Pertandingan memancing Cabaran Tutup Tirai 2017 Seri Bayu Tekala yang berlangsung di kolam memancing Seri Bayu Tekala, Semenyih yang berlangsung Ahad lalu ternyata menerima sambutan hangat dari para pemancing serata tempat bagi merebut RM80,000 tunai sebagai ganjaran tempat pertama.
Pertandingan yang bermula dalam cuaca baik menyaksikan ikan-ikan lebih agresif menyambut umpan yang dilabuhkan sedari awal pertandingan dimulakan pada jam 8.30 pagi. Ia dibuktikan apabila tangkapan ke-12 yang dibawa ke meja timbang pada jam 8.43 pagi, atau kira-kira selepas 13 minit pertandingan bermula merupakan spesies patin seberat 14.305 kilogram.
Hasil pancingan peserta yang mendaftarkan nama sebagai SARIP DOL yang datang dari Seremban itu bolehlah dianggap sebagai saiz podium meskipun belum pasti bakal menduduki juara. Tambahan pula jika dibandingkan dengan pertandingan yang dilangsungkan pada bulan November lalu, spesimen yang muncul sebagai juara adalah seberat 16.665 kg dan tempat kedua pula seberat 14.805 kg. Justeru para peserta lainnya masih berpeluang cerah untuk memintas.
Ads
Ads
Namun, sehingga tamat pertandingan pada jam 1.30 petang menyaksikan tiada peserta yang berjaya mendaratkan spesimen melebihi 14.302 kg. Spesimen kedua terberat dinaikkan oleh peserta yang mendaftarkan nama sebagai MANDO 6 dari Sungai Buluh dengan berat 13.785 kg. Sementara MANDO 5 yang juga dari Sungai Buloh berada di podium ketiga dengan tangkapan spesimen patin seberat 12.900 kg.
Tamat pertandingan menyaksikan SARIP DOL kekal di puncak podium dan membawa pulang ganjaran tunai RM80,000 yang merupakan hadiah tempat pertama tertinggi yang pernah ditawarkan oleh Kolam Seri Bayu Tekala.
Ads
Menurut Faizal Khan selaku pengurus bersama kolam memancing Seri Bayu Tekala selepas majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang, pihak kolam akan menganjurkan pertandingan memancing Cabaran Malam Minggu sempena penutup tirai tahun 2017 pada 30 Disember nanti.
Carta Top 10
SARIP DOL – Patin 14.305 kg (RM80,000)
MANDO 6 – Patin 13.785 kg (RM12,000)
MANDO 5 – Patin 12.900 kg (RM6,000)
BTG 1 – Patin 12.825 kg (RM1,000)
RAFAEL – Patin 12.775 kg (RM700)
SHAM – Patin 12.735 kg (RM500)
MHD RUSDY – Patin 12.165 kg (RM500)
J14 – Patin 11.925 kg (RM400)
HARRAZ – Pacu 11.720 kg (RM400)
BURAGAS – 11.680 kg (RM400)
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Angin masih bertiup kuat membuat bot kami hilang arah dan alunan yang tinggi membuatkan ramai yang tak tahan. Untuk tidak mahu mengambil risiko yang besar Pak Itam pun mengarahkan kami untuk bermalam sahaja di lubuk ini.
Lagipun trip kami masih berbaki 2 hari di lautan. Kami meneruskan pancingan malam dengan teknik bottom dan juga teknik menghanyut umpan.
Dua teknik yang kami gunakan adalah dengan menggunakan teknik apollo dan pancingan hanyut. Teknik menghanyut umpan menggunakan leader kabel berkekuatan 40 paun ternyata berhasil apabila beberapa ekor aruan tasik berjaya didaratkan.
Umpan kembong dicangkuk dengan mata kail bersaiz 4/0 dan dibiarkan hanyut di antara dasar dan permukaan air ternyata menarik perhatian spesies yang terkenal dengan larian padunya kerana bentuk badannya mampu membelah air umpama torpedo.
Namun hasil spesies lain kurang memberangsangkan.
Hari kedua
Sebaik sahaja selesai bersarapan, Pak Itam lantas membawa kami ke lubuk spesies merah. Setelah menghampiri lubuk, Pak Itam memberi nasihat agar bersiap sedia untuk menghulurkan umpan ke dasar.
Perambut setengah depa dan mata kail bersaiz 3/0 di cangkukkan umpan sotong bersedia dilabuhkan.
Setelah menunggu beberapa minit sahaja, rod Baha telah disentap dengan kuat. Bimbang mangsa melarikan diri Baha membuat sentuhan setting pada kekili elektrik Banax Kaigen dan membiarkan sistem drag kekili elektriknya berfungsi sendiri.
