Umpan Patin Palet Peram Masa Kini

Share

 

Penggunaan palet 920 (biji kecil) sebagai umpan patin begitu berfenomena sekarang ini sehingga menenggelamkan palet 6363 dan E8 yang begitu popular sebelum ini. Malah palet 920 ini lebih efektif jika diperam untuk tempoh yang lebih lama. Dan ia juga serasi dengan apa saja umpan yang ingin digunakan. Berikut merupakan salah satu perkongsian umpan yang serasi dengan palet 920 ini.

 

Bahan-Bahan:

 

  • 1 kg palet 920
  • 200 ml pati santan
  • Kelapa parut
  • Pes perisa pandan kelapa Original
  • Pes perisa kelapa Original
  • 200 ml air

 

Cara Penyediaan:

 

Masukkan 200 ml pati santan ke dalam bekas bancuhan bersaiz besar dan bertutup.

 

Kemudian masukkan pula 200 ml air bersih yang bebas klorin. Kacau seketika bagi air dan pati santan sebati.

 

Masukkan 5 penutup botol perisa pandan kelapa dan 5 penutup botol perisa kelapa ke dalam air santan. Kacau sehingga campuran sebati.

 

Kemudian masukkan 1 kg palet ke dalam air santan berperisa tadi. Gaul dengan tangan sehingga setiap biji palet menjadi basah.

 

Biarkan seketika palet di dalam bekas bertutup agar setiap biji palet menyerap larutan berperisa tadi. Kemudian barulah masukkan anggaran segenggam kelapa parut dan gaul rata sekali lagi.

 

Sebaiknya umpan ini diperap dalam bekas tertutup sekurang-kurangnya 3 jam sebelum digunakan. Sekiranya ingin diperam lebih lama (2-3 hari), pastikan ia dimasukkan ke dalam beg plastik dan diikat dengan kedap udara.

 

* Nota Tambahan

Untuk menaikan bau atau aroma yang lebih, boleh ditambah esen pisang atau badam (sedikit sahaja) ke dalam umpan ini sebelum digunakan.

Published by
Amang