Berikut merupakan salah satu resepi umpan ikan kuku yang telah dihasilkan oleh seorang pemancing yang telah berjaya mendaratkan ratusan ikan kuku. Umpan ini diwariskan oleh keluarganya yang sudah sekian lama memancing ikan ini dengan sedikit penambahan umpan moden.
Bahan-Bahan:
Isi ayam goreng (ayam goreng berempah)
Majerin (dicairkan sedikit)
Sebiji telur
Tepung gandum
Pati sawit
Perisa buah ara Matsumoto
Cara Menghasilkannya
Racik isi ayam (anggaran 3-5 ketul ayam goreng) ke dalam bekas. Sebaiknya ayam digoreng dengan sempurna supaya isinya senang untuk dileraikan.
Masukkan 3 sudu besar marjerin yang sudah dicairkan sedikit ke atas isi ayam. Gaul sehingga marjerin sekata dengan isi ayam.
Masukkan pula 3 tutup botol pati sawit. Gaul lagi sehingga ia menjadi sebati dan sekata.
Masukkan sedikit demi sedikit tepung gandum dan uli sehingga menjadi adunan (doh) yang dikehendaki (sesuai untuk dikepal pada mata kail).
Masukkan setengah biji atau kurang telur ayam yang telah dibancuh dengan beberapa titik perisa buah ara Matsumoto. Uli adunan dengan sebati dan ia sudah boleh digunakan untuk memancing ikan kuku.