Pada awalnya saya sangka tekong-tekong tuas Pulau Payar sekadar melawak. Iyalah, bila ditanya nak guna umpan apa pancing cencaru, mereka sepakat sekata menjawabnya… bulu.
Saya sebenarnya bukanlah tak pernah umpan tiruan yang diletakkan bulu itik sebagai aksesori untuk memperdaya ikan. Malah ada individu yang mengusahakan umpan bullet fly. Tapi tak pernah pula tengok sehelai bulu dan mata kail saja yang digunakan.
Untuk memuaskan hati saya, tekong tersebut sedia melakukan tutorial serta demontrasi. Dan saya memerhati dengan tekun. Beliau mengeluarkan sehelai bulu itik dari bekas pancingnya dan sebatang mata kail.
Kemudian dia ambil tali perambut dan tali perambut itu digunakan untuk mengikat mata kail bersama Perambut mata kail berbulu itik sepanjang sedepa itu kemudian disambung ke set pancing yang telah disiapkan dengan pemberat.
Mata kail berumpankan bulu ayam itu kemudian diturunkan ke air sehingga pemberat mencecah dasar lalu dikarau dengan kadar kelajuan yang agak tinggi juga. Dan ia segera berhasil! Hanya dengan semudah itu cencaru serta alu-alu berjaya didaratkan.
Inovasi bulu
Melihat kepada kesan penggunaan bulu tersebut, saya segera menginovasikannya dengan meletakkan bulu ayam pada assist hook yang digunakan untuk jigging. Terbukti ia adalah pendekatan yang cukup berkesan kerana bukan saja cencaru yang mengejarnya malah ikan-ikan pemangsa lain juga.
Malah, hari ini penggunaan bulu itik atau bulu ayam putih pada umpan tiruan sudah menjadi satu kemestian jika memancing di tuas. Malah ia menjadi satu sumber pendapatan kepada pengusaha yang menyediakan umpan ini.