Walaupun dari pangkalan yang berlainan, namun kami terus berhubung dan bertukar maklumat mengenai koordinat memancing antara satu sama lain. Sehinggalah pada suatu ketika, kami mula merancang untuk memancing bersama dalam satu sampan.

 

Pertemuan pertama di atas bot milik beliau pada hari yang dijanjikan. Ketika saya bersama rakan pancing lain tiba di pangkalannya, beliau sedang menyiapkan peralatan di sampan. Tanpa berbicara panjang bot yang siap terus dikemudikan menuju ke lokasi memancing setelah semua perkakas pancing dan umpan siap diuruskan.

 

Sampan beliau mudah dikenali kerana ia paling panjang yang berada di pangkalan, dipacu oleh enjin kembar 150 kuasa kuda jenis Big foot. Sampan 33 kaki ini dilengkapi dengan tandas tertutup ditempah dari Ibrahim Fibre yang beroperasi berdekatan dengan Kompleks Rakan Muda Sementa, Klang.

 

Sesuai dengan muatan 6 orang pemancing tapi kalau berempat lebih selesa. Sampan ini turut dilengkapi dengan tangki bekalan air tawar 200 liter untuk wuduk dan kegunaan perkumuhan. Kapten Hj Khairi Khairuddin atau lebih dikenali dengan panggilan Kapten sahaja cukup peramah.

 

Beliau adalah kaki pancing hardcore, pernah beberapa kali mengemudi sampan fiber miliknya dari jeti Sementa ke Pulau Jarak. Perkara yang jarang-jarang dibuat oleh kaki pancing sekiranya mengemudikan sampan. Kalau bot kayu lain cerita.

 

Antara destinasi popular beliau ialah Rumah Api Permatang Sedepa dan lokasi yang berdekatan dengan kawasan sempadan. Sebelum ini beliau banyak kali menyertai Labuan IGFA Game Fish di bawah label TEAM BUDU.

 

Sudah beberapa kali saya mengikut Kapten memancing di kawasan selat ini menggunakan sampan milik beliau. Untuk kunjungan terbaru ini dicatatkan sebagai tatapan untuk pembaca mengenai persekitaran memancing di kawasan yang terlalu hampir dengan kapal dagang dan kontena bagak.

 

Entah kenapa hari itu umpan kehabisan namun perancangan tetap diteruskan juga. Pagi berempat bergerak tanpa bekalan umpan sama sekali. Kapten bersahaja memacu bot ke arah boya sempadan laluan kapal dalam pagi yang agak sedikit berolak. Ikan yang dicari di boya tidak muncul-muncul.

 

Yang diperolehi cuma ikan-ikan plata, umpan yang paling tidak digemari pemancing tetapi tidak buat kapten. Kemudian kami beralih arah ke tali sauh kapal dagang yang berlabuh sementara di sepanjang Pantai Kelanang.

Ads

 

Sukar hari itu untuk mendapatkan umpan ikan tamban, mana-mana sahaja hanya plata dan cencaru. Usaha mencari ikan tamban berterusan sehingga akhirnya dapat juga dalam jumlah lebih kurang 10 ekor. Cukuplah untuk memancing seketika dan habis bekalan cari lagi, itu saranan Kapten.

 

Kemudian Kapten membawa kami ke lokasi tumpuan beliau memancing sejak akhir-akhir ini. Lubuk tersebut seperti kawah kecil sedalam 180 kaki dengan tebing dasar sedalam 140 kaki.

Trip Trobek – Otai Laut Dalam Menten Padu

Tatkala menyiapkan kelengkapan perang, terpandang beberapa buah kapal cukup comel besarnya melintasi hanya beberapa meter dari kedudukan kami. Tak perasan kehadiran kapal kerana bunyi enjinnya terlalu senyap. Kapten buat tak kisah saja sambil memasang dua ekor ikan plata hidup pada pancing stail apollonya.

 

Beliau sebenarnya cukup arif dengan selok-belok pergerakan kapal dagang yang mundar-mandir di kawasan tersebut dengan bantuan GPS. Paparan pada skrin GPS jelas mengesan kedudukan kami yang agak selamat dari laluan kapal sempadan.

 

Susah dan berbahaya kalau memancing di sini tanpa mengetahui selok-belok laluan khusus untuk kapal dagang. Bila tekong buat tak endah, kami pun teruskan sahaja menyiapkan perambut. Bila ditanya Kapten, pakai apa sahaja perambut asalkan kuat.

