Trip Trobek: Patin Dikeloi, Kaloi Yang Muncul

Share

 

Hidup sang penghanyir tidak pernah kenal erti rehat. Walaupun banyak menghabiskan cuti hujung minggu di kolam-kolam pancing air tawar sekitar Lembah Kelang, namun disebabkan pandemik Covid-19, terpaksalah niat untuk merentas daerah/negeri pergi memancing dilandaikan seketika.

 

Pun begitu minat untuk memancing ikan-ikan di habitat liar tidak pernah padam dalam diri. Tak kiralah sama ada memancing ikan lampam, baung, belida atau patin di sungai, tasik mahupun lombong.

 

Keseronokan memancing di lokasi sebegini jauh lebih indah berbanding pancingan di kolam-kolam pancing komersial. Apatah lagi hasil pancingan dijadikan juadah dan dimakan terus di lokasi kejadian. Kepuasannya tidak dapat digambarkan dengan perkataan waima hanya sekadar tilapia bakar.

 

Apabila bertemu kembali dengan rakan-rakan lama yang pernah sama-sama menjadi penunggu tebing sungai, tasik dan lombong, secara spontan sesi untuk kembali menjadi penunggu tebing dirancang. Kami sepakat sekata untuk mencuba nasib yang suatu ketika dahulu menjadi lokasi kami untuk memancing lampam dan patin.

 

 

Berikutan sudah agak sebati dengan pancingan kolam air tawar maka umpan yang digunakan untuk lokasi liar ini sama sahaja dengan umpan untuk pancingan kolam. Bezanya, untuk memanggil ikan merapati kawasan kami memancing, kami harus `merasuah’ beberapa kilogram dedak ayam yang dicampur dengan sedikit bahan perisa seperti pes strawberi.

 

Apabila ada riak-riak ikan menghampiri kawasan yang telah dirasuahi baharulah kami memulakan sesi memancing. Umpan yang digunakan pun sama sahaja dengan teknik pancingan kolam iaitu rot sandwich biasa dipotong dadu yang dicampuri dengan pes perisa strawberi.

 

Tidak perlu menanti lebih lama, sebagaimana yang dijangka ikan lampam Jawa dan lampam sungai yang berjaya didaratkan. Walaupun ia cuma lampam dan saiznya tidaklah sebesar mana namun ia tetap menghiburkan. Namun kami masih menaruh harapan spesies ikan liar yang terutamanya patin yang mengena.

 

 

Lebih setengah hari menjadi penunggu tebing, akhirnya pancing kami menerima sambaran dan corak larian yang berbeza dengan tindak balas lampam apabila terkena mata kail. Pada awalnya kami menjangkakan ikan patin yang mengena, setelah didaratkan ternyata ia bukan patin sebaliknya ikan kaloi. Kami sama sekali tidak menjangka ikan kaloi akan memakan umpan roti yang kami gunakan. Lebih menarik, tidak lama kemudian ada lagi kaloi yang berminat dengan umpan tersebut.

 

 

Setelah beberapa ekor berjaya didaratkan, kami bakar tanpa sebarang rencah dan diratah begitu sahaja. Nikmat dan kepuasannya sangat-sangat berbaloi.

Published by
Amang