Nama penuh: Mohd Suwardi Said
Nama FB: Atok Ulong GP
Usia: 42 tahun
Nama Produk: UMPAN ULONG ORIGINAL
UMPAN: Sejak bila bergelar usahawan umpan air tawar ini?
ATOK: Secara rasminya pada 2 September 2009. Sebelum itu saya hanya buat umpan untuk kegunaan sendiri dan rakan-rakan rapat saja.
UMPAN: Kenapa anda memilih usaha ini?
ATOK: Minat yang mendalam dalam bidang aquakultur sejak kecil lagi. Pernah berkecimpung selama 13 tahun dalam bidang (hatcheri) pembiakan anak benih ikan air tawar kedua terbesar di Pahang suatu ketika dulu.
Apabila saya mengalami kerugian yang teruk akibat hasad dengki manusia menuba hasil ikan saya di kolam pembiakan, saya kehabisan modal untuk untuk buat kembali pembiakan.
Kalau kena sekali dua boleh lagi kita bertahan… kalau dah kena lebih 4 kali… memang terduduk la.
Seĺama 2 tahun saya berehat… menganggur tanam anggur. Saya tak buat apa… kerja saya memancing kolam saja. Mencari duit di kolam-kolam pertandingan.
Alhamdulillah Allah buka rezeki lain pada saya. pada waktu itu saya mula mengeluarkan produk umpan memancing.
Ekoran kepakaran saya dalam bidang akuakultur, saya tau jika ikan kurang selera makan nak bagi makan apa, nak bagi ikan cepat besar dan sebagainya.
Dari situlah pengetahuan saya untuk membuat umpan.
UMPAN: Apa rintangan dan harapan dalam meneruskan usaha ini?
ATOK: Biasalah sesuatu perkara yang kita buat tidak akan lari dari rintangan dan masalah. Cuma dalam diri kita perlu ada sabar… jangan ada sifat mengalah.
Terus cuba untuk lebih maju. Apabila kita sudah maju… permasalahan akan terus diam begitu saja. Orang kitae akan lebih suka bertepuk tangan apabila kita jatuh.
Tapi kita jangan lemah semangat. Kite kekalkan momentum diri kita untuk terus mara dan mara.
Harapan saya… saya mengharapkan sesuatu yang luar biasa dari produk Ulong pada suatu masa nanti.
Boleh menembusi pasaran antarabangsa dan dapat mengeluarkan penambahan produk umpan seperti jenis umpan air masin dan umpan tiruan (gewang) yang lebih tinggi mutunya. Untuk mencipta nama di peringkat antarabangsa.
UMPAN: Ceritakan apa kelebihan produk anda?
ATOK: Produk Umpan Ulong adalah produk yang berasaskan produk umpan kolam air tawar. Kelebihan dan keistimweaan produk ini terhasil dari pertandingan memancing.
Jika umpan yang di R&D pacak dalam game dan pernah mendapat gelaran guara barulah umpan tersebut akan dipasarkan.
Umpan Ulong ni bukan tercipta dari pancingan mancing harian. Kekuatan umpan dari game dan umpan harian tidak sama kerana umpan dalam game akan bersaing lebih ramai peserta untuk berlawan macam-macam umpan di dalam kolam.
Kalau kita boleh pacak dalam game bermakna umpan kita tu dah cukup kuat. Umpan Ulong banyak menghasilkan kejuaraan dalam game… dari situlah tercetusnya nama UMPAN ULONG.
UMPAN: Ceritakan sedikit pengalaman memancing dan pencapaian yang telah diperoleh?
ATOK: Kalau nak cerita pengalaman memancing ni memang banyak. Dari zaman budak-budak lagi suka dengan hobi memancing.
Pengalaman yang saya tak dapat lupakan dikejar keliling rumah oleh arwah abah sambil pegang rotan sebab setiap hari memancing.
Asal balik je pasti penuh badan dengan lumpur kerana memancing dan tangguk ikan dipaya. Kena tangkap dengan abah serupa main polis dan pencuri pulak.
Bila kena tangkap…. kene sedas kat bontot dan kena sental dengan berus sabut. Tapi tak serik… esok pergi memancing lagi.
Bila dah dewasa ni pengalaman memancing lain pula coraknya. Kemenangan dalam pertandingan memancing menjadi pengalaman yang manis.
Kalau dihitung memang banyak kali juga menjuarai pertandingan memancing. Rasanya, total kutipan hadiah kejuaraan dari tahun 2009 sehingga 2019 sudah lebih 200K.