Sempena cuti yang agak panjang dan kebetulan ada trip memancing di Kuantan, saya mempelawa Faiz, Fadzrul dan Fitry untuk turut serta. Sebelum menyertai trip memancing pada keesokan harinya, kami singgah dahulu di rumah keluarga Faiz untuk sesi pancingan santai mengilat haruan.
Port atau padang pancing yang menjadi permainan kami merupakan sebuah bekas kolam ternakan ikan yang tidak lagi aktif. Kolam yang semakin cetek dan hampir dilitupi rumpai sepenuhnya itu sudah lama terbiar dan hanya didiami spesies tegar seperti haruan dan puyu.
Tanpa banyak membuang masa sebelum senja menjelang, kami segera mengayun umpan tiruan pilihan masing-masing Hasil penggunaan umpan tiruan getah lembut atau soft plastic, Fitry menjadi pembuka tirai dengan mendaratkan seekor haruan yang agak kasar juga saiznya.
Tidak lama kemudian Fitry sekali lagi mendaratkan haruan di spot yang sama sekali gus mendorong kami yang belum merasai sambaran mengerumuni spot tersebut. Namun tiada lagi haruan yang berjaya dipujuk.
Di penjuru bertentang tidak lama kemudian baharulah Faiz dan Fadzrul memperoleh lesen masing-masing. Fadzrul berjaya memujuk haruan dengan menggunakan katak kayu Faiz atau jump frog sementara Faiz pula menggunakan gewang.
Manakala saya pula terus berputih mata. Hanya sekadar merasai sambaran beberapa kali namun gagal untuk mendaratkannya.
Hampir dua jam mengilat, hasilnya agak memberangsangkan juga. Terbukti kolam terbiar milik keluarga Faiz yang pernah menjadi lokasi penggambaran sebuah rancangan memancing suatu ketika dahulu masih lagi menghiburkan.
Memandangkan keluarga Faiz tidak bercadang untuk menjadikan haruan-haruan tersebut sebagai juadah maka kami lepaskan kesemuanya kembali ke kolam tersebut. Sekiranya berpeluang suatu hari nanti kami akan kembali untuk memujuknya lagi.