Sabiki rig atau lebih popular dengan panggilan `apollo’ adalah rangkaian beberapa mata kail (minima 3 mata kail) yang dibuat bagi menyerupai makanan ikan sehingga ikan dengan segera menyambar rangkaian umpan pancing ini.
Biasanya apollo sangat efektif untuk memancing ikan umpan seperti: selar, tamban, selayang, kembong dan banyak lagi ikan pelagik termasuk jugalah ikan-ikan dasar. Selain digunakan untuk mencari umpan hidup, ia juga digunakan secara meluas untuk memancing ikan pelagik bersaiz lebih kasar.
Umumnya, apollo digunakan bersama pemberat atau batu ladung sahaja. Sekiranya berada di kawasan unjam atau kelong, apolo hanya perlu dilepaskan ke bawah namun tidak perlu sampai ke dasar sekiranya bertujuan untuk mencari umpan pelagik seperti tamban atau selar.
Ikan-ikan ini biasanya berada di bahagian permukaan atau pertengahan air sahaja. Sementara di bahagian dasar lazimnya akan diambil oleh anak-anak ikan demersal seperti kunyit, kerisi atau kerapu.
Sekiranya tiada sentapan maka karau tali beberapa kali serta berhenti dan angkat beberapa kali. Ini diulangi sehingga mendapat ikan. Cara ini adalah untuk mengenal pasti pada kedalaman apa ikan yang di burui berada.
Sekiranya di kawasan boya atau kapal parkir, sebaiknya memburu di bahagian kepala arus (bahagian hadapan kapal atau boya yang didatangi arus). Lontarkan apolo ke bahagian ini dan biarkan ia tenggelam seketika kemudian karau dalam tempoh sederhana laju.
Penggunaan pemberat pula bergantung kepada kelajuan arus dan saiz ikan yang dicari. Sebaik-baiknya guna ladung yang agar berat kerana ia lebih cepat dan tepat memasuki kawasan kawanan ikan serta dapat mengelak daripada apolo berbelit apabila terkena ikan bersaiz kasar yang berupaya mengapungkan pemberat.
Salah satu lagi caranya ialah dengan meletakkan sedikit umpan hirisan isi sotong, ikan atau udang pada 3 mata kail di hujung dan membiarkan batu pemberat sampai ke dasar dan angkat beberapa kali.
Selain peralatan memancing, salah satu alat keperluan lain yang wajib pemancing ambil tahu adalah pemegang rod pada sebuah bot atau sampan sebelum turun memancing. Tidak kira laut atau sungai, kemudahan ini dianggap satu bonus kepada pemancing kerana ia memudahkan tugas-tugas memancing tanpa perlu memegang joran kecuali teknik casting.
Salah satu kegunaan lainnya adalah sebagai platform untuk meletakkan joran ketika tidak digunakan dan bagi kaki bottom, jika ia tiada, memang satu masalah besar. Tidak mungkin kaki pancing mahu memegangnya sepanjang masa atau menyandarkan pada birai bot.
Tetapi apakah kita tahu kekuatan dan ketahanan sesuatu pemegang rod yang berada di bot itu mampu memegang joran apabila disentap ikan ataupun digunakan semasa menunda gewang apabila bot bergerak?
Tiada skala pengukur ketahanan bagi sesebuah pemegang rod yang mudah alih ataupun tersedia di bot. Ia hanya boleh dinilai dari mata kasar dari segi material dan kedudukan pemegang rod ini.
Ada pelbagai jenis pemegang rod. Ada yang diperbuat dari stainless steel, paip pvc, paip besi ataupun yang telah disiapkan dalam membentuk sampan menggunakan fiber.
Sebagai pemancing sebaiknya kita memeriksa terlebih dahulu pemegang rod ini sebelum meletakkan joran bagi tujuan simpanan, tundaan atau semasa menggunakan teknik bottom.
Teliti bahagian sokongan kepada dinding bot sama ada ia kuat dan mampu bertahan apabila bot menempuh perjalanan atau terkena sesuatu yang boleh menjejaskan pemegang joran.
Bagi sampan atau bot pemancing yang tiada kelengkapan ini dinasihatkan untuk menyediakan pemegang joran agar keselesaan pemancing terjaga semasa melakukan aktiviti memancing dan juga keselamatan lebih terjamin berbanding rod yang diletakkan berselerak di atas lantai.
Kedalaman sesebuah pemegang joran juga perlu dilihat sebagai salah satu aspek keselamatan agar ia tidak terkeluar daripada kedudukan asal. Tapi jika ia terlalu dalam kerana sukar untuk dikeluarkan semasa ikan meragut umpan atau ketika hendak mengeluarkannya daripada pemegang rod.
Walau di mana kedudukannya sudah pasti ia peralatan yang wajib ada pada setiap bot dan bagi pemancing laut dalam pemegang rod mudah alih adalah salah satu alat yang perlu dibawa ketika turun memancing.
