Siakap merah sebenarnya jika diperincikan merupakan spesies ikan yang melahap apa sahaja sasarannya bila waktu mencari makan. Namun begitu, bergantung juga pada pemerhatian anda pada sesuatu lubuk dikunjungi tersebut.
Ini kerana ada kalanya, spesies ini juga berasa was-was dengan jenis gewang tiruan yang dihulurkan. Pilihlah gewang jenis minnow yang berbadan sedikit ‘slim’. Namun, jika mengaplikasikan umpan hidup, udang merupakan umpan yang lazim dijadikan bagi spesies ini.
Di sesetengah tempat, seperti di Kuala Trong, Perak contohnya, ikan jejulong adalah umpan hidup terbaik untuk menjerat ikan ini.
Pilihan set pancing
Memandangkan ikan sasaran kami adalah siakap merah, kami memilih gewang tiruan untuk di aplikasikan. Memancing menggunakan bot adalah cara terbaik untuk menjejaki spot terbaik ikan berada.
Pemilihan saiz gewang yang memiliki saiz yang ideal iaitu tidak terlalu besar adalah penting. Gewang-gewang bersaiz ini sungguh efektif dipraktikkan pada lubuk berpotensi tinggi didiami siakap merah.
Selain itu, penggunaan gewang tiruan separa selaman dalam contohnya seperti Strike Pro Slingshot Minnow bersaiz 12 cm iaitu struktur bentuk panjang dan tiris juga terbaik kerana ia berupaya melakukan renangan yang laju.
Tentang joran, anda bebas memilih sama ada set baitcasting atau spinning bila berada di atas bot, joran panjang adalah ideal dan ia bergantung pada pemancing. Manakala kekili adalah dari kategori ringan dan sederhana berat bersaiz 2000-3000 adalah memadai.
Tentang tali, ia bergantung pada kawasan pancingan. Saiz 15-30lb adalah yang sesuai dan jangan lupa gunakan tali perambut yang bersesuaian, 30 lb ke atas bagi mengekang asakan ikan ini seandainya ia memasuki reba.
Kebiasaannya, kaki pancing perlu bersedia semasa karauan dibuat. Ini kerana, bila-bila masa sahaja di saat ini, strike akan berjaya diperolehi. Apabila terkena sahaja, siakap merah akan menekan dan akan mencari reba berhampirannya untuk menyelinap masuk.
Ketika ini, pemancing perlu menahan dan melakukan karauan sepantas mungkin agar ikan ini, tidak sesekali berjaya membawa ke reba.