Biasanya dalam sesuatu trip memancing, kita jarang terlupa dalam penyediaan perkara utama. Ada kalanya kita bersedia cukup lama hal ini. Tetapi terlupa dengan perkara kecil yang sebenarnya mampu memberi manfaat besar kepada pemancing antara persediaan kecil yang sebenarnya perlu diberi perhatian adalah penyediaan ubat-ubatan. Ramai yang lupa akan hal ini dan kerap kali hanya teringat apabila sudah tiba di lokasi.
Paling kerap berlaku di kalangan kaki pancing adalah pening kepala akibat perubahan cuaca, panas terik dan sejuk, luka kecil akibat gigitan serangga, terkena tusukan mata kail. Kerap mood memancing hilang gara-gara pening atau sakit kepala, sedangkan ketika itu mungkin ikan sedang galak memakan umpan.
Oleh itu, sediakanlah ubat-ubatan yang difikirkan perlu seperti minyak angin, ubat paracetamol, ubat luka, plaster luka, balm atau semburan penghalau nyamuk dan sebagainya.
Setidak-tidaknya dengan persediaan sebegini, ia akan membantu anda ketika dalam kesusahan dan sekurang-kurangnya mood memancing anda akan terus ’membara’ sehingga selesai trip. Sila simpan semua ubat ini dalam bekas kedap udara dan air.
Banyak Minum Air
Banyakkan minum air kosong, terutama cuaca panas. Begitu juga pada waktu musim jerebu sekarang ni. Pastikan bawa bekalan air minum secukupnya.
Baju Hujan
Jika memancing pada musim hujan, ada baiknya anda mengenakan baju hujan dan juga jaket keselamatan sebagai perlindungan keselamatan.
Rehat & Rawat
Jika anda berasa pening, ada baiknya selepas anda memakan ubat, berehatlah di tempat yang teduh dan lelapkan mata seketika.
Jus Minuman
Bawa makanan ringan seperti asam atau air berunsur masam seperti jus oren, air asam jawa ketika pergi memancing. Jus oren mampu meneutralkan kandungan PH badan, jika anda berasa mual, air liur terasa pahit.
Merokok
Kaki pancing kebanyakannya merokok. Sila kurangkan atau elak dari merokok secara berterusan, jika ada tanda-tanda sakit tekak, kerana ia akan memudaratkan kesihatan anda.
Bahang
Jangan terlalu lama terdedah di kawasan terbuka, terutama jika casting. Sebaiknya, pilih lokasi yang agak redup bagi mengelakkan kepanasan melampau.
Embun
Elakkan dari terkena embun terlalu lama jika memancing hingga larut malam. Kenakan pakaian yang sesuai dan tebal bagi menghindari udara sejuk. Minum minuman panas amatlah digalakkan.
Playar
Gunakan alat bantuan seperti playar untuk membuka mata kail dari mulut ikan. Jangan sesekali menggunakan tangan, terutama jika berjaya menaikkan ikan yang memiliki sengat dan duri seperti keli, sembilang, duri, kerapu.
Senjata
Jika berkhemah di dalam hutan, pastikan anda membawa parang sebagai langkah berjaga-jaga dari serangan binatang buas.
Berteman
Sebaiknya memancing lokasi atau lubuk yang jauh perlulah berteman. Sentiasa berhati-hati ketika melangkah dan jaga perilaku dan adab semasa memancing.
Sama ada memancing di sungai, tasik, lombong, laut mahupun kolam pancing pasti ada spesies yang tidak diingini yang gemar menghabiskan umpan yang digunakan. Di laut, spesies-spesies ini sememangnya menjengkelkan para pemancing.
Sesirat
Semua pemancing pasti bersetuju sesirat merupakan pengacau umpan nombor satu pancingan muara. Jika setakat mengutis umpan sehingga licin sekalipun tidak mengapa. Apa yang menjadi kemarahan pemancing apabila ia menelan mati kail dan bergumpal bersama perambut dan tali utama. Untuk menghapuskan lendirnya yang berbau dan menyebabkan ikan lain menjauh, terpaksalah dikorbankan mata kail, perambut dan tali utama tersebut.
