Kakap merah merupakan ikan yang bersifat pemalu tetapi sangat agresif meragut umpan dan daya lawannya yang hebat sering menjadi buruan dan trofi kaki pancing yang berlabuh di pelantar minyak atau gas pada waktu malam. Ikan ini sangat sukar dijerat dan jarang dapat dipancing kerana tabiatnya yang suka menghuni kawasan tiang yang dipenuhi teritip dasar pelantar.
Kejadian ini berlaku sekitar jam 1.00 pagi setelah penat berjigging. Empat orang daripada kami berehat di luar kabin sambil baring-baring. Salah seorang awak-awak bot memasang set pancingan dasar (set kekili elektrik) dengan menggunakan perambut tanduk berumpankan ikan seekor, dilabuhkan ke dasar kemudian diangkat dua hingga tiga depa dari dasar agar umpan tergantung.
Beliau kemudian meninggalkan rod berikat dan menyambung semula kerja menguruskan ikan hasil jigging untuk disimpan dan membasuh lantai bot penuh lendir ikan.
Ads
Sejurus kemudian secara tiba-tiba joran pancingan dasar tersebut melentur. Loceng yang dipasang pada hujung berkerincing seperti direntap ikan bersaiz kasar. Terkejut kami satu bot dibuatnya. Pertarungan agak sengit dan akhirnya mangsa pun timbul di permukaan air.
“Mak janda dah ada kat bawah ni!” Awak-awak bot menjerit.
Ads
Mak janda?! Kakap merah la maknanya tu. Kami yang tengah tidur-tidur ayam terus bangkit dan tanpa membuang masa terus melompat ke spot masing-masing dan setting peralatan pancingan dasar. Dua belah kiri dan dua belah kanan bot.
Tidak sampai satu jam satu persatu joran kami direntap penghuni dasar dan bermulalah kisah menggasak kakap merah. 12 ekor kakap merah berjaya didaratkan. Jangka masa situasi ini berlaku lebih kurang dua hingga tiga jam sahaja. Kemudian suasana kembali menjadi sunyi sepi sehinggalah terbit fajar.
Ads
Menurut tekong bot, Azlan Salleh atau lebih dikenali sebagai Pok Lan, kebiasaannya pada satu-satu trip pemancing hanya mampu mendaratkan ikan kakap merah ini dalam satu hingga ekor sahaja.
Tetapi kali ini group kami bertuah kerana berjaya mendaratkan berbelas ekor kakap merah bersaiz kasar. Andai kata tiada kejadian rabut, putus atau terlucut mungkin lebih lagi dapat diangkut keluar dari lubuk kakap merah tersebut.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Kali ini saya ke perairan Pulau Jarak lagi. Untuk sekian kalinya saya mengandaikan trip memancing ke Pulau Jarak akan terbantut lagi. Apatah lagi ketika memandu secara solo ke Lumut, cuaca agak kurang memberangsangkan.
Hampir seluruh negeri hujan turun termasuklah negeri Perak yang menyambut kedatangan saya dengan hujan juga.
Tapi mujurlah… (lega yang amat) trip hari pertama ini cuaca merestui kami. Tiada hujan yang turun dan angin yang menjadi penentu sesuatu trip memancing ke perairan jarak juga agak ramah.
Walau bagaimana pun berikutan cuaca yang tidak menentu itu, tekong bot Baby Tuna mengambil keputusan menguji kawasan berdekatan terlebih dahulu sebelum ke perairan Pulau Jarak.
Mungkin disebabkan faktor cuaca yang agak muram dan arus turut sama lemah-gemalai, ia sangat mempengaruhi hasil pancingan kami hari itu.
Seolah-olah ikan mengambil kesempatan di sebalik cuaca yang murung dengan berkurung di dalam sarang masing-masing.
Membawa ke petang apa yang kami peroleh adalah ikan-ikan kecil yang menjadi diet pemakanan kepada ikan-ikan pemangsa monster.
Terutamanya spesies conor dan pelbagai spesies kerapu berstatus juvenil. Tatkala waktu memancing berbaki kurang dua jam, barulah suasana kembali meriah di atas Baby Tuna.
Ia bermula dengan jig yang saya gunakan disambar sesuatu sehingga menyebabkan perambut putus ketika dalam proses jig tenggelam ke dasar.
Hampir serentak pada waktu seorang lagi pemancing di bahagian hadapan bot mengalami situasi yang sama.
Namun nasib berbeza dialami oleh dua orang pemancing yang berada di bahagian tengah bot. Melihat pada kesan gigitan pada tali perambut yang agak tidak kemas, saya jangkakan ia adalah perbuatan alu-alu.
Namun spesies yang berjaya dinaikkan oleh dua pemancing di bahagian tengah bot rupanya adalah spesies Spanish mackarel atau pun tenggiri.
Menyedari kehadiran spesies bergigi tajam itu hampir kesemua pemancing beralih arah daripada memburu boron kepada spesies tenggiri.
Hasilnya, beberapa ekor lagi tenggiri berjaya didaratkan. Sementara beberapa orang pemancing lain kehilangan jig termasuklah saya sendiri.
Setelah kawanan tenggiri yang muncul dan menghilang secara tiba-tiba, kami meneruskan sesi memburu boron sehingga tamat tempoh memancing dan bertekad untuk memburunya lagi pada keesokan hari.
Ikan kuku? Ikan kuku ni macam mana? Sedap sangat ke? Tempat mana kalau nak pancing ikan ni? Umpan apa nak pancing ikan ni?
Itu antara persoalan yang menerjah benak penulis beberapa purnama yang lepas. Harus diakui penulis sendiri agak jarang mendengarkan spesies ini menjadi perbualan biarpun di kalangan kaki pancing tempatan.
Untuk itu penulis terpaksa buat kajian dan mencari informasi berkaitan ikan ini. Setelah 3 purnama berguru dan turun ke lapangan pancing, ternyata tidak mudah untuk mendaratkan spesies kuku, tapi kepuasannya memang lain macam.
Patutlah geng-geng kaki menguku sering menyebut, sekali terkena getah kuku ni, alamatnya asyik nak menguku je!
SPESIES BERMUSIM GRED A
Ikan kuku atau seabream merupakan spesies muara yang dikelaskan daripada genus Acanthopagrus.
Ikan kuku sebenarnya lebih terkenal di kalangan pemancing di kawasan Pantai Timur Semenanjung malah di Sabah dan Sarawak juga terdapat pemancing yang memang saban tahun menunggu putaran musim untuk menerjah kandang kuku ini.
Menurut kebanyakan kaki menguku, spesies ini merupakan antara spesies ikan muara yang paling sedap isinya.
Malah jika mereka sendiri membuat analogi, jika dihidangkan pilihan hidangan ikan kuku dan siakap putih, maka hidangan siakap putih pastinya akan ditolak mentah-mentah.
Walaupun agak keterlaluan bunyinya, namun rata-rata pemancing kuku sependapat dalam perbandingan antara kedua spesies tersebut.
Mungkin juga dek kerana faktor kesukaran mengail spesies kuku, namun ini tidak menghalang untuk spesies kuku berada di dalam kelas ikan muara gred A.
Apa yang menariknya lagi, untuk memancing spesies ini bukannya sepanjang tahun. Sebaliknya terhad kepada masa tertentu dalam kitaran satu tahun.
Bagi pemancing di Pantai Timur, ketika musim tengkujuh atau musim hujan, inilah waktu yang paling sesuai untuk mula memancing ikan kuku.
Apabila musim hujan tiba, dikatakan spesies kuku akan mulai memenuhi kawasan muara sungai utama.
Terdapat dua jenis ikan kuku yang lebih dikenali iaitu kuku putih dan kuku batu. Kuku putih mempunyai warna yang lebih cerah manakala kuku batu pula lebih gelap.
Malah, rupanya juga berbeza sama sekali. Namun biasanya, pemancing kuku lebih cenderung memburu spesies kuku putih kerana dikatakan mempunyai rasa yang lebih sedap berbanding kuku batu.
BERGURU DENGAN GENG NGAIL KUKU
Setelah melihat report dari geng pemancing di Pantai Timur, penulis menghubungi grup pemancing kuku yang dikenali Geng Ngail Kuku atau GNK untuk cuba merasai sendiri rahsia teknik pancingan spesies kuku ini.
Setelah menyusun jadual, akhirnya trip mengail kuku dibuat dengan tip dan tunjuk ajar daripada rakan-rakan GNK setelah beberapa hari diracun oleh mereka yang kebanyakannya berpangkalan di Kuantan dan Kemaman.
Beberapa lokasi dan spot memancing kuku telah dirancang dalam trip ini kerana tidak mahu mengambil risiko kumpau jika menumpukan pada satu spot sahaja.
Jadi penulis merancang untuk cuba menguku di beberapa spot di Kuantan hingga ke Kuala Terengganu.
Tiba di Kuantan, penulis bertemu dengan Abang Rosdi (atau lebih dikenali sebagai Kail Beracun di FB), Teuku Munawir dan beberapa orang rakan dari GNK.
Mereka yang banyak memberikan rahsia teknik dan tip memancing sang kuku ini. Bertempat di Tanjung Api, kami memulakan cubaan memancing kuku.
Bukan mudah rupanya nak memancing kuku kerana spesies ini agak cerewet ketika memakan umpan.
Biasanya tali utama perlu dipegang untuk merasai sang kuku mengetuk umpan yang dihulurkan.
Selain itu, spesies pengacau seperti gelama dan kitang turut sama akan meligan umpan anda, namun sesekali tak rugi kerana siakap merah juga gemar membaham umpan yang dihulur untuk sang kuku.
Tetapi kesabaran dalam memancing kuku memang memberikan kepuasan jika anda berjaya menggoda sang kuku hingga ke daratan.
