Ketika pertama kali tiba di sini, penulis melihat cukup ramai pemancing memenuhi lubuk di tepi sungai dengan berbekalkan joran masing-masing. Di Gerik, memancing tenggalan boleh dikatakan bermusim dan spesies ini turut menjadi antara spesies kegilaan pemancing di Sungai Perak.
Sebelum ke sini, rakan penulis telah mencuba ‘riki’ tenggalan di sini selama 3 minggu berturut-turut. Menurutnya, dalam tempoh itu, hanya sekali dia pulang hampa dengan tangan kosong. Setelah berkira-kira, kami berpendapat kemungkinan mendaratkan tenggalan masih tinggi.
Namun hari pertama, kami pulang dengan tangan kosong. Keadaan arus sungai yang deras membawa sampah dan daun-daun kering agak mengecewakan. Umpan yang dibaling hanya mendaratkan sampah apabila dikarau.
Ads
Menurut pemancing di sini, sampah yang dibawa arus menyebabkan umpan menjadi tersorok antara kemungkinan yang menyebabkan kami ‘kumpau’ sampai ke pagi. Menurut Pak Andak, seorang pemancing tegar yang ditemui, arus deras disebabkan berkemungkinan daripada pelepasan air di empangan sekitar sini.
Hari kedua, kami mencuba lubuk berlainan memandangkan arus sungai masih tidak berubah. Selepas Asar, kami meneruskan misi tenggalan di Gerik ini. Keadaan tidak banyak berubah berbanding semalam, dari petang hingga ke malam langsung membawa ke pagi masih hampa.
Ads
Sekitar jam 7.00 pagi, barulah kami dikejutkan dengan lenturan hujung joran. Bergegas rakan penulis menyentap dan berjaya menaikkan tenggalan pertama. Selepas itu, barulah agak galak ikan menjamah umpan. Dah extra time barulah ikan di sini sudi menjamah umpan.
Pak Andak yang tiba pagi tersebut turut tidak ketinggalan menaikkan tenggalan bersaiz sekitar 600 gram. Menurut Pak Andak, saiz tenggalan yang lebih besar sudah sukar diperolehi dengan mata pancing sekarang.
Ads
Beberapa pemancing lain yang melabuhkan pancing sekitar kami juga turut berjaya mendaratkan spesies tenggalan. Namun saiznya tiada yang bersaiz lebar dua tapak tangan seperti yang diidamkan. Cuma kateh saja.
Istilah kateh digunakan oleh pemancing di sini bagi merujuk kepada tenggalan juvenil atau tenggalan yang bersaiz kecil. Istilah ‘kateh’ terhapus apabila saiz tenggalan tersebut mencapai saiz ‘secekak’ iaitu mampu dicekak oleh tangan orang dewasa.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
“Jawapan tetap sama di mana admin jumpa pertanyaan tersebut… lebih kepada riadah. Tiada hasil itu biasa.
Dapat hasil itu luar biasa. Enjoy dengan kawan-kawan. Asalkan umpan cecah kat air itu sudah membuat hati gembira.”
💡 YOSH
“Adakala aku memancing sebab nak rapatkan silaturahim. Adakala aku memancing sebab nak tenangkan fikiran dan berfikir cara terbaik selesaikan masalah.
Adakala aku memancing sebab nak latih semula bila jiwa terasa semakin lemah. Adakala untuk mendekatkan diri dengan Allah (penyerahan dan membuka mata dan hati).
Ikan adalah bonus. Tapi biasanya bila aku memancing semua yang adakala kat atas tu akan ada sepanjang aku memancing.
Bukan nak ikan sangat pun… tapi kalau ikan tu aku makan, walaupun kecil aku ambil bawa balik.”
💡 RC MATTS
“Mungkin sebab minat. Lain orang lain minatnya lain hobinya. But prinsipnya sama. Paling best bila bawa family, semua sama-sama minat memancing. Seronok betul.
Biarlah dapat ikan ke tak dapat ke, biarlah ikan sekecik ikan longkang ke… yang paling diutamakan keseronokan memancing bersama.
Kalau ada pemancing lain bersebelahan yang tak dikenali pun akan dapat berkenalan juga.”
💡 NOOR HIDAYAH AYA
“Cerita memancing ni macam ni… keseronokan dan kegembiraan tu terasa ketika kita dikejutkan dengan ketukan dan sambaran yang terjadi dapat menaikkan semangat.
Kemuncaknya ialah ketika belawan dengan sang misteri yang menarik tali keluar dari mesin dengan laju.
Keseronokan berganda akan terjadi apabila dapat menaikkan hasilnya. Maka keseronokan itulah yang menjadi penyebab utamanya.”
💡 MUHAMMAD AKMAL
“Yang pertama sebab hobi, yang kedua untuk mencari rezeki, yang ketiga untuk mencari keseronokan diri sendiri, yang keempat untuk menguji kesabaran diri, yang kelima untuk mencari ketenangan, release tension di tepi laut atau sungai bila berlakunya kumpau.”
💡 AZM ZMA MAN
“Hobi… lauk… jual. Belajar kawasan lubuk, umpan, menguji kekuatan jenis-jenis ikan. Belajar rod reel atau line apa yang terbaik… apa-apa sajalah daripada duduk tak buat apa dan bersembang tak tentu pasal.
Daripada membawang pasal orang memancing, lebih baik pergi memancing.”
💡 MOHD RIZWAN
“Ada yang memancing kerana hobi. Ada yang memancing niat nak tambah rezeki. Tetapi yang memancing di kolam berbayar niat nak tambah rezeki ini saya kurang faham… sebab risiko tinggi.
Bila tak dapat seperti niat di hati, mulalah memekak kata kolam tipu, kolam main ubat, macam-macam lagilah.”
NOORHAFIZAN ABD SAMAD
“Pucuk pangkalnya sebenar hobi… tapi dalam hobi tu banyak tujuan. Nak dapat ikan, nak ikan besar-besar, nak try rasa ikan besar tarik, nak rasa makan macam-macam jenis ikan dan macam-macam lagilah.”
💡 PUAKE NIANG RAPIK
“Banyak-banyak hobi dalam dunia ni… hobi memancing paling win. Gigil dia lain macam. Kalau kumpau berdarah hidung… terlepas ikan besar tak lena tidur jadinya.
Yang best dapat ikan besar dia punya senyum sampai telinga… tidur pun lena!”
💡 MOHAMMAD SOFIAN ABDUL RAHMAN
“Tujuannya mencari kepuasan. Dari main tepi pantai sampai berubah main gewang… sanggup meredah hujan bermandikan cahaya matahari demi menghilangkan ketagihan.
Ketagih memancing ni lebih parah dari ketagih dadah. Hahahaha!”
Acik Hasnan merupakan adik lelaki bongsu ibu aku. Memang kalau ada waktu lapang dan cuti akan diajaknya aku mencari dan mencuba lubuk baharu ataupun lubuk rahsianya yang memang terbukti banyak hasil boleh dikorek keluar darinya.
Petang itu selepas asar, aku membonceng motor Yamaha Sukan lama Acik Hasnan ku itu menuju ke lokasi yang dikhabarkan. Perjalanan kira-kira 40 minit itu tidak terasa dan seakan terlalu lambat bagi kami kerana terlalu semangat untuk sampai ke lubuk baharu itu.
Lubuk itu agak jauh ke dalam hutan dan perjalanan kami perlu menelusuri jalan denai yang mana biasanya digunakan oleh penoreh getah untuk masuk ke kawasan ini.
Sampai sahaja ke kawasan dituju, terbentang di hadapan kami takungan sungai kecil yang mengalir tenang airnya. Sungai ini merupakan anak sungai yang akan bercantum ke Sungai Perak yang lebih besar.
Airnya agak keruh ketika itu. Mungkin hujan pada awal pagi tadi. Tanpa membuang masa, dengan lafaz Bismillah pakcik ku itu terus menjala di kawasan yang sering diperkatakan oleh rakan-rakannya itu.
Kebetulan pula hanya kami sahaja yang ada disitu. Setelah setengah jam menjala di kawasan sekitar tiada seekor pun ikan yang kami peroleh. Wajah pakcikku, ku lihat sudah tidak seceria seperti tadi. Tapi kami terus menjala secara bergilir-gilir dan setelah sejam kami hanya mendapat seekor sahaja lampam bersaiz remaja.
Kami berehat sebentar dek kepenatan menjala, apatah lagi hasilnya yang sangat sedikit menambahkan lagi kepenatan kami walaupun cuaca petang itu sangat elok dan berangin.
“Pelik jugak Acik ni Wan, baru semalam Pak Hamid kamu turun menjala sini. Banyak betul ikan dia dapat,” keluhnya.
Aku hanya mendiamkan diri sahaja sambil memerhati sekitar tempat kami menjala. Sedang kami berehat, tiba-tiba terdengar bunyi salakan anjing. Semakin lama, semakin dekat. Seolah-olah menghala ke arah kami.
Jelas kelihatan di hadapan kami susuk tubuh seorang perempuan muda yang sangat ayu dan cantik wajahnya sedang berjalan sambil ditemani seekor anjing yang berada di hadapannya. Dengan memakai baju kurung kedah dan berkain batik ia memandang kami. Dia memberikan kami senyuman yang sangat manis.
Alam seperti terhenti seketika dan kami tidak berkelip melihat perempuan itu terus berjalan melalui kami. Perempuan itu terus melalui denai ke dalam hutan di sebelah kami. Aku dan pakcikku berpandangan setelah kelibat perempuan itu tidak kelihatan.
“Ke mana perempuan tadi pergi Acik?” tanyaku setelah dirasakan suasana hening seketika.
“Ntahlah Wan, rasanya macam ada jalan je kalau lihat pada denai yang perempuan tadi lalu. Mungkin juga lubuk yang kita jala ni salah. Mungkin ada lubuk lain atas sana,”kata pakcik ku.
Kami membuat keputusan untuk mengikuti laluan perempuan itu tadi. Motor kembali dihidupkan. Dengan hanya satu kerdipan mata setelah laluan tadi kami lalui, secara tiba-tiba kami rasakan sekeliling kami begitu asing.
Kami berada di sebuah kawasan kampung seperti kampung dahulu kala. Rumah kayu yang tersusun cantik dan pokok-pokok bunga kelihatan sangat cantik tersusun ditanam di halaman rumah. Udara sangat segar sekali. Kami terbuai dengan pemandangan dan suasana yang dilihat.
“Wan, perasan tak? Dari tadi kita tak jumpa orang pun kat sini,” pertanyaan pakcikku menyedarkan ku.
Aku lihat mulutnya terkumat-kamit seakan-akan membaca sesuatu. Wajahnya juga gelisah dan aku seakan tersedar yang kami berada di dunia yang sebenarnya memang asing. Dunia yang sepatutnya tidak ada di dalam hutan ini.
Aku mengikut pakcikku membaca Ayat Kursi dan beberapa surah yang ku hafal. Peluh mula menitik di dahiku.
“Ya Allah, bantulah kami keluar dari kawasan yang bukan tempat untuk kami ini,” ku dengan suara pakcikku berteriak kecil.
Selang beberapa minit kemudian aku rasakan kami dibasahi sesuatu. Hujan yang agak lebat membasahi kami. Aku baru tersedar yang jalan di hadapan kami adalah jalan pulang untuk ke kampung kami.
Kawasan sekitar bertukar gelap dan hanya cahaya malap lampu motor membantu kami mencari jalan keluar ke jalan besar. Syukur, kami sampai ke jalan besar dan sepanjang perjalanan pulang ke rumah pakcikku kami hanya diam membisu.
Sebaik sampai, ku lihat jam sudah menunjukkan pukul 3 pagi. Rasanya baru sahaja kejadian tadi berlaku. Sudah terlalu lewat untuk kami pulang. Isteri pakcikku sudah kelihatan risau menunggu di hadapan rumah. Peristiwa ini kami rahsiakan untuk mengelakkan perkara yang tidak baik berlaku.
Sesungguhnya kita berkongsi dengan makhluk lain yang menghuni bumi Allah ini dan terlalu banyak misteri yang kadang-kadang tidak terfikir oleh logik akal pemikiran yang waras. Kejadian ini memang memberikan kesan kepada kami.
Selepas itu kami hanya menjala dan mencari ikan di kawasan yang biasa sahaja bagi kami. Aktiviti mencari lubuk baharu kami lupakan buat seketika.
Ikan gerut-gerut dan tebal pipi merupakan dua spesies yang tergolong dalam keluarga besar Haemulidae. Begitu juga genus (Pomadasys) dan hanya berbeza spesies.
Ikan gerut-gerut dan tebal pipi mendapat nama jolokan grunts berikutan kemampuan mereka menghasilkan atau mengeluarkan bunyi yang kuat (groot… kooot koot) dengan melaga atau menggesel gigi pharyngeal mereka.
Boleh dianggap mereka ini bersaudara rapat yang banyak berkongsi persamaan seperti rupa dan habitat. Namun masih banyak juga perbezaan antara kedua-dua spesies ini.
Perbezaan yang paling ketara antara tebal pipi dan gerut-gerut ialah pada bahagian pipi (operculum) dan warna sirip. Gerut-gerut mempunyai bahagian setara di muka, pipi atau bahagian penutup insang rata dan tidak menonjol keluar.
Memiliki warna badan perak keemasan, warna tompok-tompok hitam pada bahagian atas dan bahagian ekor berwarna putih dan hitam di bahagian hujung. Manakala tebal pipi mempunyai bahagian penutup insang membengkak pada tulang pipi serta menonjol keluar.
Badan berwarna perak dan kekuningan di bahagian bawah terutama sirip dorsal, sirip bahagian bawah badan dan sirip kaudal atau ekor. Kombinasi warna badan lebih cantik dari gerut-gerut, mempunyai serta badannya lebih gempal.
Kebiasaannya gerut-gerut juvenil mudah diperoleh dan dianggap sebagai pengacau umpan oleh pemancing.
Ini jarang berlaku kepada tebal pipi juvenil mungkin disebabkan ini kerana gerut-gerut mempunyai beberapa spesies berlainan walaupun bentuk hampir sama dan bilangannya lebih banyak dari tebal pipi.
Spesimen gerut-gerut yang mudah diperolehi sekitar 100 hingga 500 gram. Untuk memperoleh spesies yang lebih besar, biasanya ditemui di perairan yang lebih dalam di bahagian paloh atau laluan alur utama sungai atau terkeluar sedikit dari muara terutama serta kawasan pulau pesisiran pantai. serta laut bebas.
Sementara tebal pipi jarang ditemui di perairan cetek dan saiz yang biasa diperoleh agak besar dari 1 hingga 3 kg.
Dari segi rasa pula, tebal pipi mempunyai isi yang lebih sedap berbanding gerut-gerut dan harganya juga begitu.
Namun agak sukar untuk mendapatkan tebal pipi di pasaran kerana ia amat sukar diperoleh berbanding gerut-gerut.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...