Menyedari spesies bersisik khususnya ikan belida lebih tinggi kiraan mata berbanding spesies tak bersisik seperti ikan patin, Mohd Fadli Yoosuff mengetepikan kepuasan untuk memancing ikan patin bersaiz mega, sebaliknya menumpukan perhatian kepada pancingan menggunakan umpan ikan hidup bagi memburu belida dan toman.
Ketabahan dan kesabaran Mohd Fadli nyata berbaloi apabila muncul juara siri akhir pertandingan memancing GP KOPDBKL 2017, Ahad lalu di Taman Tasik Ampang Hilir, Kuala Lumpur. Pertandingan tersebut merupakan siri akhir daripada empat siri anjuran Koperasi Pegawai-Pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (KOPDBKL) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan diselaraskan oleh Wakjali Event Management.
Ikan belida seberat 4.990 kg (29.94 mata) yang didaratkan pada jam 8.25 pagi sudah memadai bagi menobatkan Mohd Fadli sebagai juara. Dengan kemenangan tersebut beliau membawa pulang RM25,000 tunai berserta Kad Mesra Petronas bernilai RM600.
Ads
Sementara Jamil Abu Bakar yang mendaratkan seekor ikan pacu seberat 6.170 kg (24.68 mata) sekadar berpuas hati di podium kedua dan membawa pulang RM6,000 tunai berserta Kad Mesra Petronas bernilai RM500. Manakala di tempat ketiga yang membawa pulang RM3,000 dan Kad Mesra Petronas bernilai RM300 pula disandang oleh Mohd Hafiza yang mendaratkan seekor ikan belida seberat 3.555 kg (21.33 mata).
Ads
Lebih manis, Mohd Fadli yang hadir ke siri akhir GP KOPDBKL dengan kedudukan ketujuh dalam senarai grand slam (76.92 mata) berjaya memintas peneraju kedudukan teratas setelah berjaya mengutip tambahan 29.94 mata. Dengan pungutan 106.86 mata, Mohd Fadli secara mutlak membolot hadiah perdana (grand slam) berupa sebuah kereta Proton Persona yang bernilai lebih RM50,000.
Ads
Penyampaian hadiah-hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Menteri Kewangan Kedua merangkap Ahli Parlimen Kawasan Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz diiringi oleh Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosio-Ekonomi) DBKL, Dato’ Ibrahim Yusoff dan Pengerusi KOPDBKL, Kamarulzaman Mat Salleh.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Selari dengan objektif penubuhan Team Pacak Strike (TPS) merapatkan silaturahim dan ukhuwah bukan sekadar sesama ahli, malah dengan sesiapa sahaja dalam dunia pancingan tanah air, sebahagian kecil ahli TPS menyahut jemputan pengusaha produk umpan memancing, Papa Paste dan Kolam Pancing Bezz Aquaculture bagi melaksanakan komplot memancing.
Selain daripada berpeluang mengeratkan lagi silaturahim sesama ahli, melalui komplot memancing ini para kumpulan kelab Facebook yang menghimpunkan para pemancing khususnya dari utara tanah air diterajui M. Nasir Ghazali turut sama berpeluang menimba dan berkongsi ilmu berkaitan memancing.
Melalui perkenalan dengan pemilik kolam pancing Bezz Aquaculture para ahli berpeluang menimba sedikit sebanyak pengetahuan berkenaan rahsia kejayaan memancing di kolam tersebut. Ilmu yang sama turut sama dapat dipelajari daripada pemancing setia kolam yang turut serta. Sementara menerusi pengusaha umpan Papa Paste dapatlah pula mempelajari teknik-teknik atau setting umpan yang betul.
Selain daripada menerima ilmu, ahli TPS tidak lokek untuk berkongsi teknik dan cara penyediaan umpan yang diamalkan. Dan melalui sesi memancing ahli TPS membuktikan apa yang mereka kongsi amat berkesan apabila para ahli bersilih ganti melayan tarikan ikan yang terdapat di dalam kolam. Sekaligus memeriahkan lagi sesi komplot memancing bersama wakil sisipan UMPAN di Kolam Pancing Bezz Aquaculture.
Percaya atau tidak, sebanyak RM 10,000 disediakan khusus untuk pemancing yang menduduki carta atau ranking ke-101 hingga ke-150. Yang membawa erti setiap pemenang yang menduduki carta tersebut akan memperoleh RM200. Manakala RM36,000 tunai lagi diperuntukkan disediakan khusus untuk pemancing yang menduduki carta atau ranking dari tempat ke-11 hingga ke-100 atau RM400 untuk setiap ranking.