Seekor merah bersaiz 8kg berjaya ditewaskan dalam masa pertarungan yang singkat. Selang beberapa minit kemudian, sekali lagi umpan yang dilabuhkan oleh Baha mengena lagi seekor merah.
Sememangnya spesies ini sedang kelaparan di dasar. Setelah berpesta selama 20 minit di lokasi pertama, Pak Itam membawa kami ke lokasi yang kedua. Perjalanan memakan masa cuma 10 minit sahaja.
Kali ini giliran Ary berentap dengan seekor merah dan kerapu. Tidak disangka-sangka perambut appolo 2 mata buatan sendiri telah mengena dengan serentak.
Umpan yang digunakan hirisan ikan selar yang segar membuatkan spesies ini meragut dengan kasar. 2 lawan 1, itu yang mampu diungkapkan setelah Ary berjaya mendaratkan spesies merah dan kerapu ini.
Sementara itu, angin masih bertiup kuat dan kami tiada pilihan dengan mengambil keputusan untuk berehat di lokasi ini sehingga menunggu angin reda. Tepat pukul 7 malam, kami bertolak menuju ke Pelantar Jernih yang memakan masa selama 3 jam.
Apabila bot hampir tiba di Pelantar Jernih, kelihatan api suar menyala menyinari dan memantulkan cahaya di kawasan pelantar.
Kami memulakan sesi jigging dengan mengunakan jig luminus. Akibat dari pergerakan angin yang tidak menentu, ternyata tidak ramai yang melakukan teknik jigging disebabkan mabuk laut dan kepenatan.
Bad Zad dan Yaacob antara yang kekal setia untuk jigging. Hasilnya belasan ekor cupak berskala 3kg hingga 4kg berjaya dinaikkan.
Jika tidak menempuh alun yang kuat dan mabuk laut sesi pancingan dijangka meriah. Tetapi sifat lautan yang luas bukan perkara mudah untuk diduga.
Hari ketiga
Kesemua ahli trip mengambil kata sepakat untuk keluar dari kawasan Pelantar Jernih, untuk mencari spesies ikan merah. Lantas, Pak Itam menghalakan botnya ke satu lubuk kira-kira satu batu dari kawasan pelantar.
Sebaik sahaja sauh dilabuhkan, kami semua menurunkan pancingan masing-masing. Kali ini giliran awak-awak pula yang berjaya mendaratkan seekor lagi merah yang bersaiz 9kg.
Namun selepas itu, tiada lagi getuan sang merah yang dicari. Agak pelik juga kerana biasanya ikan merah akan bergerak secara berkumpulan. Mungkin seekor ini tersesat agaknya.
Pada malam terakhir kami menyarankan kepada Pak Itam untuk turun semula ke Pelantar Jernih untuk bermain jiging dan popping.
Dengan tenaga yang ada, 4 pemancing tetap menggunakan jigging dan selebihnya menggunakan teknik popping dan melontar ke arah tiang-tiang pelantar.
Memang nak dijadikan rezeki, pada malam terakhir, kami berpesta cupak yang tidak henti menyambar umpan.
Secara keseluruhannya, ikan yang berjaya kami naikkan, merah bersaiz 5kg hingga 9kg – 5 ekor, kerapu bersaiz sekilo ke 5kg- 8 ekor, ebek 7kg dan 8kg – 2 ekor, aruan tasik 6kg – 2 ekor dan puluhan ekor spesies ikan unjam.
Kesimpulannya, trip ini boleh dikatakan berjaya juga, walaupun sasaran utama untuk menaikkan seberapa banyak spesies ikan merah agak kurang. Ini disebabkan alun yang kuat menyebabkan bot tidak boleh bergerak baik untuk berada di atas lubuk.
Bahkan, kami terpaksa berehat selama 12 jam untuk menanti angin reda kembali. Walau apapun kami tetap berpuas hati dan berazam untuk pergi lagi ke sini di masa akan datang.
Kerjaya saya sebagai seorang guru di zaman teknologi ini sangat mencabar. Kerenah pelajar kadang-kadang boleh menyebabkan saya sangat stress. Walau bagaimanapun saya mempunyai cara untuk mengurangkan tekanan kerja ini, iaitu dengan melayan hobi memancing.
Tiap-tiap hujung bulan saya pasti akan pulang ke kampung isteri di Bagan Nakhoda Omar (BNO), Sabak Bernam. Kesempatan ini saya gunakan sebaiknya untuk memancing kerana BNO memang terkenal dengan parit-parit yang dihuni oleh spesies seperti tilapia, puyu, haruan dan banyak lagi.