Buntal
Menduduki carta di tempat kedua ialah ikan buntal. Perangai buntal lebih kurang sesirat juga. Malah ia lebih ditakuti berbanding benci kepada sesirat. Buntal bukan saja kerap menggigit tali utama dan perambut, ia juga suspek pembunuh kepada umpan hidup terutamanya udang hidup. Dengan harga udang hidup yang semakin mahal, ia tentu menyakitkan hati pemancing jika lubuk dipenuhi si buntal.
Ketam
Sama ada ketam nipah, ketam batu atau lain-lain, ia merupakan spesies mengutis umpan yang cekap dan menyakitkan hati. Sebagaimana ikan buntal, ia juga pakar mengerjakan umpan udang hidup. Jika dibiarkan lama, ia bukan saja memakan kaki udang malah sehingga mata kail menjadi kosong. Kecuali ia tercangkok pada mata kail, ia tidak lagi dianggap pengacau umpan sebaliknya satu tangkapan bonus.
Ulat bulu
Sama ada di muara, pesisir pantai atau perairan cetek, anda akan berhadapan dengan spesies bernama ulat bulu. Selain bijak menghabiskan umpan, ia kadangkala tercangkuk juga pada mata kail. Apabila dinaikkan, pemancing perlu berhati hati ketika menanggalkan dari mata kail kerana spesies ini mempunyai bulu-bulu beracun dan sekiranya terkena pada anggota badan boleh menyebabkan kegatalan.
Kitang
Ikan yang bergerak secara berkumpulan ini dianggap sebagai spesies pengacau umpan, khusus bagi pemancing yang tidak menjadikannya sebagai ikan sasaran. Ia sememangnya gemar mengetis umpan dengan mulutnya yang kecil. Jika menggunakan mata kail yang besar maka ia selamat dari tercangkok. Oleh yang demikian jika anda teringin untuk memancingnya juga maka gunalah mata kail yang lebih kecil.
Belangkas
Belangkas biasanya boleh ditemui di muara anak sungai kecil yang menghala ke kawasan muara. Sebagaimana ketam, ia boleh dibawa pulang dan dimakan jika tercangkok pada mata kail. Namun jika tidak tercangkok pada mata kail, ia samalah seperti spesies pengacau umpan lain yang menghabiskan umpan secara senyap.
Anak ikan
Apa saja jenis ikan termasuk ikan-ikan kecil seperti seriding merupakan pengacau umpan yang paling banyak menghabiskan umpan. Terutamanya umpan dari jenis hirisan ikan. Bagi mengelak serangan anak atau ikan-ikan kecil, sebaiknya gunalah umpan yang agak liat seperti jejari sotong kurita. Walau dikutis ia masih mampu bertahan sehingga disambar spesies sasaran.
Perumpun sarang
Selain dijadikan umpan yang mujarab, sebenarnya perumpun sarang juga tergolong dalam spesies pengacau umpan. Biasanya berada di kawasan anak sungai dan tebing yang bereba. Cuma kerjanya lebih halus berbanding ketam. Atau lebih kurang sama macam anak ketam. Biasanya dia akan meratah udang hidup secara perlahan-lahan. Kalau anda mendapati kaki udang hidup anda kudung semua, jangan tak percaya ia adalah kerja perumpun sarang.
Belukang
Merupakan ikan yang banyak berkeliaran di kawasan muara yang berselut dan berlumpur. Secara fizikalnya mempunyai mulut yang besar dan badan yang berbelang. Tabiat makan yang tidak memilih, semua umpan ikan ni sebat. Kadang-kadang telan umpan sehingga ke insang. Jika bersaiz kasar mungkin ada yang ingin membawa pulang dan memberikan sedikit hiburan ketika tercangkok umpan. Tetapi jika asyik yang bersaiz dua jari yang membaham umpan, memang menjengkelkan!
Gedema
Seperti belukang, species ini tidak mempedulikan umpan apa yang digunakan. Semua yang melekat kat mata kail akan disapu. Kalau dah ambil umpan ia biasanya akan menelan mata kail hingga ke dalam perut. Kalau dah telan, amat susah untuk mengeluarkan mata dan kadang kala pemancing terpaksa mengeluarkan perambut dan digantikan dengan mata dan perambut yang baru. Jangan tertipu dengan rupa parasnya yang seakan kerapu itu.
Tiga tahun mengejar ilmu, akhirnya aku lulus semua ujian ku. Bulan depan aku akan memiliki ijazah sarjana muda ekonomi perniagaan. Sementara itu aku cadang...