Itu baru kedudukan ranking ke-11 hingga ke-100, hadiah wang tunai untuk kedudukan ranking tempat ke-10 sehinggalah podium utama iaitu juara pula berjumlah RM59,000. Sekali gus ia melebihi RM100,000 wang tunai yang menanti untuk direbut. Begitulah tawaran luar biasa yang disediakan oleh pengurusan Seri Bayu Tekala bagi pertandingan memancing yang bakal dilangsungkan pada 29 Oktober nanti bertempat di Kolam Seri Bayu Tekala, Semenyih, Kajang.
Menurut pengurus acara ini, pihak kolam turut menyediakan dua kategori khas untuk tangkapan spesies patin Chao Phraya dan tongsan sisik halus. Bagi setiap juara kategori akan memperoleh RM 500, kedua sebanyak RM300 dan ketiga sebanyak RM200. Selain itu pihak penganjur atau pihak kolam turut menyediakan acara cabutan bertuah yang menawarkan dua buah kaca TV 32” LED dan 10 unit kekili dari jenama Shimano.
Acara pertandingan yang terbuka kepada sesiapa sahaja ini boleh disertai dengan cara melakukan pendaftran di kaunter pendaftran kolam yang dibuka pada jam 1.00 petang 28 Oktober sehinggalah bermulanya pertandingan.
Sebagaimana kejohanan Royal Pahang Billfish International Challenge (RPBIC) tahun, pertandingan RPBIC 2017 turut menyaksikan satu keputusan yang sengit. Tahun lalu pasukan Rompin Ocean 1 muncul juara dengan perbezaan satu tangkapan berbanding pasukan Penn Battle yang berpuas dengan naib juara.
Tahun ini menyaksikan Team Gawas berjaya muncul sebagai juara setelah berjaya mendaratkan 29 tangkapan manakala pasukan Rompin Ocean terpaksa berpuas hati dengan jumlah 28 tangkapan dan berada di podium kedua.
Selama dua hari pertandingan berlangsung dalam cuaca baik ini menyaksikan 311 tangkapan berupa ikan layaran berjaya direkodkan (200 tangkapan pada hari pertama dan 111 pada hari kedua). Ia jumlah tangkapan yang begitu memberangsangkan berikutan jumlah peserta yang mengambil bahagian pada tahun ini hanya seramai 78 orang dengan melibatkan 26 buah bot memancing.
Mungkin disebabkan faktor jumlah kemasukan ikan spesies berparuh ini ke perairan Rompin tidak pernah berkurang pada musimnya, sedikit sebanyak ia mempengaruhi jumlah tangkapan peserta dan yang pasti, tiada satu pasukan pun yang gagal mendaratkan sekurang-kurangnya seekor ikan layaran pada RPBIC 2017 ini.
Keputusan Acara RPBIC 2017
TEAM GAWAS – Dennis Lee Chong Seng (Malaysia), Steven Chong (Malaysia), Wilson Tan (Malaysia) – 29 tangkapan (17,400 mata) – RM20,000 + trofi + peralatan pancing.
ROMPIN OCEAN – Jason Tan (Singapura), Jay (Malaysia), Tan Chon Wee (Malaysia) – 28 tangkapan (16,800 mata) – RM14,000 + trofi + peralatan pancing.
LFX – Ang Sel Sheng (Malaysia), Patrick Erler (Austria), Ang Sel Yin (Malaysia) – 26 tangkapan (15,600 mata) – RM 10,000 + trofi + peralatan pancing.
TEAM XZOGA – Reuben Tan (Singapura), Jacky Ho (Singapura), Chong Man Lee (Malaysia) – 25 tangkapan (15,000 mata) – RM6,000 + trofi + peralatan pancing
LEMAX PRO TEAM – Irwan Osman (Malaysia), Markus Ho (Malaysia), Mohd Kamaruddin Ameran (Malaysia) – 19 tangkapan (11,400 mata) – RM3,000 + trofi + peralatan pancing
TEAM EXPERT GRAPHITE – Ahmad Johari Abdul Jamil (Malaysia), Hidayat Osman (Malaysia), Mohd Ariff (Malaysia) – 16 tangkapan (9,600 mata) – RM2,000 + trofi + peralatan pancing
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...