Semalaman di Tanjung Api membuahkan hasil dengan beberapa ekor kuku juvenil dinaikkan.
Spot kedua penulis memilih untuk singgah di Sungai Paka. Cubaan lapangan di Sungai Paka lebih singkat kerana memancing pada awal pagi hinga ke tengah hari sahaja kerana perlu menuju ke Kuala Terengganu pula.
Begitu pun, seekor kuku dan siakap merah berjaya dinaikkan dengan berumpankan ketam angin.
Cubaan di spot seterusnya iaitu Kuala Ibai agak suram kerana tiada hasil. Biasalah newbies main terjah sahaja.
Melihatkan seakan tiada potensi, kami memilih bertukar spot di benteng belakang Permai Inn.
Pilihan tersebut nyata membuahkan hasil apabila Rasul tidak semena-mena menaikkan kuku lebih 1kg menggunakan umpan udang hidup.
PENGHUJUNG TRIP PERGURUAN
Untuk menamatkan trip jelajah terjah kuku ini, spot Tanjung Api sekali lagi menjadi pilihan sebelum pulang ke Shah Alam.
Kali ini lebih meriah dengan ramai ahli grup GNK turut serta. Alang-alang berkumpul ramai, Along iaitu pemilik kedai pancing setempat turut berbesar hati menaja hadiah sagu hati untuk ikan kuku terberat pada malam itu.
Bukan semata-mata untuk memenangi hadiah, acara kecil malam itu lebih kepada berkumpul antara ahli grup selain berkongsi teknik dan tip memancing kuku serta berkongsi pengalaman memancing yang lain.
Penulis sendiri turut berterima kasih kepada pihak GNK terutama Abang Rosdi yang mengalu-alukan kunjungan penulis ke sini.
Lain padang lain belalang, lain pemancing lain minatnya. Ada pemancing yang minat pancingan air tawar, ada pemancing yang minat pancingan air masin.
Ada pemancing yang turun ke laut untuk berjigging, ada juga yang turun ke laut untuk pancingan dasar memburu ikan-ikan gred A.
Namun, jarang-jarang kedapatan pemancing turun ke laut semata-mata untuk memancing ikan-ikan kecil atau lebih mudah diistilahkan sebagai ikan lauk dengan teknik Apollo.
Apatah lagi trip tersebut hanya dilakukan oleh dua pemancing sahaja. Perjalanan darat berpuluh kilometer, bayar sewa bot mahal-mahal hanya untuk layan Apollo.
Namun bagi Farah dan anak gadisnya Ateqa, ia bukanlah sesuatu yang pelik.
Farah cukup menggemari pancingan apollo
“Saya tak minat pancing ikan besar… Penat nak tarik,” ujar Farah apabila ditanya kenapa memilih untuk melayan Apollo sahaja.
“Lagipun tak boring. Sekejap saja dah dapat ikan,” tambah Ateqa pula yang pada dasarnya ada benarnya juga.
Sememangnya ada keseronokan sendiri pancingan Apollo ini. Selain seronok dan tidak memerah keringat dan tenaga seperti bertarung dengan gerepoh atau layaran, pancingan apollo ini dapat melalaikan diri dari melayan rasa mual mabuk laut.
Dan yang pastinya pancingan Apollo hampir sifar peratus pulang dengan tangan kosong atau kumpau.
Mengeratkan hubungan ibu dan anak
Sepadan dengan pancingan santai dan melayan Apollo sahaja, kelengkapan pancing yang dibawa oleh dua pemancing wanita ini sepadan dengan kaedah pancingannya.
Satu set joran mengilat dan dua set ultra ringan. Walaupun sekadar trip santai melayan Apollo, ada ketikanya Ateqa turut sama berjigging menggunakan set jigging milik tekong.
Khususnya apabila gerombolan ikan tongkol memasuki radius pancingan Apollo. Begitu juga apabila tekong menyandat sotong.
Ateqa turut sama mencubanya kecuali pancingan dasar sahaja beliau tidak praktikkan.
Sementara bagi pihak tekong yang bertanggungjawab, meskipun sekadar memancing ikan lauk, ia bukanlah satu tugas mudah.
Tekong tidak boleh sekadar berlabuh di hadapan mana-mana kapal yang berlabuh di kawasan kapal parking.
Tekong perlu bijak memilih kapal yang sudah parkir lebih dari seminggu kerana di kawasan kapal yang sudah lama parkir sahaja menjadi tumpuan ikan-ikan lauk seperti cencaru, selar, kembung dan selayang.
Kemudian, apabila hasil pancingan mula perlahan, tekong perlu berpindah mencari kawasan kapal lain pula.
Cencaru banyak dinaikkan
Seperkara lain yang lebih menggembirakan dua beranak ini apabila kembali ke darat, sebahagian kecil ikan-ikan lauk ini akan dibawa ke restoran untuk dimasak.
Dan tiada masakan yang lebih enak berbanding ikan-ikan segar dari laut terus ke kuali.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...