Sedikit perasaan kecewa membelenggu kami. Apa lagi yang mampu dilakukan, selain cuba juga untuk casting dan terus casting. Menurut Karim, berkemungkinan faktor hujan di kawasan hulu yang membuatkan air keruh dan sejuk, punca utama mengapa, penghuninya tidak aktif.

 

Mus yang melalui situasi menggembirakan tahun lalu, juga turut ralat kerana kunjungannya berbeza benar. Jelasnya di Hulu Berdengung inilah, banyak tengas bersaiz kasar dan juga kelah tewas dengan gelekan sesudu. Bahkan akan nampak penghuninya mengejar walaupun hanya batu yang dilontarkan.

 

Walaupun sudah merancang sebaik mungkin, faktor ketentuan tiada siapa yang mampu menghalang. Bagi saya, inilah faktor alam yang semua kaki pancing tidak boleh jangkakan. Mungkin juga ikannya berhijrah semasa musim tengkujuh lalu atau dikaut banyak dengan cara tidak bertanggungjawab.

 

Jam 3.30 petang, kami mengambil keputusan untuk turun semula ke bahagian hilir, menuju ke khemah dalam keadaan hujan renyai-renyai selepas sasaran casting kelah di Hulu Berdengung tidak kesampaian. Kali ini, Karim mengurangkan memasuki semula trek jalan hutan, sebaliknya lebih banyak menyusuri sungai bagi membolehkan kami casting di lubuk-lubuk yang berpotensi yang tidak dilalui pagi tadi.

 

Ads

Di aliran jeram yang deras, giliran Zul mendapat tuah, apabila lontaran sesudunya disambut lagi. Karauan dilakukan, tetapi beberapa detik kemudian, lariannya beransur lemah. Rupa-rupanya sang sebarau yang menyapa. Tidak kurang juga, ada tengas mengejar sesudu sebaik karauan laju dibuat, tetapi akhirnya berpatah balik apabila ternampak kami.

 

Kami tiba di campsite bila hari sudah senja. Padi menyambut kami dengan tersenyum lebar, kerana dia turut berhasil juga menaikkan tengas dengan casting, bermodalkan Siam Spoon 10 gram. Jadilah lesen katanya, walaupun kecil sedikit daripada saiz lengan orang dewasa.

 

Malam terakhir kami gunakan sebaik mungkin. Selesai menjamah hidangan makan malam, Mus, Karim dan anaknya mengambil keputusan memancing di bahagian hilir khemah. Selebihnya memancing di satu kawasan lata yang mengalir tenang di bahagian hulu.

Ads

 

Ragutan demi ragutan diterima oleh kami, tetapi kebanyakannya ikan tengas yang saiznya masih belum memuaskan hati. Banyak yang dilepaskan semula.

 

Lewat malam saya, saya dan Zul berpindah lokasi dan bergabung dengan Karim, Mustakim dan Wan. Hasil terbaik diperoleh di sini, apabila joran milik Wan yang diletakkan di pancang di depan matanya terbang ke dalam air. Mujur lampu pendaflour stick menjadi penanda bila joran sudah tenggelam dalam air.

 

Ads

Bergasak sekitar 4-5 minit, akhirnya tewas juga tengas saiz kasar hampir 2kg di tangan Wan. Umpan isi ikan nyata tidak mengecewakan, walaupun terpaksa menunggu lama. Bahkan dengan umpan inilah juga kami menaikkan banyak baung akar. Tidak perlu susah payah bawa umpan tapa.

 

Sekitar jam 12 malam, giliran joran Mus dan saya sekali telah dikejutkan dengan joran terbang masuk ke dalam air. Akhirnya tengas yang saiznya sekitar lengan dewasa masing-masing tetap berjaya dinaikkan.

 

 

Walaupun saya tidak berjaya menaikkan tengas atau kelah bersaiz kasar menggunakan casting, sekurang-kurangnya, saya tidak kumpau walaupun dengan kaedah pancingan dasar. Tahniah kepada Wan, Mus dan Zul yang akhirnya berjaya juga menaikkan ikan tengas yang saiznya sudah cukup memuaskan dengan kaedah casting.

 

Sekali gus trip sejauh ini ‘ada bahan’ untuk kami kongsikan kepada pembaca. Semasa pulang, kami melalui banyak lubuk-lubuk yang berpotensi yang sesuai untuk pancingan dasar dan casting kerana semasa balik, kami pulang dengan keadaan lebih rileks dan tidak lagi perlu mengejar masa serta mengikut langkah tekong yang sememangnya macam lipas kudung walaupun di dalam hutan.

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI