Pemancing hari ini mungkin ramai tidak mengetahui Clearwater Santuary Golf Resort (CSGR) yang terletak di Batu Gajah, Perak bukan destinasi para golfer bercuti dan bermain golf.

Sebaliknya sudah agak lama ia merupakan padang pancing pilihan terutamanya para pengilat tegar memancing peacock bass (PB) atau ikan raja.

 

Pada kunjungan kali pertama lebih sepuluh tahun yang lalu, hanya ikan PB menjadi sasaran saya untuk dipancing. Walaupun tahu ikan berskala gergasi seperti patin, rohu mahupun spesies kap lain yang banyak mendiami tasik-tasik di CSGR.

 

Langsung tidak terlintas di fikiran untuk memancing ikan lain. Mungkin juga disebabkan kurangnya ilmu untuk memancing spesies ikan kap yang agak teknikal dari segi penyediaan umpan.


Hanya setelah berkenalan dengan pengusaha umpan air tawar Umpan Ulong, barulah peluang itu muncul. Apa mendapat jemputan menginap dan memancing dari pihak CGSR, saya segera menghubungi taukeh Umpan Ulong ini sekutu memburu rohu liar.

Namun, seperti biasa saya hanya membawa peralatan casting, sementara team Umpan Ulong menyediakan segalanya keperluan memancing rohu.


.

Memandangkan kami hanya ada masa hanya ada masa setengah hari saja, seawal jam 10.00 pagi kami sudah memulakannya.

Terlebih dahulu umpan-umpan rasuah dibuat untuk ditabur bagi memanggil kumpulan rohu ke kawasan pancingan. Empat set pancing joran panjang dipertaruhkan.

 

Kami tidak mengharapkan kuantiti tangkapan, memadai seekor saja sudah menepati KPI. Saya hanya ingin merasai tarikan rohu liar dan team Umpan Ulong perlu membuktikan umpan keluaran mereka bukan sekadar sesuai untuk ikan-ikan air tawar kolam saja tetapi juga berkesan terhadap ikan liar.


Tidak sampai satu jam selepas umpan bermata kail dilabuhkan, salah satu joran mengena dan saya mendapat peluang untuk mendaratkannya.

Pecutan awal yang dipercayai ikan rohu itu dirasakan terlalu padu umpama pecutan torpedo. Ia jauh lebih berkuasa berbanding ikan kolam.

 

Saya berjaya mengekang larinnya ke tengah tasik dan menghela datang ke daratan. Namun, sekitar 10meter ke daratan ia berjaya membelit pada batang-batang pokok teratai yang meliar di tasik tersebut.

Seorang ahli Team Umpan Ulong turun ke tasik dalam usaha melepaskan ikan dari halangan tersebut. Namun usaha itu gagal kerana ikan berjaya juga meloloskan diri.

 

 

Mangsa kedua berjaya dipancing hampir satu jam kemudian. Kali ini Team Umpan Ulong mengambil peluang dan berjaya melepasi halangan batang-batang teratai. Akhirnya seekor rohu anggaran berat melebihi 3kg berjaya didaratkan dengan sempurna.

 

Kami meneruskan lagi pancingan namun tiada lagi rohu yang mahu memakan umpan, memaksa kami menamatkan misi singkat dengan keputusan yang memuaskan hati.

Saya dapat peluang merasai tarikan rohu liar buat pertama kalinya dan Umpan Ulong terbukti berkesan bagi memancing ikan liar.