Umpan Popular Pancing Kelah!!

Share

 

Ikan kelah tergolong dalam ketegori haiwan omnivor yang akan memakan pelbagai jenis alga, krustasia, serangga dan amfibia termasuk beberapa jenis buah-buahan dan biji benih pokok yang jatuh keatas air sama seperti beberapa jenis ikan kap yang lain sebagai diet harian yang seimbang.

Namun untuk memancing ikan kelah ini terdapat beberapa jenis umpan yang popular. Antaranya ialah…

 

KELAPA SAWIT

Tidak dapat dinafikan apabila menyebut umpan ikan kelah maka nama sawit akan pertama sekali disebut. Pada asalnya buah kelapa sawit bukanlah diet asal ikan kelah kerana ia bukanlah pokok hutan di sungai pergunungan.

Ia mula menjadi salah satu dietnya apabila ada campur tangan pemancing setelah berpuluh tahun lamanya. Buah kelapa sawit yang menjadi pilihan kelah ialah kelapa sawit yang masak tua atau diperam sehingga lembut terlebih dahulu.

Kelapa sawit boleh digunakan mencangkukkan buahnya (dengan biji atau tanpa biji) pada mata kail atau dihiris-dihiris.

 

BUAH-BUAHAN HUTAN

Ikan kelah dikenali sebagai spesis ikan yang sangat suka kepada pelbagai jenis buah-buahan hutan. Kebanyakan buah hutan ini berbuah mengikut musim yang berbeza beza. Buah hutan yang paling popular sekali ialah buah neram, buah maris, buah ara, buah perah dan macam-macam lagi.

Untuk menggunakan buah-buahan ini perlulah mengikut musimnya. Dikatakan buah merupakan umpan terbaik di antara buahan hutan. Mungkin disebabkan sifatnya yang agak berair dan lembut. Apabila buah ara, neram atau buahan lain jatuh ke dalam sungai, kelah seperti `menggila’ untuk mendapatkan makanan idamannya itu.

Buah ini boleh dipotong dadu atau kecil kecil begitu sahaja. Ada juga yang memeramnya, tapi jangan terlalu lama kerana akan menjadi terlalu lembik.

 

 

CACING TANAH

Sebagaimana yang sedia maklum cacing tanah merupakan umpan universal untuk memancing hampir kesemua ikan sungai. Begitu juga jika ingin memancing kelah. Tatkala umpan lain tidak dihiraukan oleh kelah maka beralihlah kembali ke umpan universal ini.

Cacing tanah yang paling sesuai untuk digunakan ialah cacing tanah yang digali dari tanah kawasan lubuk. Atau cacing tanah yang digali sendiri di mana-mana lokasi asalkan bukannya cacing yang diternak untuk tujuan komersial seperti yang terjual di kedai-kedai pancing.

Cara menggunakan cacing ini pun mudah. Cangkukkan saja seberapa banyak yang mampu pada kail.

 

 

ANAK IKAN / UDANG

Peratusan untuk mendaratkan kelah dengan menggunakan anak ikan dan udang mungkin lebih rendah berbanding menggunakan buah-buahan. Tetapi harus diingat kelah adalah haiwan omnivor.

Dikatakan juga warna pada badan kelah berpunca dari dietnya memakan krustasea dan serangga. Anak ikan atau udang ini haruslah diperoleh dari lokasi lubuk pancing yang sama. Malah penggunaannya lebih berkesan jika memancing pada malam hari.

Berdasarkan pengalaman pemancing, ada diantaranya berjaya mendaratkan kelah mencecah berat 6kg dengan menggunakan umpan anak ikan.

 

 

UMPAN TIRUAN @ GEWANG

Mendaratkan ikan kelah menggunakan gewang mungkin peratusan yang rendah tetapi ia bukanlah cakap kosong. Untuk bersua dengan kelah yang menyambar gewang sama ada sesudu, gewang selaman atau permukaan anda perlu ke sungai lubuk dara yang belum diterokai atau sangat jarang dimasuki pemancing.

Gewang-gewang dengan warna tertentu seperti warna buah sawit dan dipersembahkan seperti buah-buahan hutan yang gugur berpeluang tinggi akan disambar kelah. Berbanding teknik pancingan menggunakan umpan asli, memperoleh kelah hasil teknik mengilat merupakan satu kepuasan yang tiada tolok bandingnya.

 

Published by
Amang