 

Beliau menggunakan 80lb perambut apollo dua mata perambut, kami pula menggunakan satu perambut dua mata kail memandangkan saiz tamban agak besar. Berlatarbelakangkan irama muzik 60-an dari radio milik tekong, kami mula menunggu sentuhan ikan di dasar.

Ads

 

Bila hampir memasuki koordinat ‘strike’ Kapten akan bersuara memberi arahan supaya kami ‘standby’. Tali dihulurkan lagi dalam beberapa meter bagi mengelakkan umpan merentasi kawah terlalu ke atas.

 

Untuk itu ladung perlu sentiasa terseret di dasar sambil umpan akan melayang sedikit 1 meter dari dasar. Teknik ini amat berkesan bagi mengelakkan tali pancing tersangkut karang atau sebarang objek di dasar tempat ikan gemar menyepi.

Trip Trobek – Otai Laut Dalam Menten Padu
.

Dalam beberapa detik setelah kapten melaung amaran berjaga, satu joran mengena. Walaupun agak kasar di permulaan babak, namun separuh air ikan sudah keletihan untuk menarik keluar tali dari gelendong kekili elektrik. Seekor kerapu untuk babak permulaan sudah dikira baik.

 

Selang beberapa detik ketika koordinat sampan mula keluar dari kawah kami menerima strike kedua. Kali ini mainan ikan agak bertenaga sehingga berjaya memberhentikan putaran kekili buat seketika. Nasib perambut 80lb yang disarankan dapat mengekang ikan sebelum ia tewas menampakkan merah di permukaan air.

 

5.5 kg merah untuk strike kedua. Ini kira sudah bagus. Bila sampan sudah jauh terkeluar dari kawah, kami mengulangi semula laluan asal supaya sampan akan melewati lubuk sasaran. Di pusingan kedua dengan baki beberapa ekor tamban, rentak yang sama di guna pakai.

 

Kali kedua bila bot masuk kawah, dua strike mengena dalam selang beberapa detik. Hasilnya satu tewas dan satu lagi ditewaskan. Takpe seri.. Kami mengulanginya lagi untuk pusingan ketiga. Kebetulan umpan tamban mati baki digunakan semuanya. Harapan terakhir.

Ads

 

Pusingan ketiga laluan disasarkan sedikit berbeza namun masih mengharungi kawah yang sama. Di pusingan ketiga, kena lagi ragutan kasar daripada pemangsa dasar. Yang kami pasti ikan spesies ikan merah mengikut cara mainannya dan di koordinat tersebut ikan jenahak amat jarang sekali diperolehi.

 

Entah mengapa di pertengahan perlawanan tiba-tiba sahaja tiada lagi tegangan tali, pemangsa yang melawan sudah tidak meloloskan diri…. Bila rabut kali kedua, pasti kawah berkenaan akan kosong, ikan ‘hilang’ mengikuti ‘rakan sekampung’ berpindah ke lokasi lain.

 

Kebetulan umpan juga turut habis memaksa Kapten menghidupkan enjin sampan menuju ke boya merah terletak kira-kira 2 batu nautika dari kedudukan kami.

Trip Trobek – Otai Laut Dalam Menten Padu

Kebetulan hari itu boya ini cukup meriah dengan ikan selar dan selar kuning. Sedang orang di hadapan mendapatkan anak selar, Kapten di belakang tiba-tiba sibuk mengepam jorannya.

 

Umpan hidup yang dihulurkan disambut sang talang. Teruja juga melihat permainan talang yang sedang digempur Kapten. Beberapa kali lompatan ke udara sebelum ia tewas di birai sampan. Dalam masa mencari umpan hidup, sudah dua ekor talang dapat dijerat Kapten di belakang sampan.

 

Talang bukanlah pilihan untuk trip hari itu, cukup umpan sampan beredar menuju spot pancing kedua terletak kira-kira 4 batu nautika ke arah Timur Laut, satu lagi destinasi kegemaran Kapten.

 

Kedalaman hampir sama dengan koordinat pertama, set dan teknik pancing yang sama diteruskan. Hari sudah agak petang apabila sesi pancing kedua dimulakan. Setelah 45 minit berlalu tiada sambutan dari pemangsa dasar kami kemudiannya berkemas untuk pulang.

 

Semasa karau umpan ke atas, tidak semena-mena satu lagi sambaran diterima. Talang penutup tirai memberi sedikit kelegaan sebelum kipas enjin sampan berputar ligat memacu sampan pulang ke tempat ia diparkir.

Trip Trobek – Otai Laut Dalam Menten Padu

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI