Ikan sememangnya subjek yang menarik untuk dibuat kajian. Tidak kiralah dari aspek taksonomi mahupun marfologi, banyak perkara yang boleh dibuat pengkelasan.
Justeru pelbagai kajian tentang ikan telah dilakukan dan pelbagai trivia dan fakta yang menarik telah dicatatkan. Namun kami senaraikan trivia yang cukup menarik tentang ikan.
➡ Trivia 1
Terdapat lebih daripada 25 000 spesies ikan telah dikenal pasti dan direkodkan. Dalam pada itu dijangkakan terdapat lebih 15 000 spesies ikan yang masih belum direkodkan.
Maknanya, kalau korang nak letak nama korang sebagai nama saintifik ikan yang belum direkodkan tu bolehlah berbuat demikian.
➡ Trivia 2
Ikan terkecil ialah Philippine goby atau dwarf pygmy goby (Pandaka pygmaea) yang hanya berukuran 1.1cm (saiz standard) dan betina dewasa mampu membesar sehingga 1.5 cm sahaja.
Ads
➡ Trivia 3
Spesies ikan terbanyak merupakan ikan air tawar sedangkan bumi hanya dilitupi oleh 0.01% air tawar. Dan ikan air tawar juga yang mudah terancam oleh kepupusan berbanding ikan air masin.
➡ Trivia 4
Ikan puyu atau climbing perch, merupakan spesies yang sangat kuat dan mampu bertahan tanpa air dalam jangka masa yang lama. Malah spesies ini mampu bergerak di daratan menggunakan sirip pektoralnya yang kuat.
Ads
➡ Trivia 5
Terdapat lebih banyak spesies ikan berbanding kombinasi jumlah spesies amfibia, reptilian, burung dan mamalia. Itulah kehebatan ikan dalam alam haiwan.
➡ Trivia 6
Ikan seperti jerung tidak memiliki komponen pelampung atau pundi renang (swin baldder) dalam badannya bagi memberikan kebolehan terapung dalam air.
Jadi mereka perlu berenang berterusan ataupun berhenti di dasar air.
Ads
➡ Trivia 7
Sesetengah ikan menggunakan gigi untuk mengeluarkan bunyi sementara sesetengah lagi ikan tidak bergigi menghasilkan bunyi menggunakan udara dalam komponen pelampung dalam badannya.
➡ Trivia 8
Menurut kajian saintifik, ikan telah wujud di bumi sejak lebih 450 juta tahun dahulu. Namun belum ditemui siapakah yang menemui spesies ikan pertama yang ditemui di dunia.
➡ Trivia 9
Garisan lateral pada badan ikan bertindak seperti radar dan membantu ikan mengesan laluan walaupun dalam keadaan air keruh. Selain itu ia turut mengesan getaran sekaligus menjadi radar untuk mengesan makanan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Terdapat pelbagai jenis penyelamat gewang atau lure retriever di pasaran. Boleh dikatakan setiap penyelamat gewang memiliki kelebihan dan kekurangan tersendiri.
Ada penyelamat gewang yang hanya sesuai untuk digunakan jika berada di atas bot memancing dan ada juga penyelamat gewang yang boleh digunakan untuk pancingan tebing atau landbase casting.
Ada juga penyelamat gewang untuk kegunaan kedua-dua situasi.
Begitu dengan kaedah penyelamat gewang itu memainkan peranannya. Ada penyelamat gewang yang berfungsi dengan cara menghentak gewang yang tersangkut dan ada juga
yang bertindak menarik gewang tersebut sama ada menerusi kili atau swivel, mata kail dan badan gewang itu sendiri. Setiap kaedah ini juga ada kelebihan dan kelemahan tersendiri.
Dalam perkongsian ini kami akan perlihatkan cara penggunaan dan pilihan yang ada untuk membebaskan bahagian yang tersangkut.
Penyelamat gewang yang kami pilih ini sesuai untuk kegunaan bagi casting di daratan dan juga di atas bot.
Langkah 1
Masukkan tali pancing ke dalam lingkaran gelung pada bahagian atas penyelamat gewang terlebih dahulu.
Langkah 2
Buka klip dawai, masukkan tali pancing dan kemudian tutup kembali klip dawai tersebut.
Langkah 3
Penyelamat gewang sedia untuk dilepaskan. Pastikan tali pancing dalam keadaan tegang ketika melurutkan penyelamat gewang ini ke dalam air.
