Selepas dua bulan merancang, satu trip trekking ke hulu Sungai Terenggan, Tasik Kenyir, lokasi kunjungan terdahulu Mus menjadi kenyataan. Tujuh orang telah terlibat dalam trip yang begitu mengerah kudrat; berjalan kaki sekitar 6-8 jam meredah hutan dan sungai.
Manakala guide semestinya Karim, tekong yang tidak pernah miss dalam pilihan sepanjang tujuh tahun mengenali Tasik Kenyir. Selain Karim, trip kami turut dibantu oleh anak Karim, iaitu Yo.
Kami tiba di campsite kira-kira jam 4 petang, selepas 5 jam mengharungi perjalanan menaiki speedboat dari Jenagor sebelum berjalan kaki menghulu Sungai Terenggan. Lokasi campsite ini, sebenarnya bukanlah campsite yang pernah Mus bermalam dahulu.
Ia sebenarnya masih jauh. Disebabkan kami kesuntukan masa (agak lewat akibat beberapa perkara tidak dapat dielakkan), keputusan bersama telah diambil untuk berkhemah di sini dan esok perjalanan ke sebelah hulu akan disambung.
Sebelum menjelang malam, kebanyakan daripada kami cuba untuk casting di lubuk-lubuk yang dianggap berpotensi.
Kebanyakan spot memang menarik, tetapi hasilnya tidak memberangsangkan. Saya, Zul dan Mus cuba casting di bahagian bawah campsite, tetapi turut pulang hampa. Hanya sebarau bersaiz remaja dan anak bujuk sudi menyambar gewang.
Selesai sarapan, kami bersiap untuk memulakan trekking ke bahagian hulu. Kami bercadang untuk pergi sejauh mungkin iaitu tiba di port ‘Hulu Berdengung’, lokasi Mus mendapat banyak strike semasa kunjungan tahun lalu.
Hanya Padi dan Ayie yang tidak ikut. Padi yang baru sahaja selesai melakukan pembedahan tumor mengambil keputusan untuk cuba casting di bawah. Manakala Ayie meneruskan pancingan dasar di hadapan khemah selain ditugaskan untuk memasak.
Perjalanan naik ke hulu memang mencabar. Kami terpaksa meranduk air yang deras dan penuh dengan batu-batu licin. Jika meredah hutan pula, ada kalanya trek baru terpaksa dibuat, kerana trek lama langsung tidak kelihatan. Mujurlah, kami tidak membawa beban beg seperti hari semalam.
Ujar Karim, di bahagian hulu ini, teramat jarang kaki-kaki pancing datang berkunjung, kerana faktor jauh dan kebanyakan jejak yang ada dibuat oleh penceroboh haram yang datang untuk mencari kayu gaharu yang dipercayai dilakukan warganegara Thailand. Buktinya kami memang terjumpa bekas penempatan di dalam hutan, tidak jauh dari sungai.
Sepanjang perjalanan, kami cuba casting di lubuk-lubuk yang berpotensi. Semasa melalui kawasan jeram yang berarus deras, Wan yang berada paling hadapan menerima sambaran. Lontaran sesudu Abu Island II, 12 gram, disergap rakus oleh makhluk yang berada di bawah sana. Sehingga terpaksa dia melompat ke batu dan meranduk air, lantaran larian pemangsa cukup laju.
Selepas 5 minit barulah nampak kelibatnya dan akhirnya muncul tengas dalam skala 1.2 kg. Walaupun ia hanyalah tengas, tetapi pada skala ini, ia sudah cukup memuaskan hati.
Zul yang setia dengan sesudu Abu Island II, 7 gram, paling banyak menaikkan tengas dalam sekitar 700 gram. Saya tidak terkecuali dan skala ini semuanya kami lepaskan semula.