Sotong mengabang atau di dalam bahasa saintifik dipanggil Sepioteuthis Lessoniana Lesson menggemari kawasan berstruktur sebagai tempat tinggalnya seperti di kawasan karang, unjam serta tukun.

 

Manakala di pesisir pantai pula ia mudah diperolehi di sekitar pulau berbatu, benteng pemecah ombak serta jambatan terutama ketika air pasang, ia akan menghampiri sehingga ke pinggir pantai.

 

Pulau-pulau berbatu seperti Redang, Pemanggil, Pangkor, Tioman, Langkawi, Pulau Sembilan serta beberapa lagi pulau di negara kita yang telah diketahui terdapat sotong mengabang bermastautin.

Saiz dalam lingkungan 1kg ke bawah biasanya diperolehi jika mengilat di kawasan pantai manakala saiz yang diperolehi di sekitar unjam lebih besar.

 

Unjam-unjam di perairan Rompin contohnya sudah sekian lama menjadi padang pancing penggemar sotong mabang. Berikutan sudah ramai yang meminatinya, hari ini sotong mabang tidak lagi semudah dahulu untuk memperolehinya.

Ads

 

Trip Trobek – Menyandat Mengabang Pulau!!

 

Komplot casting mengabang bersama Abe Din menyasarkan Pulau Ular yang terletak di Cherating, Pahang sebagai lokasi kali ini. Abe Din bukanlah orang baru dalam segmen eging ini malah beliau antara perantis yang banyak membongkar rahsia mabang dalam penulisannya.

 

Pulau berbatu dengan belukar kecil di tengahnya memang sesuai untuk tujuan ini. Ia juga tidak jauh dari pantai. Kami menggunakan khidmat Tekong Anuar untuk menghantar kami ke pulau tersebut.

Ads

 

Sebaik sampai, perbincangan ringkas diadakan. Hasil dari perbincangan ringkas itu kami sepakat sekata untuk mendirikan khemah sebagai penginapan sepanjang kami berada di sini. Khemah didirikan di kawasan batu hampar di atas bukit.

 

Setelah memasang khemah dan menyusun barang-barang keperluan, masing-masing seperti tidak sabar-sabar lagi untuk beraksi, terus mencapai joran dan turun ke bawah bukit menyusuri tongkah-tongkah batu.

 

Saya lewat sedikit kerana menyediakan peralatan. Sebaik sahaja saya sampai ke spot casting, Abe Din mengangkat tangannya menunjukkan mengabang yang sudah dia perolehi. Cepat betul!

Ads

 

Saya yang menggunakan joran Squid Rock Egi sepanjang 8.5 kaki tiada masalah untuk melontar jauh candat. Cuma ketika mengarau, hujung joran perlu ditundukkan ke bawah supaya tangsi tenggelam ke dalam air.

 

Tiupan angin pantai yang laju akan menyebabkan tali tangsi jadi melengkung. Sudah tentu akan lambat merasai henjutan mengabang yang menyentap candat. Justeru itu amat penting bagi meluruskan tali sebelum melakukan henjutan.

 

Agak lama juga masa yang diambil untuk menguasai permainan eging ini. Setelah berjaya memperoleh lesen, barulah saya kembali ke tugasan utama saya iaitu merakam foto kejayaan ahli-ahli trip.

 

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI