Menjadi kelaziman apabila memancing di sekitar pelantar minyak di perairan pantai timur, antara acara awal yang dilakukan adalah mencari umpan dengan kaedah menunda atau trolling sabiki (apollo) yang biasanya dibuat sendiri oleh tekong atau awak-awak. Sementara ikan yang diburu dengan kaedah ini adalah ikan tongkol atau ikan aya. Dan proses ini dipanggil ngolok ikan aya.
Apollo umpan yang berwarna-warni diikat ke mata kail biasanya 40-50 bentuk mata kail digunakan. Jarak di antara satu perambut ke satu perambut yang lain sepanjang 30-50cm. Bulu apollo tersebut diperbuat daripada tali rafia biasanya berwarna hijau yang racik halus.
Awak-awak akan menurunkan set ngolok sepanjang 15-18 meter ini tatkala bot akan menghampiri kawasan unjam. Setelah mendapat isyarat daripada tekong perambut ngolok ini dilepaskan di belakang bot sama ada di sebelah kanan atau kiri bot dan kadang-kala mereka mengolok di kedua-dua sisi bot.
Ikan aya akan menyambar bulu sabiki yang umpama ikan bilis yang diseret di permukaan laut. Apabila terasa berat, awak-awak akan meminta tekong memperlahankan bot. 2-3 orang diperlukan untuk menarik 30-40 ekor ikan aya yang tersangkut di mata kail.
Ikan-ikan aya yang menggelepar di lantai bot dikumpulkan dan dimasukkan ke dalam raga. Apabila raga penuh, ikan dicurahkan ke dalam tong ais sebagai bekalan umpan sepanjang sesi memancing. Isi ikan aya yang mengandungi banyak darah dan kuat baunya antara penyebab kenapa ia begitu cepat ‘memanggil’ penghuni dasaran.
Jika tidak untuk mencari umpan bagi sesi memancing, teknik ngolok ini turut dilakukan oleh nelayan bagi menangkap ikan aya.
Sebelum memancing sesuatu spesies ikan adalah penting untuk mengetahui diet atau makanannya terlebih dahulu. Ikan kaloi merupakan spesies ikan omnivor. Ikan ini memakan apa sahaja seperti rumpai air, ikan kecil, katak, cacing, organisma akuatik yang kecil malah hidupan akuatik yang telah mati juga dimakan oleh ikan kaloi.
Begitu pun, diet spesies ini lebih cenderung kepada tumbuhan. Dalam sektor akuatik, spesies kaloi juga digunakan sebagai haiwan pengawal rumpai air kerana keupayaannya untuk memakan dan mengawal tumbuhan vegetative akuatik dan alga yang tidak dikehendaki. Ini kerana, ikan kaloi yang dewasa mampu untuk memakan tumbuhan akuatik yang bersifat fiber secara terus.
Berbalik kepada dunia pancingan, spesies ikan kaloi bukanlah antara spesies ikan yang boleh dipancing setiap hari. Apa yang penulis maksudkan ialah, spesies boleh dikatakan spesies ikan yang agak jarang juga dinaikkan menggunakan teknik pancing. Lubuk pancingan spesies kaloi juga bukanlah di lokasi mudah diakses.
Biasanya, spot yang sesuai untuk memancing ikan kaloi ialah di kawasan sungai atau tasik yang mempunyai keadaan air yang bergerak perlahan. Ini kerana ikan kaloi biasanya memilih kawasan air berarus perlahan sebagai habitatnya. Spot sebegini yang mempunyai struktur seperti kayu mati di dasarnya juga antara spot menarik dan berpotensi.
Biarpun jarang dijadikan spesies target utama, ikan kaloi sebenarnya mampu memberikan tentangan yang kuat kepada pemancing. Henjutan kaloi yang bersaiz besar mampu membuatkan adrenalin pemancing mengalir laju.
Jangan dipandang remeh kerana spesies ini mampu membesar sehingga mencapai saiz 70cm panjang. Dengan sirip kaudal pedunkel yang kuat, ikan kaloi mampu membuatkan tali pancing putus dengan hanya satu henjutan. Selalunya pemancing perlu berwaspada ketika ikan kaloi melakukan henjutan secara tiba-tiba.
