Bagi pemancing muda atau baru menjinakkan diri dalam dunia hanyir ini mungkin tidak familiar dengan spesies ikan leekoh. Walaupun sudah tidak begitu banyak kolam pancing air tawar yang menyediakan ikan leekoh untuk dipancing, namun masih ada pemancing yang berminat memancing ikan spesies kap ini. Sama ada di kolam, lombong atau sungai, ikan leekoh boleh dipancing dengan kaedah dan umpan yang sama.
Sebagai ikan kap yang menjadikan lumut, rumpair atau tumbuhan akuatik sebagai sumber makanan, melihat cara leekoh makan juga boleh dijadikan ilham untuk memahami kaedah memancingnya.
Ikan leekoh juga gemar menyedut tanah dan menyaring makanan yang ada di dalam tanah tersebut. Oleh yang demikian, bahan umpan berasaskan dedak merupakan senjata utama untuk memancingnya.
Tabiat makan ikan leekoh lazimnya tidak mengira waktu. Ia boleh berubah mengikut persekitaran dan habitat. Maknanya kita boleh memancing leekoh tanpa mengira waktu. Hanya untuk menentukan waktu ia paling aktif, kita haruslah melakukan sedikit homework.
Apa yang perlu ada pada umpan atau dedak ialah bau-bauan yang boleh menarik minatnya. Jadi, pastikan umpan yang digunakan dicampurkan dengan bau-bauan yang sedikit wangi serta hanyir.
Apa yang lebih penting daripada umpan ialah kaedah untuk menarik ia datang kepada umpan. Ia boleh dilakukan dengan teknik menabur umpan dalam jumlah yang banyak di sesuatu tempat.Inilah rahsia sebenar memancing ikan leekoh.
Selain perlu merasuah, gaya persembahan umpan juga penting. Ikan leekoh dipercayai bersikap agak tamak dan gelojoh terhadap makanan. Jadi, umpan yang tersembunyi mata kail di dalamnya itu perlulah dikepal dalam saiz yang besar.
Setelah mengetahui tabiat makan ikan leekoh ialah dengan cara pasif, iaitu memakan umpan yang tidak bergerak dan ia sendiri tidak bergerak ketika makan. Ia akan memakan umpan dengan senyap dan perlahan. Jadi, penggunaan mata kail yang ringan tetapi kuat amatlah penting.
Sekiranya menggunakan mata kail yang besar dan berat, ia juga memungkinkan mata kail tersebut tidak akan bergerak masuk ke dalam mulut ikan ketika menyedut makanan.
Ikan leekoh akan memuntahkan kembali mata kail setelah menyedut dedak. Oleh itu kita haruslah peka pada sebarang pergerakan mata kail melalui gerakan tali pancing. Memandangkan mata kail berkemungkinan tidak akan tercangkuk dengan sendiri pada mulut ikan, maka kita sendiri haruslah menyentapnya ada petanda ia digerakkan oleh ikan.
Selebihnya, layanlah lariannya dengan lemah gemalai. Pastikan drag kekili tidak dikunci terlalu tinggi kerana mulut leekoh agak lembut dan boleh koyak jika melawannya dengan cara yang kasar.