Trivia Mantap Spesies Dorado Laut

Share

 

Di peringkat global ikan ini lebih dikenali sebagai dorado, mahi-mahi di Hawaii dan dolphin di Florida. Di Indonesia dikenali sebagai ikan lemadang. Sementara panggilan tempatan pula pelbagai dari golok awak, parang, lumba atau golok. Namun ia lebih sempurna dengan nama ikan belitong.

 

Belitong memiliki badan leper memanjang, lebar dicbahagian kepala dan menirus hingga ke ekor. Sirip dorsal memanjang hampir ke sirip kaudal. Manakala sirip pelvik bersambung dengan sirip anal. Ekor tirus memanjang dan bercabang.

 

 

Spesies jantan dan betina berlainan serta kombinasi warna badan mengikut usia spesies ini. Spesies jantan lebih mudah dikenali dengan kehadiran bonggol di kepalanya. Ia menjadikan ikan pelagik seperti kembong, tamban, selar, bilis sebagai diet dan sotong atau udang.

 

Lazimnya ia boleh ditemui di laut lepas, kawasan pesisir pantai yang jernih terutama berdekatan dengan unjam. Taburannya boleh ditemui hampir kebanyakan negara terutama kawasan tropika.

 

Belitong jantan mempunyai kepala yang agak membonjol sedikit jika dibandingkan dengan spesies betina. Sirip Dorsal belitong jantan agak rapat di bahagian kepala spesies betina.

 

 

Spesies ini adalah salah satu spesies yang mempunyai kombinasi warna badan yang cantik terutama apabila dilihat di bawah air. Warnanya akan pudar dengan cepat apabila berada di lantai bot.

 

Warna biru metalik untuk tompokan bintiknya dengan warna hijau menawan di badan menukar kekuningan dari tengah badan sehingga bahagian perut. Warna sirip dorsal pula gelap seperti kehitaman.

 

 

Semakin besar spesies semakin cantik kombinasi warna. Sekalipun badan kelihatan leper, belitong berkeupayaan membuka luas mulutnya kira-kira 3/4 dari lebar bahagian kepala. Barisan gigi tajam dan halus mampu mencengkam mangsa dengan mudah dan tidak boleh terlepas lagi.

 

Ia dilaporkan mampu membesar panjang sehingga 126cm bagi spesimen jantan dan 112cm untuk betina dengan linkungan berat sehingga 40kg.

 

Di negara kita saiz purata belitong yang dipancing sekitar 50cm hingga 100cm dengan purata berat diantara 2kg hingga 15 kg.

 

 

Sesuai dengan sifat yang suka memburu kawanan ikan-ikan pelagik, ia mudah ditemui dikawasan unjam di mana ada kawanan anak ikan bermain. Jika kawasan perairan negara dipenuhi dengan unjam buatan, nescaya jumlah spesies yang cantik ini akan bertambah.

 

Ikan ini aktif pada waktu dinihari dan jarang dipancing pada masa gelap. Di pantai Timur terutama gugusan pulau-pulau Terengganu, Pahang dan Johor, musim yang paling banyak belitong ditemui ialah di antara Mac hingga Julai.

 

 

Paling baik sebaik saja musim tengkujuh berakhir di mana kawanan ikan ini akan lebih rapat ke pantai.

 

Belitong mempunyai isi yang agak liat berbanding pemburu ikan pelagik yang lain. Rasanya agak tawar sedikit. Oleh kerana lapisan kulit luar yang tebal dan liat, kebanyakan pengemar belitong mengambil isinya sebagai hidangan.

 

 

Di Hawaii spesies ini menjadi pilihan pengusaha hotel sebagai hidangan istimewa. Ia dimasak secara grill atau goreng dengan mentega, lada hitam dan sedikit garam. Masyarakat Cina suka stim dan goreng isi yang dipotong nipis-nipis dan dicelup dengan telur.

 

Published by
Amang