pelanggan dari Surabaya dan Singapura. Saya percaya custom painted reels ini akan menjadi fenomena di negara kita sebagaimana di Jepun suatu hari nanti.”
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Selesai sahaja makan tengah hari, saya, Matstuckq, Martdet, Ajip dan Abu serta Rasheed selaku boatman kami tanpa berlengah lagi terus meredah ketenangan tasik menuju spot yang dirasakan berpotensi di sekitar Sungai Temin.
Pelbagai gewang dari jenis permukaan, selaman cetek hinggalah ke selaman dalam pelbagai warna serta jenama dan saiz malah spoon serta buzzbait telah dilontar namun belum juga menerima sebarang sambaran.
Akhirnya gewang selaman Megabass Flap Slap saya membuka tirai tangkapan kami apabila disambar oleh seekor toman bujang berskala 1.5kg.
Kemudian Martdet pula berjaya mendaratkan 2 ekor toman bujang berskala yang lebih kurang sama dengan menggunakan gewang permukaan Salmo yang diletakkan propeller di bahagian hadapannya.
Apabila tiada lagi mendapat sebarang sambaran, boatman mencadangkan kami untuk pergi ke Sungai Tiang kerana menurut beliau banyak haruan bermain di sekitarnya pada waktu petang, boleh juga dijadikan hidangan untuk keesokan hari.
Keadaan air yang surut dan agak keruh menyukarkan sedikit perjalanan masuk kami ke Sungai Tiang. Di tebing cetek Sungai Tiang kami dihiburkan dengan beberapa ekor haruan remaja dengan menggunakan gewang selaman cetek dan spinner.
Kemudian kami mencuba pula di dua buah lopak air yang agak besar berhampiran perkampungan Orang Asli Sungai Tiang. Beberapa ekor lagi haruan remaja turut kami perolehi di sini menggunakan jump frog, spinner bait dan pencil. Tangkapan terbaik adalah haruan berskala 1.4 kg oleh Martdet dengan menggunakan spinner bait.
Memandangkan hari telah semakin gelap kami kembali semula ke house boat walaupun masing-masing masih belum puas melayan sambaran yang begitu banyak oleh haruan di lopak tersebut.
Setibanya di houseboat, dua kumpulan lain juga turut membawa berita yang agak menggembirakan apabila berjaya mendaratkan beberapa ekor toman walaupun masih tiada lagi tangkapan sebarau yang dicari.
Kami telah keluar seawal pagi keesokan harinya dengan harapan sasaran dicari akan tercapai dan suak-suak di Sungai Tiang dituju serta kawasan-kawasan sekitar highway. Seperti semalamnya, masih tidak kelihatan kelibat kawanan sebarau ‘mendidih’ namun sang toman banyak kelihatan menimbul mengambil udara.
Kami memasuki satu kawasan suak dan saya sekali lagi membuka tirai tangkapan hari kedua dengan seekor toman bujang yang menyambar gewang Megabass Prop Darter yang saya lontarkan di hujung kayu tumbang.
Seterusnya kami memperoleh sambaran dari toman-toman remaja sahaja yang begitu galak menyambar gewang permukaan.
Di satu suak lain yang terdapat aliran anak sungai kami akhirnya berjaya juga memecah kebuntuan di mana Ajip dan Matstuckq mendaratkan sebarau berskala hampir 1kg seekor seorang menggunakan gewang selaman Rapala Flat Rap dan Tail Dancer.
Selepas makan tengah hari hujan turun dengan begitu lebat selama hampir 2 jam. Adakah nasib kami bakal berubah dengan turunnya hujan rahmat ini? Sebaik sahaja hujan reda kami tanpa berlengah lagi terus menuju spot-spot yang dirasakan berpotensi di sekitar Sungai Kenerong.
Kami telah menemui sekumpulan anak toman yang masih merah lagi namun kawanan anak tersebut menghilang walaupun baru sekali sahaja lontaran gewang dilakukan. Kami terus menyusuri suak tersebut dan lontaran terakhir oleh Matstuckq sejurus sebelum bergerak keluar disambar kasar oleh penghuni dasar.
