Ahli trip:
Syamil
Bob
Chor
Masai
Fuzzly
Amang
Edmund
Sheldon
Bot:
Mat Rompin Charter
Tekong:
Mat Rompin
Deckhand:
Nik, Din, Hakim
Perancangan asal memburu ebek gincu pada tanggal 17 & 18 Januari terpaksa ditunda berikutan tiupan angin monsun timur laut masih menggila. Trip ini bukan saja terpaksa ditunda tarikh, players, lokasi malah spesies sasaran juga.
Sebagai ganti, hari kejadian dianjak 24 & 25 Januari, spesies sasaran bertukar ke tenggiri, perairan Pulau Tioman menggantikan perairan Rompin dan beberapa players turut sama bertukar ganti.
Lebih dua jam perjalanan dari Jeti Tok Empat Kuala Rompin, kami tiba di lokasi memancing pertama. Bot berhanyut di sisi unjam terlebih dahulu untuk menguji potensi lubuk. Fuzzly menjadi pembuka tirai dengan mendaratkan seekor cobia.
Di lokasi kedua bot segera ditambat pada tali unjam apabila menemui spesies sasaran. Fuzzly sekali menjadi player pertama selamat mendaratkan tenggiri. Kemudian 3-4 ekor tenggiri lagi turut selamat didaratkan. Sementara beberapa player lagi berputih mata gara-gara leader dipotong tenggiri.
Menjelang awal petang, hampir semua player memperoleh lesen tenggiri. Namun banyak juga unjam yang kosong tanpa spesies predator ini. Tiupan angin dan arus laut pula semakin deras menyulitkan lagi usaha menggayakan jig dengan sempurna. Dari jig 60gm terpaksa dinaikkan ke 80gm hingga 100gm.
Tenaga yang semakin berkurang ditambah pula jig semakin berat secara tidak langsung memperlahan rentak mengocok jig. Disebalik kelesuan mengarau jig ini tanpa disangka menjadi rentak yang disukai oleh spesies sepupu sepapat tenggiri… wahoo! Jig Syamil yang hampir ke permukaan air tanpa disangka disambar oleh ikan wahoo.
Menurut Tekong Mat, corak menyambar umpan ikan wahoo berbeza dengan tenggiri. Untuk memikat wahoo, jig perlu dikarau perlahan apabila memasuki kolum air 2-3 meter dari permukaan. Secara tidak langsung gaya persembahan jig kami segera berubah. Dikarau laju dari dasar untuk memikat tenggiri dan berubah perlahan apabila menghampiri permukaan air bagi memikat wahoo pula.
Teknik ini ternyata membuahkan hasil apabila Bob malah Mat sendiri turut sama menewaskan wahoo tidak lama selepas itu. Bahkan Mat boleh melihat secara jelas bagaimana wahoo mengambil jig yang hampir tiba di permukaan air kurang dari 2 meter.
Dengan belasan ekor tenggiri yang berjaya ditewaskan, 3 ekor wahoo dan beberapa ekor spesies lain, kami menamatkan sesi hari pertama dan menuju ke Pulau Tioman untuk bermalam dan berehat sekitar 15 batu nautika dari lubuk terakhir.
Keesokan harinya kami kembali memburu tenggiri dan wahoo sebagai bonus tangkapan. Hanya seekor wahoo berjaya ditewaskan oleh Edmund dan beberapa ekor tenggiri. Sebelum kembali ke jeti Kuala Rompin, kami memenuhkan tong ikan dengan hasil ikan apollo serta kerisi.