Hulu Terengganu, khususnya Kuala Berang sememangnya sudah sinonim dengan Tasik Kenyir yang sering menjadi lokasi yang sering didambakan oleh kaki pancing.
Sekiranya anda berkunjung ke sini dan tercari-cari penginapan untuk merehatkan diri sebelum turun ke Tasik Kenyir, penulis mencadangkan agar anda singgah ke Warisan Pahlawan Resort yang terletak di Kampung Pauh, Kuala Berang.
Terletak tidak jauh dari Empangan Kenyir dan Pangkalan Gawi menjadikan resort ini lokasi ideal untuk kaki pancing merehatkan diri sebelum turun bertarung di Tasik Kenyir.
Menariknya, resort yang mula beroperasi 10 tahun lalu mempunyai konsep yang amat berbeza dengan resort lain yang ada di Malaysia. Ia 100% mengetengahkan seni bina warisan Melayu dan berkonsepkan kepahlawanan, seolah-olah mengembalikan pengunjung ke zaman silam.
RESORT ALA PAHLAWAN
Resort ini memiliki kemudahan serba lengkap seperti surau, dewan, kedai makan, persekitaran ala kampung yang mendamaikan dan dihiasi dengan 7 buah rumah dengan seni bina yang unik.
Ia sekaligus menjadikan kunjungan yang berbaloi untuk seisi keluarga. Setiap rumah yang ada di sini juga mempunyai reka bentuk yang berbeza tetapi masih mengekalkan ciri-ciri warisan Melayu.
Apa yang menariknya lagi, kesemua rumah yang ada di sini semuanya dinamakan bersempena dengan nama pahlawan Melayu yang berjuang menentang penjajah Inggeris suatu ketika dulu seperti Mat Kilau, Tok Pauh, Tok Gajah, Tok Pulau Manis, Hj. Abd Rahman Limbong, dan Tok Kenali.
Menurut pemilik Warisan Pahlawan Resort, Encik Anuar, “Konsep untuk mendirikan resort dengan seni bina warisan Melayu ini datangnya daripada idea ayah saya yang sangat meminati seni bina tradisional. Dari situlah datangnya idea dan perlahan-lahan kami bangunkan resort ini sehinggalah menjadi seperti apa yang dapat dilihat sekarang.”
“Harga pakej penginapan di sini juga amat berpatutan sekali kepada pengunjung kerana kami menawarkan harga bilik dari RM30 hinggalah RM100 dan harga untuk satu rumah yang mampu memuatkan 8 hingga 10 orang pada satu-satu masa hanya dari RM250 sahaja,” tambahnya lagi.
HENTIAN KAKI PANCING
Bagi menambah kelainan, pengunjung yang menginap di sini turut berpeluang merasai pengalaman bermalam dan memancing di atas boathouse di Tasik Kenyir, kerana terdapat pilihan pakej yang ditawarkan.
Pakej RM300 untuk menginap 1 malam di resort dan 1 malam memancing di boathouse adalah antara tarikan yang disediakan oleh pemilik resort khas untuk kumpulan memancing melebihi 20 orang.
Selain itu, resort ini juga berhampiran dengan Sungai Pauh yang menjadi antara lokasi terbaik penduduk tempatan memburu ikan baung. Jadi bagi yang ingin melepaskan gian boleh juga memancing di sungai ini yang hanya terletak bersebelahan dengan resort.
Tidak cukup dengan itu, di sini juga terdapat sebuah kolam pancing air tawar yang juga milik pengusaha resort yang terletak hanya kira-kira 3km dari resort. Kolam Pancing Warisan Kampung Pueh ini diusahakan oleh Tun Ismail Tun Abdullah yang merupakan adik kepada pemilik Warisan Pahlawan Resort ini.
Kolam Pancing yang mempunyai 2 buah kolam dengan keluasan 2 ekar setengah ini telah beroperasi hampir 2 tahun yang mana ia tidak dibuka untuk pancingan secara komersial, tetapi lebih kepada kolam untuk pertandingan memancing.
Malah, setiap minggu akan diadakan pertandingan memancing pada setiap hari Isnin dan Jumaat dengan tawaran hadiah yang sangat menarik.
Bagi kaki pancing yang mendaftar masuk ke Warisan Pahlawan Resort ini, anda turut berpeluang untuk memancing secara percuma di kolam pancing yang banyak menempatkan spesies keli Afrika, patin, pacu, belida, kaloi dan baung ini. Jadi, sudah pasti ia satu keseronokan yang berganda terutama buat kaki pancing yang ada keinginan untuk bertandang ke sini.
Tiga tahun mengejar ilmu, akhirnya aku lulus semua ujian ku. Bulan depan aku akan memiliki ijazah sarjana muda ekonomi perniagaan. Sementara itu aku cadang...