Rupa-rupanya induk kawanan anak toman sebentar tadi yang menyambar gewang selaman Rapala Tail Dancer dan induk tersebut berjaya didaratkan. Setelah gambar dan berat diambil induk tersebut dilepaskan semula kepada kawanan anaknya dengan selamatnya.
Saya seterusnya mendapat sambaran apabila gewang selaman Ofmer X-Deep yang saya lontarkan sebaik sahaja mengesan kelibat riak air toman menimbul di sebelah bot namun nasib tidak menyebelahi saya kerana toman bujang yang saya anggarkan berskala 3-4kg tersebut berjaya mengangkangkan mata kail semasa pecutan terakhirnya.
Begitu juga dengan Matstuckq yang sekali lagi mendapat sambaran kasar tetapi toman tersebut berjaya meloloskan diri apabila licik membelitkan tali utama ke reba.
Namun begitu, Matstuckq berjaya juga mendaratkan seekor sebarau sebelum senja dan saya juga turut memperbaharui lesen sebarau Royal Belum saya sejurus selepas itu apabila mendaratkan seekor sebarau remaja menggunakan gewang selaman Rapala X-Rap yang saya lontarkan berulang kali ke satu tunggul kayu tumbang.
Apabila kami pulang ke house boat dua kumpulan yang lain turut berjaya memperolehi beberapa ekor lagi sebarau. Memang benarlah hujan yang turun memberi rahmat kepada kami.
Untuk hari terakhir kami lebih santai kerana masa untuk mengilat yang terhad. Kami keluar awal selepas menikmati sarapan pagi. Kali ini kami menuju sekitar suak di Sungai Ruok berhampiran dengan jeti Pulau Banding.
Tiada hasil yang membanggakan di situ kecuali seekor sebarau hampir 1kg yang berjaya Martdet perolehi dengan menggunakan sesudu jenama Bakau. Kami keluar semula dari suak tersebut dan seterusnya memasuki Sungai Gadong sebelum pulang.
Hinggalah kami tiba jauh ke pertengahan sungai tersebut di mana kami menemui satu kawanan anak toman yang telah bersaiz 200-400 gram yang masih lagi diiringi oleh induknya. Kami bergilir-gilir melontar gewang permukaan serta selaman dalam, hanya satu sambaran yang diperoleh namun tidak menepati sasaran seolah-olah hanya sekadar menghalau sahaja.
Selepas beberapa kali lagi lontaran dilakukan tiada lagi sebarang sambaran dan kami kembali semula ke house boat untuk bersiap pulang.
Secara keseluruhannya kami berpuas hati dengan hasil yang diperoleh sepanjang trip ini walaupun tidak berjaya mendaratkan sebarau yang berskala kasar disebabkan paras air yang begitu surut.
Namun, sambaran-sambaran daripada toman bujang berskala 1.5-3 kg amat menghiburkan yang kebanyakannya rakus meligan gewang selaman dalam.
Musim sotong pada tahun itu, saya bersama enam lagi rakan mengambil keputusan mencuba mencandat sotong di sekitar perairan Setiu, Terengganu.
Menaiki kereta dari Petaling Jaya menuju ke Kampung Mangkuk, Penarik, Terengganu sememangnya cukup jauh dan biasanya kami akan berehat dahulu dengan menyewa mana-mana chalet sebelum turun ke laut.
Kami bertolak ke lokasi sekitar jam 3 petang dan perjalanan menaiki bot ke lokasi mencandat mengambil masa kira-kira sejam setengah.
Dalam perjalanan, tekong beberapa kali singgah ke beberapa unjam kerana ada permintaan rakan yang mahu melabuhkan appolo mencari ikan lauk.
Tiba di lokasi, hari beransur petang dan mulai gelap dan bermulalah aktiviti mencandat. Beberapa buah bot turut kelihatan mencandat sotong.
Pada awalnya banyak juga sotong yang dinaikkan oleh kami, namun menjelang jam 11.00 malam, sotong agak berkurangan dan langsung tiada selepas itu.
Beberapa orang rakan ada yang mengambil keputusan untuk berehat seketika. Tekong pula menyediakan air kopi O, apalagi time makanlah terlebih dahulu. Masing-masing membuka bekalan nasi, roti dan kudapan lain.
