Kami memulakan perjalanan dari bandar Mukah setelah kesemua ahli komplot berkumpul. Setelah menikmati teh tarik di Open Air Mukah sekitar jam 10 malam, maka perjalanan ke Tasik Bakun sejauh lebih kurang 400 km bermula.

 

Saya bersama rakan-rakan yang memandu secara bergilir sepanjang 6 jam perjalanan. Kami berhenti di beberapa lokasi tempat rehat sepanjang perjalanan bagi meneguk secawan kopi pahit untuk menyegarkan mata.

 

Sekitar jam 4.20 pagi, kenderaan 4×4 kami sampai di Simpang Sungai Asap iaitu tempat pertemuan dengan guide, Richard Kiin yang juga rakan pancingan kami bertanggungjawab mengepalai sesi pancingan selama 2 hari 1 malam nanti.

 

Sebelum trip lagi saya telah dimaklumkan oleh Richard Kiin bahawa paras air di Tasik Bakun mengalami penurunan hampir 20 kaki dari paras normal. Cuaca panas dan kurangnya hujan menyumbang kepada penurunan paras air yang amat drastik.

 

Sesungguhnya keadaan ini amat tidak menyenangkan Richard Kiin. Ujarnya, kebanyakan spot pancingan terbaik banyak yang telah terjejas dek kerana paras air yang rendah. Namun atas minat serta keghairahan untuk menjerat penghuni tasik, semah (kelah/pelian/tengas) trip ini tetap kami teruskan juga.

 

Sesampai saja di pangkalan utama Tasik Bakun, barang-barang segera dimasukkan ke dalam bot sebelum kami menyambung semula perjalanan ke rumah tumpangan iaitu boathouse milik keluarga Richard Kiin.

 

Perjalanan memakan masa kira-kira 1 jam 30 minit. Sampai saja di boathouse, Richard Kiin terus menyediakan sedikit sarapan sebelum kami memulakan sesi pancingan pada hari pertama tersebut.

IKLAN

 

 

Lubuk pertama

Perjalanan ke lubuk pertama yang merupakan aliran keluar air dari sebuah bukit cuma memakan masa sekitar 10 minit dari boathouse. Ternyata paras air yang rendah telah banyak menjejaskan spot-spot pancingan kerana kebanyakan reba yang berpotensi telah berada di luar kawasan air.

 

Percubaan kami spot pertama kurang memberangsangkan. Cuma beberapa kejadian miss call berlaku. Setelah mencuba dalam masa lebih kurang 20 minit, yang dicari tetap enggan memunculkan diri. Kami sepakat untuk mencuba lubuk yang seterusnya pula.

 

Kali ini spot yang dipilih betul-betul di sebuah kuala sungai dan dipagari kayu mati, kira-kira 20 minit perjalanan dari spot pertama. Richard Kiin sempat `menabur racun pekat’ kepada kami dengan mengatakan spot itu memang sukar dijangka. Pernah beberapa kali gewangnya dilesapkan oleh penghuni reba yang rata-rata bersaiz lingkungan 2kg dan ke atas.

 

IKLAN

Kata-katanya telah membuatkan kami ghairah untuk menjerat penghuni lubuk tersebut. Setelah beberapa balingan dibuat, namun penghuni reba serta lubuk belum memberikan respon. Disebabkan lubuk di situ agak dalam, kami menggunakan gewang selaman dalam seperti Rapala TDD 9cm, Max Rap Fat Minnow 9cm serta Shad Rap yang mampu menyelam ke kedalaman 3-6 meter.

 

Saya yang menggunakan Rapala Max Rap Minnow 9cm warna Flake Ayu telah memecah kesunyian apabila seekor sebarau satu belang melarikan gewang dengan rakus. Semua tumpuan terarah ke arah saya seketika kerana tangkapan itu adalah yang pertama untuk pagi tersebut.

 

Setelah melayan seketika dengan setup yang disasarkan untuk bertempur dengan sang monster Tasik Bakun, Rapala Shadow 10-20lb yang bergandingan dengan kekili Daiwa Ryoga 1016HL, bertali utama Sufix 832 20lb serta perambut fluorocarbon Hi Seas 30lb, sang sebarau 1 belang rempit tersebut dengan mudah didaratkan.

 

Rupa-rupanya tangkapan tersebut adalah petanda yang kami akan berpesta sebarau dan diselang-selikan dengan semah ataupun kelah untuk sesi pagi tersebut. Belum pun sampai seminit selepas tangkapan pertama saya, Cikgu Iqbal juga berjaya mendaratkan seekor sebarau rempit tidak jauh dari spot yang pertama tadi.

 

Kemudian giliran Richard Kiin pula menerima sambaran padu. Melihat pecutan dan larian yang dipamerkan, kami menjangka ia adalah angkara seekor sebarau. Kami bersorak gembira seekor sebarau bersaiz kasar berjaya didaratkan. Sebarau satu belang itu dalam anggaran lebih kurang 1.2kg. Setelah mengambil gambar, sebarau tersebut juga dilepaskan kembali ke habitat asalnya dengan segera.

IKLAN

 

Seorang lagi rakan iaitu Felix turut mendapat tangkapan sebarau satu belang juvenil tidak lama kemudian. Disebabkan ia lesen sebarau pertamanya, Felix amat gembira sehingga beberapa kali dia mengambil gambar pose istimewanya.

 

Keadaan dalam bot bagaikan tak keruan apabila selepas itu kami terus menerus mendaratkan pelbagai saiz sang sebarau. Double hooked up sering kali terjadi tatkala matahari semakin meninggi. Tuan Majid yang pertama kali menyertai trip 100% casting air tawar turut tidak terkecuali mendapat trofi sebarau pertama pada pagi tersebut.

 

Pesta tengah hari

Untuk trip mengilat pada hari pertama saja, kami betul-betul lost count angkara amukan sang sebarau dan semah yang pelbagai saiz. Namun kesemua tangkapan tidak mengira saiz kami lepaskan semula ke habitat asalnya dengan harapan supaya stok ikan di tasik ini akan terus terjaga dan mapan.

 

Pada hari kedua, kami menyasarkan spesimen yang lebih besar, namun badong yang kami cari tidak juga memunculkan diri. Yang ada saiznya lebih kurang sama seperti hari pertama. Kadangkala ada juga haruan yang menyambar rakus gewang. Kelibat kaloi besar berlegar-legar di bawah bot, siap berpasangan lagi. Namun ikan berkenaan langsung tidak bernafsu dengan gewang yang kami lontarkan. Cuma ikut saja!

 

Selama 2H1M kunjungan saya ke Tasik Bakun ini, boleh dianggap berjaya walaupun casting pada paras air tidak berapa cun. Namun kerana keramahan penghuninya menghentam gewang membuatkan saya jatuh cinta. Saya tidak dapat bayangkan jika saya bertandang ke tasik ini lagi sewaktu musim monsun sebagaimana syoknya rakan di semenanjung memancing sebarau pada musim monsun di Tasik Kenyir.

 

 

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI