Saban tahun saya mengikuti trip Geng Bregol kerana kumpulan ini lebih gemar bersantai dan hanya menjadikan aktiviti memancing hanya perkara sampingan. Saudara Bregol yang cukup aktif di usia muda meneroka seluruh pelosok gunung-ganang di Malaysia dan kini masih aktif berbasikal dan menjadikan trip ‘berkemping’ sebagai percutian.
Setelah sekian lama berehat, Bregol menghubungi saya untuk mengatur trip ke Endau Rompin tatkala cuti panjang yang berturut pada hari pekerja. Urusan permit masuk ke Taman negeri telah diuruskan saya sendiri 2 minggu sebelum trip berlangsung.
Cuaca yang sering hujan pada sebelah petang seminggu sebelum trip menggusarkan perasaan saya, namun itulah cabaran yang sering kami hadapi apabila kita bermain dengan alam semula jadi. Dalam hati berkata juga kalau air keruh maka baung sasaran utama dan spesies kelah serta sebarau ditolak ke tepi.
Sesi mencari sawit ranum 3 hari sebelum trip dan membiarkan ia lebih ‘masak’ di dalam plastik sebagai persediaan sesi memburu kelah, tengas atau spesies yang memakan umpan ini. Saya yang lebih gemar memburu spesies sebarau hanya membawa set casting dengan peluru-peluru sesudu dan gewang yang sesuai dengan lokasi sungai yang berjeram.
Apabila hari yang ditunggu telah tiba Geng Bregol memulakan perjalanan dari Ampang terus ke Kuala Pilah dan terus ke Kuala Rompin yang mengambil masa 6 jam perjalanan. Disebabkan ini kali pertama kunjungan ke Taman Negeri Endau Rompin, maka perjalanan agak perlahan kerana perjalanan waktu malam memendekkan jarak penglihatan apatah lagi melalui banyak laluan berliku.
Usai menunaikan kewajipan di Pekan Rompin, kami singgah ke pasar membeli sedikit lagi bahan makanan basah. Tema kumpulan ini adalah ‘ makan biar lebih, cakap biar kurang’ membuatkan tukang masak telah tahu tugasannya. Abang Kamis memang tukang masak yang setia dan sentiasa memberikan yang terbaik.
Jadual makan tepat pada masanya dan disediakan 5 kali sehari. Sebenarnya bila difikirkan, jika terlalu banyak membawa makanan boleh menyebabkan pertambahan beban semasa trekking. Tapi dek kerana memikirkan perut dan tekak yang perlu merasai nikmatnya berada di hutan kami gagahkan jua. Sampaikan lesung batu pun tukang masak bawa! Senang nak buat sambal belacan katanya.
Tiba di pondok kawalan Pejabat Hutan kami mendaftar nama peserta manakala permit bagi memasuki Taman Negara telah diselesaikan awal-awal lagi. Jam di tangan menunjukkan pukul 10.30 pagi menandakan kami sebenarnya tersasar dari jadual perjalanan asal untuk masuk jam 7.00 pagi.
Mengikut maklumat daripada renjer hutan, campsite di sebelah bawah masih kosong manakala bahagian ke hulu terdapat 3 kumpulan yang telah memulakan perjalanan seawal pagi.
Setengah jam pertama memasuki hutan berpuluh ekor pacat hinggap di kaki sehinggakan darah tidak berhenti mengalir. Ada di kalangan rakan trekking yang menggunakan selipar jenis terbuka sekaligus menyebabkan pacat dengan mudah menghidu darah manusia. Sampaikan bila terlalu banyak yang melekat pada kaki langsung tidak kami endahkan.
Setelah menyusuri denai hutan dan melalui 13 batang anak sungai yang penuh mencabar dan mengusung beg yang rata-rata seberat 30 kg, akhirnya kami tiba di tapak perkhemahan.
Sesi gotong-royong memasang khemah dan menyediakan dapur untuk keselesaan tukang masak memang menjadi perkara yang diutamakan. Apa yang menyebabkan saya seronok mengikuti kumpulan ini adalah, ada sahaja idea-idea baru yang kreatif membuat sesuatu untuk kemudahan di hutan.
Para dapur yang selesa, tempat meletak pinggan mangkuk yang sesuai dan semua alat yang dibuat daripada bahan hutan. Acara memancing hanya sekitar kawasan jeram di tapak perkhemahan kerana cuaca kelihatan suram dan kebiasaannya hujan pada sebelah petang.
Pada hari pertama hujan seketika namun warna air sungai berubah menjadi agak keruh. Dalam hati berkata alamatnya baung sajelah lauk kita. Pada sebelah malam sesi pancingan dasar di tapak perkhemahan, rakan saya Jemer banyak mendaratkan spesies baung seperti yang dijangka. Walaunya saiz tidaklah sekasar mana namun kuantiti yang diperoleh cukup dijadikan juadah untuk esok tengah hari.
Hanya 3 ekor sebarau yang berjaya didaratkan pada awal pagi hari kedua ketika warna air beransur pulih. Percubaan demi percubaan dilakukan tetapi misi untuk mencari spesies kelah dan sebarau bersaiz kasar gagal sehinggalah hari ketiga hujan lebat melanda dan air keruh sehingga membawa ke masa untuk pulang.