Bandar Mersing tidak banyak berubah dari pengamatan saya, begitu juga dengan jambatan yang merentasi sungai Mersing seperti sebelumnya. Rendah dan tidak dapat dilalui ketika air pasang. Sebab itu hampir semua bot pancing yang dasar di Mersing rendah, lampu dan antena boleh diturunkan ketika melalui bawah jambatan.
Kawasan kuala sungai masih tidak banyak berubah dan masalah pasang surut air selama ini terus membelenggu pengunjung yang mundar mandir dari Mersing ke pulau-pulau peranginan berdekatan. Bila air setengah pasang barulah bot kami menyusuri bawah jambatan rendah bergerak dengan perlahan keluar dari kawasan muara yang sempit.
Bot yang bergegar deruman enjin tiada masalah pemancing yang dah biasa untuk melelapkan mata terlena. Yang pasti bila enjin senyap apabila tiba ke destinasi yang dituju. Rutin biasa memancing di laut, tempat pertama dituju ialah kawasan mendapatkan bekalan umpan segar.
Umpan belum mencukupi terpandang pula ikan belitong pula datang meronda di unjam yang sama. Saya pasangkan umpan selayang hidup pada set pancing baru milik Zemie. Ujian pertama untuk joran dan kekili yang pertama kali turun ke air.
“Boleh tahan ke joran halus ini?”
“Tunggulah sekejap lagi, tengok siapa yang kena.”
Trip ini saya lebih banyak beradu dalam kabin kerana masalah kesihatan semakin meruncing. Bau yang hadir dari tandas berdekatan kurang menyenangkan. Banyak bertindak sebagai pemerhati dan memberi sedikit tunjuk ajar kepada pemancing yang sedang tekun memancing.
Lokasi kedua menurut tekong ialah lubang dan kesan tinggalan kapal atau bot karam. Tumpuan beralih kepada memancing dasar pula berumpankan sotong jarum hidup. Kebetulan malam itu sotong jarum begitu ramah dan tidak takut mendekati tepian bot. Mudah kerja kami menangguk sotong.
Umpan segar dan pilihan terbaik untuk mengendap ikan dasar. Jenahak pertama hadir hampir sepertiga malam apabila suasana semakin sunyi. Diikuti jenahak kedua ditewaskan oleh Tuan Yaakob yang juga menggunakan umpan sotong hidup. Agak lama juga menanti munculnya jenahak ketiga sebelum dua ekor pari turut berminat dengan sotong.
Hadirnya pari menandakan bot mungkin sudah tersasar dari kawasan tompokan bot karam dan lebih memburukkan keadaan kes putus dan rabut terjadi lebih dari 4 kali pada malam itu. Tekong memberitahu perlu menunggu air bertukar arus sebelum berpindah ke tempat lain atau labuh semula.
Tapi yang pasti sehingga siang kami berlabuh di satu tempat sahaja. Lebih malang apabila terdengar ucapan dari rakan lain…
“Ops… patah!”.
Dari kabin bot saya hanya perhatikan sahaja joran kesayangan sudah patah dua kerana tersangkut meleret hingga di bawah bot. Memburukkan keadaan tali tidak mahu keluar ketika joran mula mencecah air sehinggalah bunyi ‘prakkk’. Hilang semangat untuk memancing seketika.
Macam biasa waktu tengah hari naik ke pulau untuk menyejukkan badan. Lupa sebentar kes joran yang dah pakai bertahun lebur dalam beberapa saat. Segarkan sedikit badan yang dah semalaman tidak kena air tawar sambil menikmati air kelapa di warung Pok Ya, bekas salah seorang tekong kegemaran saya suatu ketika dahulu.
Sambil berborak ringkas, kami bergegas kembali ke jeti untuk menyambung sesi memancing pada lewat petang. Misi mencari tenggiri pula sementara hari masih siang. Nampaknya badai semalam yang tak tiba kini menjelma. Tidak banyak aktiviti memancing pada malam hari kerana angin menderu. Mungkin ada kesanggupan memancing jika ikan galak. Lena lagi tidur di malam keduanya.
Esoknya, hari terakhir ada sedikit keceriaan apabila dalam leka memancing Zemie terpandang beberapa ekor tenggiri bermain di permukaan air. Kali pertama belajar jig dengan membeli beberapa ketul jig seperti yang disyorkan sebelum trip dapat dipraktikkan. Tiga kali dia melontar jig baru mendapat strike. Kepuasan dan kegembiraan tidak dapat digambarkan apabila pertama kali menaikkan tenggiri menggunakan jig.
Semangat semakin membara setelah seekor tenggiri tumpas. Tumpasnya tenggiri kini giliran pemancing pula tumpas apabila hampir semua jig yang dihulurkan diligan oleh tenggiri. Giliran gewang pintail 45g pula mengambil tempat setelah jig pilihan tenggiri habis dipotong. Tenggiri kedua menyusul sebelum suasana ceria tidak berpanjangan. Waktu sudah menghampiri penghujung untuk beredar menuju ke Mersing.