Sebagaimana buah kelapa sawit yang boleh digunakan untuk memancing ikan kelah, tengas dan sebagainya lagi, buah ara juga boleh digunakan untuk tujuan yang sama. Malah, kelebihan buah ara ia tidak perlu diperam sebagaimana buah sawit untuk diguna pakai. Ia boleh diguna secara asalkan buahnya sudah cukup masak.
Cara-cara Menggunakan Umpan Buah Ara
Jika tidak dapat mengambil buah ara yang masak (kebanyakan bewarna merah tua keungguan) pada dahan pokok, kutip saja buah-buah yang masih baru gugur. Buah yang baru gugur biasanya masih elok sifatnya berbanding buah yang sudah lama gugur dan buruk.
Potong buah ara dengan pisau yang tajam supaya elok belahan buahnya. Sebaiknya setiap biji buah itu dipotong empat.
Dengan menggunakan mata kail (tunggal) berperambut tali tangsi 20-30lb sepanjang 1-2 kaki, cucuk potongan buah ara pada mata kail satu persatu.
Potongan buah ara haruslah melepasi mata kail dan tersusun pada perambut. Sebaiknya potongan buah ara dicucuk kira-kira panjang sejengkal pada perambut sementara dua potongan buah dicucuk kemas pada mata kail.
Dengan menggunakan teknik pancingan dasar (saiz batu ladung hidup bergantung kepada kelajuan arus sungai), umpan ini sudah boleh dilontar ke lubuk untuk memikat kelah, tengas, jelawat ataupun patin liar.
Dengan bahan-bahan utama seperti yogurt dan minuman tenaga Redbull, anda boleh menghasilkan umpan yang berpotensi untuk mendaratkan ikan seperti patin dan lain-lain lagi.
Jom tengok bagaimana cara menyediakan umpan ini.
Bahan-bahan keperluan:
Yogurt segar 370gm
1 tin Redbull
Pes strawberi Original
1 pek NS Power strawberi
Yis segera
Cara penyediaan umpan:
Langkah 1
Campurkan 1 pek yogurt, setengah atau 3/4 tin Redbull, 5 penutup pes strawberi, 1 pek NS power stawberi dan suku pek yis segera ke dalam bekas pengisar.
Kisar bahan-bahan tersebut sehingga larut dan sebati.
Langkah 2
Masukkan bahan-bahan yang telah dikisar (umpan) ke dalam bekas atau botol kedap udara separas 3/4 penuh sahaja.
Biarkan (peram) umpan ini selama sekurang-kurangnya satu malam sebelum ia digunakan.
Langkah 3
Umpan ini sesuai digunakan dengan roti dadu dan juga palet (dedak biji). Tuangkan umpan secukupnya sahaja ke atas roti dadu di dalam bekas bancuhan dan pastikan setiap roti dadu sebati dengan umpan.
Sebaiknya perap seketika sebelum umpan ini dijadikan umpan untuk memancing patin atau lain-lain spesies yang ada di dalam kolam.
Penggunaan cacing tanah sebagai umpan memancing bukanlah perkara baru dalam dunia memancing. Ia adalah umpan universal yang bukan saja diguna pakai di Malaysia malah seluruh dunia. Dan cacing tanah itu ada pelbagai jenis dan ada beberapa jenis cacing tanah yang sangat berkesan untuk dijadikan umpan. Salah satunya ialah cacing air atau sesetengahnya memanggil cacing sungai.
Cacing air hidup berkumpul dalam jumlah yang banyak dan dapat dikesan dengan melihat himpunan tahi cacing ini di permukaan tebing sungai yang berair.
Cara untuk mendapatkannya ialah dengan menyeluk kedua-dua tangan hingga ke siku atau ke pangkal lengan, bila terasa cacing bergerak-gerak maka dengan segera mengaut dan menarik keluar selut yang mengandungi cacing tersebut.
Proses ini perlu dilakukan dengan pantas kerana ia cepat melarikan diri. Jika lambat maka sedikitlah cacing yang berbaki.
Cacing air ini merupakan santapan lazat bagi kebanyakan spesies seperti kelah, tengas, tengalan, lampam, patin, begahak, temoleh, temperas, baung dan lain-lain lagi ikan sungai.
Malah udang galah turut menyukai cacing tanah ini. Pendek kata ia sememangnya amat berbaloi mencarinya biarpun terpaksa berlumpur.
Diceritakan orang bahawa cacing air ini pantang dilangkah. Jika dilangkah ia akan putus. Sejauh mana kebenarannya tidak dapat dipastikan kerana saya sendiri tidak pernah buat eksperimen.
Begitu juga ketika mencangkuk cacing ini ke mata kail. Mulakan mencangkuk pada bahagian kepala dahulu. Jika dimulakan di bahagian ekor, badannya juga mudah putus.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...