Trip Trobek – Melayan Fly Ikan Layaran!!

Share

 

Musim layaran ketika itu berada di puncak dan banyak bot-bot yang turut sama berada di kawasan berdekatan kami. 15 minit pertama berhanyut, joran Penn 30-80 terus melentur dan serta merta tali Spectra merah dalam gelendung Shimano Baitrunner 6500 berdesup keluar.

 

Sebaik sahaja layaran mula menghambur di permukaan, joran diserahkan kepada Mike untuk aksi seterusnya. Jeritan kepuasan Mike tidak berhenti sebaik sahaja melihat layaran melompat tetapi berterusan hingga ikan berjaya didaratkan. Dalam pada di akhir pertarungan, kekili Shimano Baitrunner pula memuntahkan tali.

 

 

Brett menjadi insan kedua pagi itu ditemukan jodoh dengan layaran. Dua ekor layaran kurang dari sejam pertama adalah petanda baik. Setelah dilepaskan kedua layaran tersebut, tekong Rais bergerak perlahan mencari kawanan burung camar. Layaran tidak berada di satu kawasan kerana ia banyak menghabiskan masa mengikut kawanan ikan pelagik.

 

Apabila camar dikesan, saya pula akan mengesahkan kehadiran layaran melalui pemerhatian sekeliling. Kelibat layaran mudah diamati pada waktu musim puncak. Sebaik bot berhenti, saya akan membuat lontaran sejauh mungkin umpan selar hidup ke arah kawanan burung. Beberapa kali selepas umpan di lontar jauh, layaran terus menerkam dan melarikan umpan.

 

Dalam keadaan spool kekili longgar ketika itu, banyak juga kes rabut dan mata kail tidak tersusuk kemas di mulut ikan. Apa yang hendak dirisaukan, pastinya ada lagi strike yang menunggu. Cuma kena rajin berusaha. Setiap kali selepas umpan dilontar jauh, saya akan menunggu seketika jika ada layaran ambil umpan di tangan.

 

Sementara Rais akan hulurkan umpan setelah saya selesai melabuhkan dua joran pertama. Bila joran mengena, ucapan “Who’s next?” dan terus sahaja joran bertukar tangan untuk berentap dengan layaran.

 

 

Sebelah pagi sahaja kesemua mereka sudah dapat lesen layaran. Hari pertama kami memperolehi lebih dari 12 strike, 8 didaratkan. Bila semua puas, hari pertama diakhiri lebih awal.

 

Hari Kedua

Kini tumpuan diberikan sepenuhnya untuk teknik pancing layang di samping sesi popping dan casting sebagai selingan. Sebagaimana yang di ketahui New Zealand mempunyai ramai peminat pancing layang. Mereka membawa joran wt9 dalam usaha menjerat layaran. Begitu juga pelbagai warna dan saiz set fly yang disiapkan awal mengikut info yang mereka ketahui.

 

 

Saya pula cuba mengumpan layaran dengan penggunaan popper tanpa mata kail. Teknik ini dapat memujuk layaran supaya hampir dengan bot agar mereka dapat melayangkan umpan. Setengah hari dihabiskan dengan banyak belajar mengenai kesilapan beberapa langkah penting. Namun saya boleh puji sikap mereka, sering membincangkan di mana silap dan pembetulan yang perlu di buat.

 

Malah kebetulan hari kedua amat payah mengesan layaran mengekori popper di belakang bot. Tugas tekong mengemudi bot perlahan mencari kumpulan camar, saya akan meninjau di belakang bot manakala dua pemancing akan lontar popper sebelum dua lagi bersedia dengan set pancing layang.

 

Tengahari kami berehat seketika sebelum menyambung semula sesi pada jam 2 petang. Pusingan kedua ini masing-masing mengambil peranan yang perlu bagi menjayakan misi menjerat layaran dengan set fly. Setelah berjaya mengesan layaran mengikuti bot, dua popper kiri dan kanan dilontar dalam usaha memujuk layaran.

 

Ketika layaran jelas kelihatan di belakang bot, Brett dan Mark masingmasing memulakan tugas mereka. Satu hayunan set fly jatuh hampir dengan layaran, satu, dan dua fly ditarik lembut. Tidak semena ia mendapat sambutan, “Yes fish on,” ujar Mark. Belum sempat sorakan lain menyampuk, layaran terus melayang ke permukaan sambil melakukan perkara yang tak ingin kami lihat.

 

Mata kail fly dimuntahkan dengan mudah. Kecewa lagi. Tekong kemudiannya bergegas ke kawasan kawanan burung yang berdekatan setelah ikan terlucut. Proses memikat diulangi seperti sebelumnya. Strike kedua dengan set layaran menjadi milik Brett pula. Sambil menahan larian ikan, yang lain tumpang seronok. Ikan yang pada mulanya jelas kemudian samar-samar dan terus hilang dari pandangan kami.

 

Joran ditampung oleh Brett yang masih diasak layaran. Sekali lagi kami kecewa apabila mata kail yang digunakan sekali lagi terlucut ketika waktu hampir di penghujung pertarungan. Hajat oleh geng Newzie ini untuk menewaskan layaran dengan pancing layaran belum tertunai.

 

Selama kami memancing di sini geng ini cukup riang, hilai ketawa dan kutuk mengutuk antara mereka menjadi bualan. Bahkan mereka tidak menunjukkan rasa kecewa apabila gagal dan semangat kesukanan cukup tinggi. Paling kuat bersorak ialah Mike setiap kali adanya strike.

 

Published by
Amang