Dalam ramai-ramai rakan saya, hanya Mat kali pertama turun ke laut. Kesannya, Mat mulai pening dan mabuk sejak petang tadi dan akhirnya dia tewas juga apabila muntah. Walaupun telah berehat di dalam kabin, kesian kami melihatnya apabila muntah beberapa kali selepas itu.
Tekong kemudiannya mengambil keputusan untuk mengubah lokasi. Kira-kira 15 minit kemudian, enjin bot pun dimatikan. Tekong perasan terdapat objek pelik di permukaan laut. Rupa-rupanya gerombolon sotong berada sedang berada dalam kedudukan menegak.
Apa lagi, kami pun menurunkan set appolo candat, memang silih berganti kami naikkan. Tekong pun turut sama.
“Pesta-pesta” katanya! Rupa-rupanya kami telah bertemu secara tidak sengaja, kumpulan sotong yang besar. Memang rezeki kami.
Sedar tak sedar, empat tong Coleman yang kami bawa telah penuh dan menjelang subuh kumpulan kelibat sotong tidak lagi aktif.
Tepat jam 7.30 pagi, kami mengambil keputusan untuk pulang. Tiba di jeti, kami menimbangnya, lebih dari 100kg sotong berjaya kami naikkan. Syukur, kerana trip kali ini begitu lumayan.
Perairan Sabah merupakan lokasi kegemaran bagi pemancing memburu ikan-ikan yang jarang-jarang bertemu di perairan Semenanjung.
Misi tetap diteruskan meskipun kegagalan 4 orang ahli asal yang tidak dapat turut serta atas alasan cuti dan terikat dengan pekerjaan yang tidak dapat pelepasan daripada majikan.
Tanpa gantian kami terpaksa menampung sedikit perbelanjaan dan kos tambahan disebabkan kekurangan ahli.
Trip selama 4 hari 3 malam ini menggabungkan separuh ahli yang pernah bertandang dan separuh lagi ingin merasai sendiri pengalaman memancing di Sabah.
Di lapangan terbang Kota Kinabalu, kami dijemput oleh pemilik bot dan terus dibawa ke jeti di mana bot sedang menunggu.
Seperti biasa aksesori tambahan dan mana-mana yang tertinggal dalam senarai dibeli di kedai pancing yang terletak bersebelahan dengan pasar ikan. Bekalan umpan tambahan turut ditambah untuk mengimbangi jika berlaku kekurangan umpan.
Perjalanan panjang
Rasa mengantuk menguasai benak kepala gara-gara jam 3 pagi sudah bersiap mengemas barang dan bergerak ke lapangan terbang. Untungnya tempoh perjalanan ke lubuk pertama memakan masa hampir 7 jam, sudah cukup untuk semua ahli meletakkan kepala di 12 tempat peraduan dalam kabin bot.
Tiada perebutan, cukup, malah berlebihan pula tempat buaian di laut ini. Kali ini bot Seastar III dengan tekong Abdol digunakan. Lewat petang bot memperlahankan kelajuan, berlegar seketika sebelum sauh diturunkan ke dasar.
Kunjungan pada lewat hari pertama kami disambut dengan angin yang sedikit kurang mesra terhadap pemancing dari Semenanjung.
Apa pun ia tidak mematahkan semangat ramai yang seperti lazim tidak sabar menurunkan set pancing masing-masing setelah sekian lama menunggu untuk merasai ikan laut Sabah.
Basung atau selayang bersama ikan kayu atau tongkol menjadi sandaran umpan pada sesi pembukaan. Bahagian belakang bot dikosongkan untuk ahli yang ingin jigging.
Ketika memasang kekili pada joran, Muslim antara yang mula-mula menurunkan set pancing beliau mengena ikan pertama trip ini.
Seekor ibu kerisi menyuntik semangat buat semua. Bacaan kedalaman pada set kekili elektrik yang digunakan ialah 90 meter, masih cetek lagi jika dibandingkan di sesetengah kawasan laut Sabah.
Angin nampaknya lebih kuat daripada arus sehingga semua tali hanyut menuju ke tali sauh.
Depan sudah jadi posisi belakang, satu situasi sukar untuk memancing. Menjelang senja seekor merah coreng membuatkan Hj Din menjadi orang kedua mendapat hasil.
Jarak masa sejam sudah menampakkan ikan kurang di lokasi pertama, memaksa tekong berpindah lubuk.