Dalam pancingan ikan kaloi, teknik yang terbaik ialah teknik pelampung dan dasar, namun penulis lebih cenderung memilih teknik pelampung kerana ikan ini bukannya ikan demersal. Antara umpan yang boleh dipilih jika ingin menduga spesies Giant gourami ini ialah, lipas kayu, cengkerik, udang sungai, cacing dan belalang atau pepatung.
Jika anda mahu mencuba umpan berasaskan tumbuhan pula, beberapa jenis umpan boleh dipilih. Antaranya ialah buah ara, sawit peram atau sawit masak dan juga umpan pisang separuh masak yang dipotong kecil atau dipotong dadu sebelum dicangkukkan pada mata kail.
Jarang sekali kaloi menjamah umpan tiruan seperti gewang, namun ia bukanlah sesuatu yang mustahil. Kebelakangan ini sudah terdapat beberapa kejadian pemancing berjaya memancing kaloi dengan menggunakan gewang. Selain dry flies dan teknik pancingan layang juga berpotensi menggoda spesies gourami gergasi ini gewang tiruan berbentuk ala-ala udang dipercayai antara gewang terbaik yang boleh dicuba.
Bagi pemancing yang kali pertama merancang untuk pergi memancing ke Borneo atau pemancing di Borneo datang ke Semenanjung, tentu saja perkara yang akan terlintas di fikiran adalah bagaimana nak bawa set pancing dan perkakasan ke dalam kapal terbang. Macam mana dengan ikan?
Sebenarnya, bukan susah sangat pun. Ada caranya, semua barang-barang ini mestilah melalui kargo termasuk barangan lebih muatan seperti joran, ia tidak boleh bersama anda di dalam kabin. Justeru sebelum bergerak ke lapangan terbang, sebaiknya buat sedikit pemeriksaan terlebih dahulu.
Sebelum bertolak, pastikan semua peralatan memancing anda di kemas sebaik mungkin di dalam kotak khas.
Pastikan setiap mata kail, perambut, gewang, jig, kabel kekili elektrik dan alatan memancing lain dimasukkan dengan kemas ke dalam beg untuk dibawa masuk ke dalam muatan kargo.
Sebarang kekili dan kekili elektrik disarankan supaya letakkan di dalam beg galas dan dibawa masuk bersama di dalam kapal terbang supaya mengelakkan daripada hilang dan rosak jika di letakkan ke dalam muatan kargo.
Sila periksa sekali lagi peralatan anda, terutama barang yang dianggap berbahaya tidak dimasukkan sekali di dalam beg pakaian anda, walaupun satu pek mata kail. Ini kerana bila diimbas atau scan, alarm akan berbunyi dan barang anda pasti tidak dibenarkan masuk.
Setiap rod hendaklah dimasukkan dengan kemas ke dalam bazooka untuk mengelakkan daripada rod patah. Pastikan bazooka di kunci kemas sebelum dihantar ke muatan kargo.
Penting bagi setiap kotak, bazooka diletakkan sticker mudah pecah, bagi mengelakkan pekerja kargo mengenal pasti barang biasa atau mudah pecah.
Pastikan setiap pemancing mengambil muatan kargo sekurang-kurangnya 20kg seorang semasa membeli tiket kapal terbang.
Bermakna jika ahli keseluruhan seramai 10 orang, trip tersebut mempunyai 200 kg muatan barang-barang yang boleh dimuatkan ke dalam kargo pergi dan balik caj kargo akan dikenakan caj yang tinggi (anggaran RM30 per kg) di lapangan terbang jika terdapat lebihan kargo (bergantung pada caj semasa).
Sila patuh kepada prosedur yang telah ditetapkan ketika check-in dan semasa melalui pemeriksaan imigresen di lapangan terbang.
Bila tamat sesi memancing, lakukan perkara yang sama dan untuk hasil tangkapan, jika di Kuching, biasanya, tekong akan menyiapkan segala-galanya, iaitu ikan akan di packing terus ke dalam kotak polisterin dan dihantar terus ke lapangan terbang.
Cara terbaik adalah, rujuk kepada rakan yang pernah pergi trip memancing menaiki kapal terbang untuk mengetahui lebih lanjut.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...