Setelah selesai memunggah barang, tepat 9.35 pagi bot mula bergerak meninggalkan jeti untuk ke lubuk pertama yang mengambil masa selama kira-kira sejam setengah.

 

Masing-masing bersemangat apabila saat sauh dilabuhkan dan serta merta umpan dijatuhkan ke dalam air.

Tekong menyarankan hirisan isi ikan kembung. Sotong pula disimpan untuk penggunaan malam hari kelak. Tak sampai 10 minit, tarikan pertama datang dari rakan saya, Jemik.

Tiada aksi tarik menarik berlaku kerana hanyalah sang gerut-gerut bersaiz sederhana.

Tekong memberitahu bahawa terdapat banyak gerut-gerut di lubuk ini di samping spesies lain gred A, sekiranya bernasib baik.

 

Sekali lagi, joran melengkung. Kali ini giliran Azizan pula menarik. Walaupun agak pening-pening lalat kerana mabuk laut, beliau akhirnya berjaya juga menarik seekor lagi gerut-gerut yang saiznya agak besar sedikit dari tadi.

Tidak lama kemudian, masing-masing mula menarik gerut-gerut tak kira depan atau belakang bot dengan pelbagai saiz.

 

Ah Teng memutuskan berpindah lubuk selepas hampir 2 jam di situ dan jaraknya sekitar 30 minit perjalanan.

Setelah berpusing-pusing di situ, Ah Teng mengajak ke lubuk lain kerana terdapatnya gangguan jaring di dasar.

Kelebihan bot Dolphin 4 ialah di samping keluasan botnya, sistem pengimbasnya agak canggih kerana dapat mengimbas secara lengkap termasuk melihat kedudukan jaring di dasar dan sebagainya.

 

Lubuk seterusnya terletak 2 batu dari situ dan dikatakan memiliki spesies merah dan kerapu. Kami tiba ketika air mula lemah.

Tanpa menunggu lama, Ramesh yang baru sahaja melabuhkan umpan di tengah bot menahan asakan.

Joran mula melentur-lentur ditarik ke bawah dan berdasarkan asakan tersebut, pasti ikan sisik sudah mengena.

 

Aksi tarik menarik agak sukar dikendalikan kerana tali ada-kalanya ditarik keluar di samping penggunaan spinning reels bersaiz sederhana.

Akhirnya, sang merah idaman menyerah kalah! Kami semua mula menukar umpan baru dan muncul semangat baru.

Ads

 

Giliran Shan di bahagian depan pula mendapat tentangan sengit selepas selang 5 minit.

Beliau cukup berhati-hati kerana menggunakan tali braided 30lb sahaja. Seekor lagi merah bersaiz sederhana tewas.

 

Walaupun saiznya begitu, lariannya amat liar. Lubuk ini nampaknya ada hasil gred A.

Sayangnya, tiada lagi tarikan sepanjang kira-kira 20 minit selepas itu.

Saya hanya berjaya menaikkan seekor gerut-gerut comel ketika masing-masing sedang leka menunggu joran direntap kasar.

Seekor lagi gerut-gerut muncul dari belakang dipancing oleh Mr.Pen.

 

Nampaknya merah sudah hilang dan diganti dengan gerut-gerut pula. Ah Teng menyuruh kami menunggu lagi dan bersabar.

Memandangkan jam telah pun melepasi 2 petang, Azizan selaku tukang masak mula menjalankan tugasnya. Kami sepakat kekal di situ hingga selesai makan.

 

Kami berpindah ke lokasi agak jauh selepas itu. Sekali lagi kami berhadapan dengan situasi jaring namun berjaya juga sauh dilabuhkan.

Sekali lagi Shan memulakan aksi dengan satu tarikan agak kuat yang berlaku ketika beliau hendak memasukkan joran ke rod holder.

Ads

 

Timbul seekor ikan jenahak yang cacat matanya. Menurut Ah Teng, jenahak ini mungkin berasal dari Pulau Ketam dan dibuang dari sangkar kerana cacat.

Azizan bingkas bangun apabila drag berbunyi selang 15 minit kemudian. Sekali lagi aksi tarik-menarik bermula.

 

Agak payah mengendalikan peralatan manual kerana faktor kedalaman dan arus namun berjaya juga menaikkan seekor lagi spesies yang sama tiada pula sebarang kecacatan.

Kedua-dua ikan tersebut tiada logo hitam seperti kebiasaannya bagi spesies jenahak dan hanyalah bersaiz agak sederhana sahaja.

 

TUKAR LUBUK

 

Menjelang lewat petang tiada tangkapan besar seperti yang diharapkan. Masing-masing ada yang sudah tidur berehat di kabin bot.

Makan malam disediakan apabila hari mula gelap dan di samping itu, kami berbincang dengan Ah Teng untuk ke lubuk seterusnya.

 

Lubuk seterusnya agak jauh sedikit di mana kami tiba di sana dalam tempoh 30 minit. Aksi pertama dimulakan oleh Jacob apabila beliau berjaya menaikkan seekor ikan yu.

Selepas itu hampir semua dari kami mendapat gangguan daripada yu. Ada yang dilepaskan kembali dan ada juga yang disimpan.

Ads

Ah Teng menyuruh kami menggulung pancing kerana perlu membetulkan kedudukan bot. Sesekali gerut-gerut dan ikan kecil lain dinaikkan oleh kami di sini.

Setelah hampir 1 jam tanpa ikan kasar, kami berpindah lagi.

 

Tekong Ah Teng memberitahu bahawa lubuk ini ada ikan merah. Tanpa menunggu lama, Alip bingkas merentap joran dan terus sahaja menggulung tanpa tentangan berat.

Rupanya seekor tebal pipi tumpas di belakang bot dengan menggunakan umpan hirisan sotong. Dalam pada itu, serangan gerut-gerut masih berterusan hingga ke lubuk ini.

 

Boleh dikatakan, setiap lubuk kami mendapat spesies ini. Tiba-tiba Alip dilihat sedang menarik sesuatu yang kelihatan tidaklah begitu mencabar namun dragnya sesekali berbunyi juga.

Sedang leka melihat Alip sambil memegang kamera, secara tiba-tiba, joran saya menerima asakan sama seperti beliau. Double strike nampaknya namun masih lagi kabur tentang ikannya.

 

Akhirnya timbul Ikan merah serentak! Kami berdua berjaya menaikkan ikan merah bersaiz remaja.

Walaupun tidak begitu besar, faktor kedalaman termasuk daya juangnya membuatkan karauan kami tidak begitu mudah.

 

Ketika ini, terdapat beberapa ahli telah mula tidur dan ada juga yang ‘tidur-tidur ayam’ kerana telah lewat melepasi tengah malam.

Sesekali terjaga, saya sempat bertanya rakan yang masih setia menunggu joran, namun tiada hasil menarik kecuali gangguan ikan kecil serta yu.

Ia berterusan sehinggalah muncul matahari.

 

Selepas sarapan ala kadar, kami sepakat pulang awal ke jeti. Bagi kami, trip ini sukses kerana walaupun sehari semalam, kami tetap mendapat ikan gred A dan yang paling penting, dapat berkumpul dengan rakan pancing.

 

 

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI