Setiap kali turun memancing laut dalam menggunakan bot memancing di Laut China Selatan, terutamanya di perairan Rompin, saya tidak akan melepaskan peluang untuk memancing atau lebih tepat lagi diistilah sebagai mencandat sotong mengabang.
Kawasan unjam bahkan juga bekas tapak unjam lazimnya akan menjadi kediaman atau ‘kandang’ sotong mengabang serta sotong lainnya dalam jumlah besar berikutan ia turut menjadi kediaman ikan-ikan kecil yang merupakan sumber makanannya.
Namun di Selat Melaka, terutamanya perairan Pelabuhan Klang, saya tidak berpeluang untuk mengamalkan salah satu teknik memancing yang menjadi kegemaran saya ini. Selain ketiadaan unjam, sotong mengabang dikatakan sukar untuk ditemui, mencandat sotong itu sendiri umpama sesuatu yang ganjil jika dilakukan di Selat Melaka.
Sehinggalah apabila mendapat perkhabaran dari tekong-tekong bot memancing kurangnya hasil jigging berikutan kehadiran sotong jarum yang agak banyak. Secara tidak langsung ia merangsang saya untuk lakukan sesuatu dari situasi tersebut.
Justeru apabila ada trip jigging bersama rakan dalam tempoh tersebut, saya tidak tertangguh lagi mencubanya walaupun pada awalnya ia menjadi bahan gelak rakan-rakan.
Untuk mencandat di Selat Melaka, saya ubah sedikit tekniknya. Saya tidak mencandat sotong secara langsung dengan kaedah lazim candat dan pemberat. Sebaliknya saya gantikan pemberat dengan jig lengkap mata kail. Dalam erti kata lain ia lebih kepada konsep 2 dalam 1.
Candat udang untuk memancing sotong dan jig untuk memancing ikan. Konsep ini sebenarnya agak besar belanjanya kerana apabila ia tersangkut pada karang atau sesuatu di dasar laut sehingga mengakibatkan tali utama putus, maka bertambahlah kos kerugiannya.
Setelah dua kali tersangkut dan putus, saya hampir-hampir berputus asa sehinggalah apa yang saya dambakan menjadi kenyataan. Setelah menemui kandangnya, seekor demi seekor sotong jarum saiz yang agak kasar berjaya saya naikkan.
Selain sotong jarum, sotong kurita dan sotong mengabang yang dikatakan agak sukar diperolehi turut sama didaratkan.
Setelah percubaan pertama berjaya, saya luaskan teknik ini ke mana saja saya turun memancing di Selat Melaka. Untuk menggayakan teknik 2 dalam 1 ini lebih kurang sama sahaja dengan teknik jigging perlahan.
Namun untuk mengesan sama ada sotong sudah mengena agak sukar sedikit apatah lagi dalam keadaan berarus dan jig melebihi 200 gram digunakan. Yang pasti teknik 2 dalam 1 ini sudah terbukti bukan sekadar berkesan untuk mencandat sotong malah sudah berjaya mendaratkan spesies ikan juga.