Tiada apa yang lebih indah bagi seorang pemancing selain dapat memancing di padang pancing impian dan memancing spesies idaman. Begitulah yang rasa apabila berpeluang memancing di Rumah Api Permatang Sedepa atau One Fathom Bank, dan memancing spesies utamanya ikan telinga gajah.

 

Peluang ini muncul kira-kira 7 tahun yang lalu. Sebelum hari kejadian, saya buat homework sikit tentang pancingan ikan telinga gajah ini namun tidak banyak maklumat yang diperolehi.

Oleh yang demikian, saya meminta maklumat dari rakan yang mengetuai trip. Namun, beliau meminta saya menyediakan set pancing yang kuat saja. Selebihnya, dia akan sediakan.

 

 

“Tak sayang pancing ke?” Itulah perkataan pertama yang keluar dari rakan saya ini apabila saya perlihatkan set pancing yang akan digunakan.

 

Saya cuma tersengih saja kerana sama sekali tidak menyangka joran 8kaki panjang berkuatan 15-30lb seperti tidak layak untuk digunakan. Terkesan dengan teguran itu saya jadi serba salah untuk menggunakannya atau tidak. Tambah pula bila melihat peralatan ahli trip yang lain semuanya kelas berat.

Rata-rata menggunakan joran PE 4 dan ke atas. Memang nampak macam joran udang berbanding joran mereka.

 

IKLAN

 

Lewat petang barulah sesi memancing telinga gajah dimulakan. Saya mengambil sikap perhati terlebih dahulu. Masih was-was sebenarnya untuk ikut sama memancing atau tidak kerana masih terkesan dengan teguran tersebut. Bagaimana kalau tersebut ada benarnya. Joran itu pun baru saja dibeli. Belum pernah kena ikan pun. Sayang la kalau patah.

 

Tidak lama selepas sesi memancing bermula, joran salah seorang ahli trip mengena. Saya bergegas ke sudut pemancing berkenaan untuk merakam aksi pertarungan tersebut. Memang menakjubkan melihat aksi joran tersebut ditekan oleh pemangsa. Sekelip mata kemudian saya dapat melihat joran tersebut meletup! Terkedu saya melihat joran PE 4 dipatahkan dengan begitu mudah.

 

 

Selepas insiden joran patah dan ikan terlepas, membawa ke malam tiada sebarang ragutan diterima. Dan saya mengambil keputusan untuk serta. Kalau sayang joran, baik jangan memancing. Kalau nak patah pun patahlah, ia jauh lebih berpuas hati daripada langsung tak mencuba. Namun saya memilih sudut berasingan dari ahli-ahli trip ini.

 

Suasana sunyi sepi tanpa sebarang aksi sehingga lewat tengah malam. Tatkala seorang demi seorang ahli trip mencari ruang tidur di rumah api tersebut, salah seorang ahli trip secara senyap-senyap mendaratkan seekor telinga gajah saiz sederhana.

Saya hanya sempat merakam gambar beliau bersama hasil saja. Menurut beliau, ia kurang memberikan tentangan hebat kerana bersaiz kecil.

 

 

Sedikit sebanyak ia menyuntik semangat saya untuk menukar umpan baru dan terus menunggu. Sehingga jam 3.00 pagi tanpa sebarang getuan pada umpan, saya mengambil keputusan untuk tidur dan cuba nasib keesokan pagi.

 

Menurut salah seorang ahli trip, ada pemancing lain yang mengambil tempat saya memancing dan berjaya menaikkan seekor telinga gajah bersaiz besar tidak lama selepas saya masuk tidur.

Sekali lagi saya mampu tersengih. Mungkin bukan rezeki saya. Atau mungkin juga berakhirnya riwayat joran saya jika terus kekal memancing.

 

 

Tiada lagi telinga gajah yang dinaikkan sehingga kami meninggalkan Rumah Api One Phanthom Bank pada tengah hari. Saya tidak kecewa sepenuhnya kerana gagal mendapat lesen telinga gajah. Yang pasti saya sudah mengetahui cara penyediaan umpan dan peralatan sesuai untuk digunakan.