Sekiranya memancing dari tebing, sebaiknya tinggikan hujung joran setinggi yang mampu.
Langkah 4
Apabila hujung dawai menyentuh gewang, usahakan agar ia dapat mencangkuk kili gewang.
Cara menarik pada kili ini adalah alternatif awal sekiranya dawai pencangkuk tidak dapat masuk ke badan gewang.
Jadi, pastikan kili atau swivel dan split ring yang digunakan berkuatan lebih tinggi daripada kekuatan mata kail.
Jika mata kail lebih kuat, berkemungkinan kili atau spling ring yang tewas sekaligus menyebabkan gewang pun lebur.
Langkah 5
Sekiranya gewang tersangkut menerusi mata kail belakang, maka dawai pencangkuk boleh dihenjut memasuki badan gewang sehingga mencangkuk mata kail atau split ring.
Cara menarik bahagian ini lebih berkesan dan paling kurang risiko kehilangan gewang.
Sekiranya korang belum pernah mengikuti mana-mana trip mencandat sotong terutamanya di perairan Terengganu, maka korang perlu baca dan faham perkongsian yang kami sediakan ini.
Musim sotong
Pertama sekali dapatkan info ketibaan musim sotong. Walaupun secara amnya musim sotong bermula dari bulan April hingga September setiap tahun, namun sotong juga ada masalah untuk mengekalkan musimnya.
Rehat cukup
Pastikan tidur dan rehat yang cukup jika anda mengikuti trip perjalanan yang jauh. Terutamanya jika anda mudah mabuk laut. Tambah pula perairan Terengganu yang lazimnya menjadi port mencandat sotong juga popular dengan alun ombaknya.
Tekong candat
Sebaiknya carilah tekong yang memiliki reputasi yang baik walaupun tidak memiliki kemudahan bot yang baik. Tidak semestinya bot yang lengkap dengan gps dan sonar bagi mengesan lubuk sotong berakhir dengan keputusan trip yang cemerlang.
Peralatan candat
Gunakan peralatan yang sesuai untuk mencandat. Jika menggunakan joran dan kekili, sebaiknya guna set sederhana dan jika menggunakan koyan, sebaiknya tali koyan berdiameter tebal agar tidak bersimpul dan memedihkan tangan.
Teknik candat
Cara mencandat sotong adalah mengunjun candat sehingga ke dasar laut. Batu ladung atau candat twist yang digunakan sebagai pemberat dibiarkan di dasar, hanya tali pancing dihenjutkan dengan cara mengendur dan menegangkannya.
Apabila terasa sesuatu yang berat, tarik atau gulung tali secara sederhana.
Lebihkan usaha
Jika menggunakan candat mayat atau candat apollo, sebaiknya cubalah candat pelbagai warna dan perhatikan candat yang mana lebih disukai oleh sotong.
Jika candat mayat atau candat udang kurang disukai oleh sotong, cuba pula candat umpan yang menggunakan umpan ikan.
Teknik karauan
Apabila candat mengena sotong, jangan karau atau gulung tali dengan laju dan kasar. Jangan juga terlalu perlahan hingga sotong mampu meloloskan diri.
Tarik secara bertenang dan apabila sotong muncul di permukaan air, biarkan ia memuntahkan dakwatnya sebelum mendaratkannya ke dalam bot.
Tong simpanan
Biarkan sotong yang berjaya dinaikkan mati sebelum memasukkannya ke dalam tong ais. Sekiranya ada tangkapan selain sotong, sebaiknya asingkan sotong dan ikan kerana kualiti dan rasa ikan akan terjejas.
Pada hujung minggu lalu, diberitakan dua penganjur pertandingan memancing terpaksa berhadapan dengan kemarahan peserta atau mungkin diambil tindakan berikutan kegagalan mereka menyediakan wang hadiah secukupnya kepada para pemenang.
Ia berpunca gara-gara pihak penganjur mengamalkan konsep kutipan yuran penyertaan sebagai hadiah kemenangan.
Apabila penyertaan berkurang maka wang hadiah pun tidak cukup untuk dibayar kepada para pemenang sebagaimana yang dijanjikan.
Fenomena pertandingan memancing di Malaysia sudah lama dan ia mulai berkembang sejak awal tahun 2000 lagi.
Di dada akhbar, banner, bunting digantung di tepi jalan hingga ke media sosial facebook dan blog, pasti terlihat iklan pertandingan memancing yang menawarkan pelbagai hadiah untuk pemenang.