Semasa cuti Tahun Baru Cina, saya sekali lagi berkesempatan pulang ke BNO. Saya telah membuat persiapan 2 hari sebelum pulang dengan membeli cacing dan melengkapkan alatan memancing yang berkurangan seperti pelampung dan tangsi.
Kami bertolak dari Puncak Alam, Kuala Selangor pada pagi hari Sabtu. Hampir 2 jam perjalanan, kami selamat sampai di BNO. Selepas makan tengah hari, saya seorang diri terus ke parit berdekatan bertemankan 2 batang joran.
Umpan cacing dipasang di mata kail dan kail dilabuhkan berhampiran rimbunan kangkung. Hampir 20 minit menunggu, akhirnya umpan disentap rakus oleh penghuni dasar, si tilapia.
Apabila bermula sentapan si tilapia, saya tidak menang tangan untuk mengarau 2 batang joran tersebut. Jikalau saya lambat sahaja, si tilapia pasti berjaya mencuri umpan dengan menyelamatkan diri dengan menyusup di bawah rimbunan kangkung.
Ikan yang berjaya didaratkan, saya bawa pulang dan saya sendiri akan menyiang ikan tersebut. Isteri saya tidak tahan dengan bau lumpur dari perut ikan tilapia. Saya akan menyiang dengan cara membelah ikan tilapia dari atas untuk dibuat ikan masin.
Ikan tersebut akan diletak garam dan akhirnya dijemur berhari-hari sehingga kering. Segala penat lelah akan hilang setelah menikmati keenakan ikan masin tilapia dengan nasi panas-panas.
Jikalau di kelas, saya menggunakan marker pen untuk mendidik anak murid tetapi di lapangan memancing saya menggunakan joran dan umpan untuk bereksperimen bagi menundukkan penghuni dasar. Begitulah rutin seorang guru dengan jorannya.
Paloh, laluan kapal, Zon ZE, Port Klang, Selat Melaka, Pintu Gedung dan line menotok merupakan panggilan lokasi memancing secara sekitar area Selangor membawa ke arah Melaka.
Kawasan pesisir pantai ini adalah sebahagian unjuran laluan Selat Melaka yang paling menyempit.
Teknik berhanyut adalah paling efektif kerana kebanyakan lubuk adalah di celahan laluan kapal dagang yang mundar mandir sepanjang Selat Melaka.
Istilah menotok lebih banyak diguna pakai oleh pemancing otai di kawasan ini kerana ia lebih menjurus kepada situasi dasar berbanding berhanyut yang berkisar di permukaan.
Walau apa pun istilah yang disebut, kini bertambah ramai yang sanggup meredah gelombang dan alun kapal semata-mata ingin merasai keperitan menarik jenahak, merah,
kerapu dan ibu gelama dari dasar manakala talang, haruan tasik, gerepoh, tenggiri pula pasti turut mendapat habuan jika umpan dilepaskan tanpa ladung.
Pada trip ulangan ini cuaca begitu menyebelahi kami kerana beberapa trip sebelumnya terpaksa menempuh alun menggila di pintu keluar kawasan merah yang dikenali pintu air Pulau Pintu Gedung.
Laut yang sedikit beralun membolehkan proses mencari umpan hidup.
Umpan hidup dari hasil apollo lebih diperolehi namun ia sekadar umpan pilihan kedua.
Pilihan pertama masih diterajui sotong kurita menjadi pertaruhan terbaik namun permintaan tinggi dan bekalan sering tidak mencukupi memaksa ramai pemancing mencari umpan alternatif.
Penjimatan masa ke lubuk amat ketara ketika bergerak dalam kelajuan hampir maksima tatkala permukaan laut mendatar.
15 hingga 30 minit diperlukan setiap kali berpindah lubuk. Ikan tidak mendiami lubuk yang sama dan jumlahnya agak menurun.
Kalau disebut kawanan ikan tentu ratusan dan puluhan ekor, tapi di kawasan Zee Selat Melaka ini kawanan ikan biasanya kurang dari 10 ekor mengikut pemerhatian hasil yang dibawa pulang oleh kumpulan pemancing.
Penulis berempat bergerak ke lokasi dengan penuh semangat kerana kedua-dua jenis umpan iaitu sotong kurita dan ikan selar hidup serta tamban yang nyawa-nyawa ikan sudah tersedia untuk digunakan.
Lubuk pertama menjadi persinggahan kira-kira 11 batu nautika dari Pintu Gedung atau lebih dikenali Lubuk 190 darjah berpandukan bacaan kompas dari kuala Pintu Gedung.
