Trip Trobek – Trip Santai-Santai Sungai Keniam!!

Share

 

Di Sungai Keniam terdapat beberapa tapak perkhemahan yang di sediakan untuk pengunjung antaranya ialah di lubuk Rinching, lubuk Rawa dan Lata Said. Kami telah memutuskan untuk menginap di Lata Said memandangkan kawasan ini ialah lubuk paling berpotensi mendapat ikan sasaran.

 

Perjalanan untuk ke sana memakan masa selama 3 jam perjalanan menaiki bot dari jeti Kuala Tahan. Selepas 1 jam perjalanan, kami sempat singgah di Kampung Pagi untuk membeli sebarang keperluan tambahan.

 

Tiba sahaja di sungai Keniam, perjalanan kami menjadi lebih mencabar. Kekipas atau propeller enjin bot terpaksa ditukar kepada saiz lebih kecil kerana setiap bot akan melalui ruang sempit yang penuh dengan batu-batuan yang banyak terdapat di sepanjang sungai. Sekali-sekala kami terpaksa mengerah tulang empat kerat kami membantu boatman menolak bot apabila berada di kawasan cetek yang tidak mampu dilalui oleh bot.

 

Selepas melepasi beberapa cabaran, akhirnya kami tiba di Lata Said. Dengan segera kami mengangkat segala kelengkapan kami di tapak perkhemahan. Selepas menyediakan khemah, kami sudah tidak sabar-sabar lagi untuk memancing.

 

Yuhilmi yang mencuri-curi memancing ketika kami sibuk menyediakan khemah terus mendapat sambaran sebarau yang layak digelar sang badong. Sang badong yang mempunyai berat hampir 3kg ini telah menyambar sesudu Abu Island II miliknya dan lokasinya tangkapan hanya di depan tapak perkhemahan kami.

 

Ia pasti mengujakan kami untuk memancing. Baru depan tapak perkhemahan kami sudah boleh mendapat sang badong, ini belum lagi kami singgah ke lubuk-lubuk lain yang berpotensi.

 

Hari pertama kami di Keniam, banyak kami habiskan masa memancing di lubuk-lubuk berhampiran dengan tapak perkhemahan. Beberapa ekor tengas bersaiz juvenil berjaya kami perolehi. Apabila malam menjelma, kami berpesta pula dengan ikan baung yang rakus menyambar umpan cengkerik yang kami bawa.

 

Kebanyakan baung akar yang kami perolehi sebesar saiz 3-4 jari orang dewasa sahaja. Sudah pasti hasil tangkapan kami pada hari pertama ini dijadikan hidangan makan malam kami.

 

Pada hari kedua, awal-awal pagi lagi boatman menyarankan kami supaya berpecah kepada 2 kumpulan. Kumpulan pertama akan berjalan kaki meredah hutan rimba untuk naik lebih jauh ke atas untuk memancing ikan. Kumpulan kedua akan menaiki bot menuju lubuk-lubuk di bawah seperti lubuk Rawa atau lubuk Rinching.

 

Sambil menuju ke lubuk tersebut, kami boleh mengilat sepanjang perjalanan di atas bot. Saya sendiri bercadang untuk mengikuti kumpulan trekking. Perjalanan ke lubuk yang dicadangkan oleh boatman mengambil masa 1 jam.

 

Sepanjang perjalanan, kumpulan kami terpaksa menongkah arus sebanyak tiga kali untuk ke seberang sungai. Menurut boatman, lubuk ini merupakan syurga buat ikan kelah dan tengas jika kena dengan masanya.

 

Dengan segera kami terus melabuhkan umpan sawit yang dibawa dengan harapan mendapat lesen ikan idaman. Tanpa menunggu lama rod milik Cho’ort terus melengkung tanda telah disambar oleh ikan. Ikan kelah bersaiz 1kg berjaya dinaikkan.

 

Sekali-sekala kelihatan hamburan air berdekatan lokasi kami memancing tanda sang sebarau sedang galak menyambar anak-anak ikan. Lantas rod casting dicapai dan lontaran spoon dibuat ke arah kawasan hamburan tadi. Serta-merta sesudu disambar oleh sang sebarau seberat 750gram.

 

Selepas beberapa jam bertandang di sini, kami mula bercadang untuk pulang ke kawasan perkhemahan. Sempat juga boatman yang menjadi guide kami mencari cacing sungai sebagai persediaan untuk memancing malam dan hari seterusnya.

 

Apabila malam menjelma, kami hanya bersantai-santai di kawasan perkhemahan kami sambil memancing. Perbincangan tentang rancangan esok lebih diberi tumpuan. Selain itu bagi yang berhati waja, mereka meneruskan memancing di lokasi yang berhampiran hingga lewat malam.

 

Hujan pada lewat malam membuatkan kami liat untuk bangun awal. Tetapi semangat hendak memancing masih membara di dalam diri kami. Turunnya hujan, membuatkan air yang jernih di sungai Keniam menjadi keruh. Hari ini saya bercadang untuk bertandang ke lubuk Rawa.

 

Seperti semalam, umpan dasar yang kami gunakan ialah umpan biji sawit. Selain itu buah ara masak yang banyak terdapat di sana juga digunakan sebagai umpan. Air sungai yang keruh dan berarus laju membuatkan ikan menjadi sukar dipancing. Hanya lampan, anak tenggalan, baung dan beberapa ikan kecil yang berjaya kami perolehi. Hingga ke lewat petang kami memancing tanpa sebarang hasil yang boleh dibanggakan.

 

Alhamdulilah, hasil yang diperolehi mereka amat membanggakan jika dibandingkan dengan hasil tangkapan kami di lubuk Rawa. Ikan kelah dan tengas banyak diperolehi mereka. Selain itu, baung akar juga banyak diperolehi menggunakan umpan cengkerik dan cacing sungai.

 

Ikan yang diperolehi segera diuruskan oleh tukang masak kami. Memang menggiurkan bila mana tukang masak memberitahu akan masak menu masakan gulai tempoyak. Memang tidak mampu kami tolak jika menu masakan terkenal negeri pahang terutamanya apabila masakan ini melibatkan ikan kelah.

 

Ikan selebihnya akan kami bakar sebagai hidangan sampingan. Pucuk paku liar dan pucuk hutan menjadi hidangan sayur dan ulam-ulaman. Selain itu siput sungai yang dikutip oleh boatman menjadi salah satu hidangan istimewa kami. Beginilah keistimewaan apabila berkhemah di dalam hutan, setiap hidangan masakan seboleh-bolehnya diambil daripada sumber alam semula jadi.

 

Selesai makan, kami meneruskan usaha memancing pada malam terakhir ini. Terasa amat rindu dengan suasana damai dan hening apabila berada di dalam hutan. Udara segar dan pemandangan indah amat berbeza dengan hiruk pikuk di bandar. Sekurang-kurangnya trip singkat ini telah banyak menghilangkan stress.

Published by
Amang