Persepsi masyarakat pula bercampur baur mengenai pertandingan memancing. Bagi yang tidak meminatinya, mereka akan beranggapan ia suatu pelaburan yang belum tentu dapat membuahkan hasil.
Sudahlah begitu, modal sebelum menyertai pertandingan pun besar. Mana duit untuk beli peralatan memancing, umpan, yuran penyertaan, makan minum, tol dan minyak petrol kereta dan sebagainya.
Itu belum lagi beli rokok berbungkus-bungkus bagi kaki pancing yang merokok. Adalah lebih baik, duit tersebut digunakan untuk keperluan keluarga.
Namun, bagi ramai kaki pancing tegar lain pula ceritanya. Bagi mereka, mana tahu rezeki akan berpihak kepada mereka.
Kalau menang tempat pertama dah menang puluhan ribu ringgit. Dah tak perlu bersusah payah menabung.
Tambahan pula untuk pertandingan memancing sirkit, berpeluang menang hadiah utama sebuah kereta…uishh bukan kepalang lumayannya.
Melihat kepada situasi tersebut dapat kita lihat percanggahan pendapat mengenai perkara ini.
Adakah benar tohmahan sesetengah pihak mengenai pertandingan memancing ini sekadar membuang masa, wang dan tenaga atau adakah ia mampu memberi impak yang positif bukan sahaja kepada individu malahan kepada negara?
Impak positif
➡ silaturahim
Seperti yang diperkatakan awal tadi, terdapat beberapa elemen positif yang dapat dilahirkan melalui aktiviti pertandingan memancing ini:
Pertamanya mengenai silaturahim yang dapat dibina melalui program sebegini.
Jika dapat kita lihat senario ini, tidak kira di mana sahaja pertandingan memancing dianjurkan pasti akan mendapat sambutan menggalakkan dari kaki pancing yang datangnya dari seluruh pelosok negara.
Jadi medium seperti inilah yang akan membantu para pemancing untuk mendapat lebih ramai rakan pancing yang datangnya dari daerah dan negeri yang berbeza.
Para pemancing pula dapat berkongsi idea dan teknik terbaru bila mereka dapat berkumpul seperti ini.
➡ sumber pendapatan
Pertandingan memancing sebagai satu sumber pendapatan? Mungkin kedengaran agak janggal mengenai perkara ini, namun kita harus memandangnya melalui aspek yang lebih meluas.
Sumber pendapatan di sini bukanlah hanya terhad kepada pemenang sahaja, bahkan ia meliputi keseluruhan industri ini.
Bagi pemancing yang berjaya menjadi juara di dalam sesebuah pertandingan memancing memanglah dianggap sebagai bonus untuk diri sendiri dan keluarga.
Justeru itu, ini sedikit sebanyak dapat membantu pendapatan mereka.
Melalui pertandingan memancing ini jugalah dapat membantu peniaga-peniaga kecil yang ada di Malaysia.
Apa tidaknya, bukan mudah untuk mereka mendapat peluang berniaga di dalam suasana meriah yang dapat mengumpulkan beribu-ribu orang di dalam satu masa.
Jadi aspek sebeginilah yang dapat diperkatakan bahawa pertandingan memancing boleh menjadi salah satu sumber pendapatan.
➡ angling tourism
Pertandingan memancing juga boleh menyumbang sesuatu kepada industri pelancongan Malaysia.
Melalui pakej-pakej memancing tertentu yang lengkap dengan khidmat bot, guide, penginapan, makan minum misalnya, sesebuah spot memancing itu akan menjadi lebih terkenal di mata kaki-kaki pancing.
Tourism Malaysia kini dilihat aktif memajukan potensi angling tourism dengan meminta setiap negeri menonjolkan lokasi-lokasi memancing setiap menerusi pakej-pakej tertentu.
Beberapa spot memancing negara kini telah pun menarik kunjungan kaki-kaki pancing dalam dan luar negara datang untuk turut merasai pengalaman memancing selain penganjuran pertandingan memancing antarabangsa di beberapa lokasi.
Isu negatif
Sebagaimana yang kita tahu, pertandingan memancing juga tidak terlepas daripada dicemari dengan isu-isu atau insiden yang sedikit sebanyak dapat merencatkan industri ini.
➡ Halal ke haram?