Kalau 230 darjah akan melepasi Rumah Api Permatang Sedepa. Kedudukan lubuk hampir melepasi Paloh 3 di mana kawasan laluan kapal melintas Pelabuhan Klang menuju ke arah selatan.
Memandangkan umpan selar dan tamban masih lagi segar hidup, kami mengunjungi lubuk biasa yang banyak menerima strike oleh talang.
Umpan selar amat mudah menjerat talang manakala tamban pula menjadi taruhan untuk ikan dasar.
Dalam keadaan laut agak selesa, muka baru yang pertama kali turun nampaknya masih tetap tidak tahan.
Mabuk membawa sehingga seharian di dalam sampan dengan baring sambil melihat rakan-rakan memancing.
Lama-lama nanti pasti akan biasa dengan alun dan akhirnya boleh mengikuti trip di kemudian hari.
Zon penantian bermula beberapa minit selepas semua peralatan pancing ditugaskan melabuhkan umpan selesai.
Pertaruhan umpan selar hidup, sotong kurita dan tamban yang nyawa-nyawa ikan pasti dinilai keberkesanannya merujuk kepada umpan mana yang disambar terlebih dahulu.
Bunyi hon kapal kedengaran apabila dari kejauhan menandakan ada sampan lain yang ketika itu terlalu hampir dengan laluan mereka.
Perkara yang dah biasa buat kami kerana tumpuan utama ke arah hujung joran, menanti lenturan dengan penuh harapan.
Tuah baju kuning, pada hari itu apabila si pemakainya menjadi orang pertama menerima sambaran.
Umpan tamban segar menjadi korban pertama untuk sang jenahak remaja.
Strike kedua di kawasan yang sama turut mengorbankan umpan tamban apabila seekor lagi jenahak tewas dengan joran buatan tangan dengan pasangannya kekili elektrik Shimano Beastmaster 9000.
Umpan selar hanyut di permukaan akhir membuahkan hasil apabila disambar seekor talang. Seronok melayan aksi talang lebih-lebih lagi dengan set aksi ringan.
Dari 4 sambaran talang, pagi itu hanya dua sahaja mengena manakala selebihnya rabut di pertengahan jalan.
50% kadar hook up masih boleh diterima. Desingan kekili Stella 4000 HG pula mencuit tumpuan yang dipacak di hadapan sampan.
Lenturan berterusan menyebabkan joran sukar untuk dikeluarkan dari kedudukan pada larian awal ikan.
Umpan kurita pula tidak mahu mengalah sebagai umpan terbaik apabila empunya joran terpaksa berhempas pulas menangani larian ikan sebelum muncul di permukaan.
Ikan bermasalah, itulah yang digelar kepada aruan tasik. Apabila ia kena sahaja, pasti ia akan mengelilingi sampan apabila muncul di permukaan.
Kekuatan yang dimiliki spesies ini walaupun di permukaan air tidak terdaya lagi ditangani apabila larian kedua begitu kuat sehingga perambut 80lb putus.
Suasana menyepi selepas kehilangan aruan tasik. Beberapa kali lubuk pertama diulangi namun tiada sentuhan kasar.
Hanya tengkerong dan ikan mengkerong pasir yang mencuri umpan yang semakin mahal harganya.
Waktu puncak pertama sudah lepas terpaksa menunggu waktu puncak berikutnya dalam masa 5 jam lagi. Sesi berhanyut sambil merehatkan badan seketika.
Memasuki waktu puncak kedua kami berpindah ke lokasi lain yang terletak kira-kira 6 batu nautika.
Dengan pecutan 24 knot, dalam masa 15 minit akan sampai kerana alun selat semakin mendatar menjelang waktu petang.
Percaturan yang sama seperti sesi sebelah pagi. Cuma tinggal beberapa ekor selar dan kurita sahaja.
Umpan tamban semuanya mati kerana spesies ini perlukan kitaran air yang baik untuk kekal hidup.
Apabila arus semakin lemah, sambutan ikan dasar semakin kerap jika berada di kawasan lubuknya. Petang itu agak menceriakan kami apabila ikan lebih galak.
Semakin lewat petang semakin menjadi pula jenahak menyambar. Walapun tidak kesemua strike berhasil sekurang-kurangnya ada juga kepuasan yang diperoleh.
Lewat petang itu kami pulang dalam keceriaan sambil menyusun perancangan untuk kembali lagi. Jadi pemancing mana pernah puas tidak kira gasak atau digasak.
Kumpau itu sesuatu yang indah untuk dikenang tetapi pahit untuk ditelan.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...