Trip Trobek – Rekod Saiz Sebarau Sungai Pegunungan!!

Share

 

Ketika tiba di sebuah lubuk yang mempunyai jeram, kami terlihat anak-anak ikan melompat di permukaan air serta bertempiaran lari seolah-olah dikejar sesuatu. Masing-masing mendiamkan diri sambil segera memperkemaskan gewang untuk di lontar ke kawasan anak ikan tadi.

 

Apabila gewang sesudu Altima 10 gram yang digunakan Ayoi jatuh melayang hampir ke dasar, tali utamanya terus tegang dan joran melentur disentak penghuni. Belum pun sempat Ayoi mengetatkan lagi sistem regangan Shimano Calcutta Conquest nya, spesies yang tidak diketahui itu telah membawa talinya terus ke sudut lubuk yang mempunyai reba akar pokok.

 

Akhirnya, dia berputih mata kerana sesudu yang dianggap ‘killer’ pada spesies sebarau ini menjadi tukun buat selama-lamanya di dasar sungai berkenaan.

 

Selepas itu kami berpecah kepada dua kumpulan. Ayoi dan Azrul terus menuju ke hulu manakala saya dan Amin masih setia di kawasan lubuk pertama yang menjadi tempat kejadian rabut di dalam reba-reba kayu.

 

Amin menghantar Siam Spoon ke arah tebing seberang sungai berkali-kali namun tiada spesies yang sudi menjamah gewang. Sambil berbual, Amin sempat berseloroh agaknya ikan-ikan di sini ‘lambat bangun pagi’.

 

Saya dan Amin turun ke hilir secara beransur-ansur sambil membuat balingan ke celahan reba yang diyakini boleh mencetuskan satu sambaran. Di satu kawasan cetek, saya membuat balingan di permukaan air tanpa membiarkan ia jatuh ke dasar dan terus mengarau.

 

Tiga kali sambaran dari sang sebarau bersaiz 3 jari jelas kelihatan cuba menghentam gewang Bakau berwarna kuning, tetapi miss call.Balingan kedua ke lokasi sama tidak lagi bersambut.

 

Dengan semua yang masih belum menyentuh ikan sejak pagi kami meneruskan aktiviti mengilat di kawasan pulau yang terbentuk di tengah sungai. Amin mencuba beberapa kali melontarkan sesudu ke arah rumput di tepian pulau di tengah sungai, tiba-tiba mendapat satu sambaran padu.

 

Joran Ganko specialized custom berkekuatan 10 lb diasak kuat ke bawah. Dengan tali 14 lb dan sambungan perambut kejutan 30 lb membuatkan Amin sedikit risau dengan tentangan hebat ikan.

 

Dalam beberapa saat, spesies yang belum kelihatan menukar haluan menentang arus dan cuba mudik ke hulu dengan pantas. Melihatkan tebing yang agak tinggi dalam 7 kaki adalah agak mustahil untuk mendaratkan ke atas.

 

Amin terus turun ke bahagian tebing yang boleh dijadikan tangga untuk turun lebih dekat dengan gigi air. Tanpa lip grip dan tangguk, saya terus turun ke air membantu mendaratkan ikan ke tebing. Hasilnya boleh dikatakan badong seberat 3.3 kg menjadi lesen kepada joran yang pertama kali.

 

Pada sebelah petang kami mencuba nasib di sebelah bawah sungai. Ayoi yang beberapa kali rabut berasa amat kecewa walaupun berbagai sesudu ditukar setiap 10 kali balingan. Saya yang menggunakan gewang Surecatch mendapat sambaran di masa tali dalam gelendong kusut.

 

Tanpa menghiraukan kekusutan yang berlaku saya mengarau terus tanpa memberi peluang kepada ikan untuk melarikan gewang ke dalam reba pokok tumbang yang berselirat.

 

Seekor baung bersaiz sederhana berjaya didaratkan dan ia juga merupakan lesen pertama saya menewaskan spesies ini menggunakan gewang. Azrul juga dalam diam telah berjaya mendarat beberapa ekor sebarau yang boleh dikategorikan sebagai curut dan dilepaskan semula ke habitat asal.

 

Meskipun hanya seekor sebarau yang berjaya dinaikkan, ia tetap memberikan kepuasan kerana sebarau yang berjaya ditewaskan adalah bertaraf badong. Kami juga pasti akan kembali lagi ke sini dalam masa terdekat.

 

Published by
Amang