Kini timbul perdebatan mengenai isu halal atau haram sesebuah pertandingan memancing itu. Ia telah pun menimbulkan kesan dan persoalan kepada ramai kaki-kaki pancing.
Terdapat beberapa ahli Ulama yang berasa terpanggil untuk memberi komen mengenai perkara ini.
Berikut jawapan daripada Halaqah.net yang dapat menjelaskan mengenai isu halal dan haram pertandingan memancing.
“Dalam hukum mengadakan pertandingan memancing dan menyertainya serta menerima hadiah daripada penganjur, ada beberapa persoalan yang harus diberi perhatian oleh penganjur dan peserta.
Di antara perkara yang harus diberi perhatian ialah hadiah kepada pemenang diambil daripada sumber yang mana?
Adakah ia diambil daripada wang penyertaan atau hadiah itu sumbangan daripada individu atau agensi?
Sekiranya hadiah itu diberi hasil wang kutipan penyertaan maka hukumnya HARAM. Maka sumber haram ini tidak boleh dimanfaatkan untuk makan minum atau pakaian.
Dua, keadaan haram yang wujud dalam pertandingan memancing ini.
Pertamanya kerana menyertai pertaruhan dan yang keduanya menerima hadiah dari pertaruhan tersebut.
Contohnya, setiap peserta dikenakan yuran RM100, kemudian daripada yuran yang terkumpul itu diberikan hadiah kepada peserta yang berjaya menangkap ikan yang paling
berat atau yang paling banyak (ikut peraturan pertandingan yang ditetapkan) menang, maka cara tersebut adalah haram kerana ia termasuk dalam pengertian pertaruhan (al-qimar) yang diharamkan.
Jika hadiah kepada pemenang ditaja oleh pihak luar tanpa membabitkan wang peserta, maka ia diharuskan kerana ia termasuk dalam hibah (hadiah) daripada penganjur atau agensi yang menaja.”
PERSAINGAN PENGANJUR
Selain daripada isu halal dan haram, pertandingan memancing juga tidak terlepas daripada dicemari insiden persaingan yang kurang sihat di kalangan penganjur.
Ada penganjur yang berlumba-lumba untuk menganjurkan pertandingan yang menawarkan hadiah lumayan sehingga sanggup menutup peluang penganjur-penganjur kecil yang lain.
Adalah lebih baik sekiranya penganjur di Malaysia duduk dan berbincang di antara satu sama lain bagi mengelakkan persaingan yang kurang sihat ini.
Selain itu, berilah juga peluang kepada penganjur-penganjur baru untuk bersama-sama memeriahkan industri ini selain tidak mengadakan tarikh yang sama dengan penganjur lain.
Jika kesefahaman antara para penganjur dapat dicapai, nescaya pertandingan memancing Malaysia akan dapat dikembangkan ke peringkat yang lebih tinggi.
HARAPAN
Oleh kerana trend pertandingan memancing ini berkembang pesat, diharapkan ada sebuah badan atau persatuan yang boleh memantau pertandingan memancing di Malaysia.
Ini bagi mengelakkan berlakunya lagi kes-kes yang tidak diingini sekali gus boleh menjatuhkan industri ini.
Persatuan ini juga harus ditubuhkan kerana ia boleh menjadi nadi penggerak untuk pertandingan memancing di Malaysia dan juga menjadi tempat rujukan kepada penganjur untuk menganjurkan pertandingan yang lebih berprestij di masa akan datang.
Melalui persatuan atau badan yang ditubuhkan nanti, penganjur-penganjur pertandingan memancing di Malaysia boleh duduk berbincang untuk menangani masalah pertandingan memancing dan bersatu untuk memajukan industri memancing yang ada di Malaysia.
KESIMPULAN
Pertandingan memancing tidak sepatutnya dilihat hanya sebagai satu aktiviti riadah kepada kaki pancing. Ia boleh dianggap sebagai satu industri yang lahir dari hobi memancing.
Di sini membolehkan cabang perniagaan dapat dijana, membantu sektor pelancongan, membangunkan menaikkan nama sesebuah lokasi atau tempat sebagai destinasi memancing dan sebagainya.
Justeru itu, diharapkan ada lebih banyak agensi-agensi kerajaan mahupun swasta yang menyokong dan memberi suntikan dana kepada pertandingan memancing yang ada di Malaysia ini sekali gus hobi sukan dan pertandingan memancing diangkat lebih tinggi.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...