Umpan sotong
Di lubuk kedua, tekong dan awak-awak menumpukan usaha mencandat sotong yang kebetulan cukup banyak timbul di permukaan.
Lubuk berkenaan juga adalah tempat ikan jenahak dan siakap merah. Walaupun deruan angin semakin bertambah kelajuan, sotong begitu galak mengejar candat twist saiz kecil. Umpan cantik tapi ikan dasar pula enggan membuka selera.
Kutisan dan getuan ikan dengan sotong cumit hidup cukup lama. Namun satu getuan saiz ikan yang menelan sotong boleh dibanggakan. Sehingga awal pagi ikan terus menyepi apabila seekor jenahak skala 7 kg terlucut ketika di permukaan air.
Awal malam kedua kami menumpukan usaha mengumpul sotong hidup sebagai bekalan. Basung dan ikan kayu dibiarkan sepi dalam bekas ais. Perambut kekuatan 100 lb dua depa dengan dua mata 5/0 kerana sasaran kali ini bukan yang kecil.
Sotong yang baru dapat terus dicangkuk pada perambut yang sedia menanti. Selang beberapa detik kedengaran pemancing hadapan bergaya dengan sekor siakap merah.
Kekili elektrik terpakai Digitana SLS Shimano yang baru diuji sebelum ini beberapa kali kecundang akhirnya tidak menghampakan pemiliknya apabila tewasnya seekor kerapu 8.5kg.
Selepas kerapu suasana sepi kecuali aktiviti mencandat semakin rancak. Dari jigging, ramai yang memilih untuk turut serta mencandat sotong, menghilangkan rasa jemu menunggu dan letih jigging, baik layan sotong termasuk tekong sekali.
Siakap merah kedua malam tersebut muncul setelah begitu lama menunggu menjadikan ia siakap merah terbesar dalam trip ini.
Iffa yang setia menunggu sotong hidupnya disentap ikan boleh tersenyum apabila jenahak kedua muncul lagi dalam selang tempoh sejam lebih. Proses penantian yang cukup menyeksakan dan berkat kesabaran tinggi.
Fenomena air merah
Hari-hari terakhir, kawasan laut dipenuhi dengan fenomena air merah menjadikan ia kurang sesuai untuk memancing.
Mencari kawasan yang bebas dari air merah menjadi tugas jurumudi kerana harapan meninggi pada hari terakhir. Beberapa ekor kerapu bara berjaya dipancing sebelum kehadiran laut merah melanda.
Banyak juga kami dikejutkan dengan strike kasar namun kehilangan hasil kerana perambut sering putus apabila bergesel dengan karang.
Nasib sotong yang banyak diperolehi pada malam sebelumnya menjadi umpan pertaruhan apabila malam terakhir tiada sotong di lokasi.
Harapan seperti malam sebelumnya kalau dapat sotong hidup suspens sikit menunggu strike. Ibu kerisi dan anak kerapu memberi semangat buat yang masih berjaga malam berumpan sotong.
Paling seronok ialah menikmati sup kerapu bara oleh ahli trip di malam terakhir tanpa mempedulikan joran di sekeliling.
Kabin sekali lagi dipenuhi pemancing setelah penat seharian memancing. Terkilan sedikit kerana tekong banyak alasan apabila meminta supaya bertandang ke lubuk 200 meter untuk mengintai si ruby.
Apa yang dipastikan tekong dan awak-awak lebih gemar mencari kawasan air kedalaman purata 80 meter sesuai dengan set koyan yang digunakan mereka.
Di Sabah dan Sarawak kebanyakan konsep memancing ikan kepunyaan mereka berbanding Pantai Timur di mana tekong membantu pemancing menaikkan ikan. Ikan pula adalah kepunyaan penyewa sepenuhnya.
Di sini mereka memancing sebagai pendapatan tambahan dan hasil kadangkala dijual pula kepada pemancing yang berminat di atas bot. Ada kelemahan dan kebaikan sistem ini, tepuk dada tanya selera.
Oleh sebab julat getuan ikan ini amat jarang-jarang, penulis menulis artikel ini dari kabin bot sambil memerhatikan joran yang melenggok dibuai alun tanpa ada sentuhan dari pemangsa dasar.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...