Tuah Siri Akhir GP KOPDBKL

Share

Menyedari spesies bersisik khususnya ikan belida lebih tinggi kiraan mata berbanding spesies tak bersisik seperti ikan patin, Mohd Fadli Yoosuff mengetepikan kepuasan untuk memancing ikan patin bersaiz mega, sebaliknya menumpukan perhatian kepada pancingan menggunakan umpan ikan hidup bagi memburu belida dan toman.

Belida (kanan) yang menjadi ikan juara.

Ketabahan dan kesabaran Mohd Fadli nyata berbaloi apabila muncul juara siri akhir pertandingan memancing GP KOPDBKL 2017, Ahad lalu di Taman Tasik Ampang Hilir, Kuala Lumpur. Pertandingan tersebut merupakan siri akhir daripada empat siri anjuran Koperasi Pegawai-Pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (KOPDBKL) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan diselaraskan oleh Wakjali Event Management.

ikan terberat pertandingan… patin 20.5 kg

Ikan belida seberat 4.990 kg (29.94 mata) yang didaratkan pada jam 8.25 pagi sudah memadai bagi menobatkan Mohd Fadli sebagai juara. Dengan kemenangan tersebut beliau membawa pulang RM25,000 tunai berserta Kad Mesra Petronas bernilai RM600.

Sementara Jamil Abu Bakar yang mendaratkan seekor ikan pacu seberat 6.170 kg (24.68 mata) sekadar berpuas hati di podium kedua dan membawa pulang RM6,000 tunai berserta Kad Mesra Petronas bernilai RM500. Manakala di tempat ketiga yang membawa pulang RM3,000 dan Kad Mesra Petronas bernilai RM300 pula disandang oleh Mohd Hafiza yang mendaratkan seekor ikan belida seberat 3.555 kg (21.33 mata).

Champion KOPDBKL siri akhir

Lebih manis, Mohd Fadli yang hadir ke siri akhir GP KOPDBKL dengan kedudukan ketujuh dalam senarai grand slam (76.92 mata) berjaya memintas peneraju kedudukan teratas setelah berjaya mengutip tambahan 29.94 mata. Dengan pungutan 106.86 mata, Mohd Fadli secara mutlak membolot hadiah perdana (grand slam) berupa sebuah kereta Proton Persona yang bernilai lebih RM50,000.

champion GP KOPDBKL

Penyampaian hadiah-hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Menteri Kewangan Kedua merangkap Ahli Parlimen Kawasan Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz diiringi oleh Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosio-Ekonomi) DBKL, Dato’ Ibrahim Yusoff dan Pengerusi KOPDBKL, Kamarulzaman Mat Salleh.

Published by
Amang